Ucapan Dasar Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-4

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakaatuh

Yang dimuliakan, Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Kamil Azmi bin Thohiran, Ketua Majlis Pembangunan Generasi Muda ISMA, Rakan-rakan Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA, Pengerusi-pengerusi Negeri, Ketua-ketua Cawangan dan sidag hadirin para perwakilan dan pemerhati Sekalian

Segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Yang Maha Esa di atas rahmat dan limpah kurnianya, kita telah bertemu dalam Majlis Mesyuarat Agung Tahunan PEMBINA kali keempat ini.


MATK kali keempat ini menunjukkan bahawa kita semua sebaia sebuah persatuan telah melalui pengamalan mesyuarat agung tahunan sebanyak empat kali. Diharapkan, dengan pengalaman ini, kita sudah sedikit sebanyak belajar mengenai selok belok berpersatuan, dan saya amat berharap agar ciri pembelajaran berterusan ini kekal sebagai salah satu ciri penting persatuan ini. Dengan adanya pembelajaran berterusan, kita akan dapat memastikan bahawa persatuan kita ini terus berkembang sebagai sebuah persatuan yang dinamik.

Semenjak penubuhan PEMBINA pada 9 Julai 2007 dan didaftarkan dibawah Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Society – ROS), seterusnya didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia apabila Akta Belia diwartakan pada 5 Februari 2009, seterusnya dengan penubuhan cawangan-cawangan di seluruh negara, kita telah menyaksikan sebuah perkembangan yang pesat dan sememangnya kita adalah satu persatuan yang dinamik.

Sepanjang tempoh ini, kita telah berusaha mengetengahkan kewujudan kita dalam masyarakat belia. Kita telah membuktikan bahawa kita mampu keluar menganjurkan program-program besar yang melibatkan ribuan peserta. Bermula dengan Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis (KBAZ) di PWTC pada tahun 2009, Konsert Demi-mu Al-Aqsa (KONDAQ 2010), Pementasan Teater Sirah Muzikal  (SIRAM 2010) dan baru-baru ini, di Konvensyen Memperingati 500 tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka.

Kita sebenarnya telah membuktikan kemampuan kita. Jika KBAZ dilihat sudah begitu mencabar kemampuan kita mengumpulkan 3000 peserta memenuhi Dewan Merdeka, PWTC, kita telah menyaksikan pencapaian yang sama dicapai salam program yang dianjurkan oleh sebuah cawangan seperti di KONDAQ uang dianjurak oleh PEMBINA Negeri Sembilan dan SIRAM yang dianjurkan oleh PEMBINA Shah Alam, syabas diucapkan.

1.    PENCAPAIAN TAHUN 2010
Selain daripada pencapaian penganjuran yang telah saya sebutkan, Tahun 2010 adalah tahun di mana PEMBINA mula menyusun untuk mengambil pelbagai posisi di dalam komuniti belia. Tiga fokus utama diletakkan iaitu Promosi, Aktivisme Mahasiswa, dan Pembangunan Potensi. Fasa tahun lepas ialah fasa menganalisa kedudukan PEMBINA di IPT tempatan.

Secara amnya, pencapaian PEMBINA pada tahun 2010 adalah pada tahap yang amat memuaskan. Sebagai sebuah pertubuhan yang baru, penubuhan cawangan di seluruh negara adalah satu pencapaian yang besar. Setakat ini cawangan PEMBINA telah wujud di semua negeri kecuali Sarawak. Di sana pun kita telah ada wakil yang masih untuk memperkuat pasukannya untuk membolehkan pendaftran di buat. Dari sudut pendaftaran, 11 cawangan telah Berjaya di daftarkan, manakala 4 lagi masih dalam proses pendaftaran. Saya melihat dalam tahun ini, pendaftaran keempat-empat cawangan bakal selesai ditambah lagi dengan cawangan Sarawak.

Sebagai satu petanda kita berkembang sbg satu persatuan yang dinamik, beberapa cawangan baru juga akan dibentuk (Pembina KL/Gombak, 3 cawangan di Terengganu dan juga pemecahan cawangan negeri kepada beberapa cawangan kecil). Semakin banyak cawangan bermakna semakin ramai yang akan memikul tanggungjawab kepimpinan dan semakin melata akar umbi kita di seluruh pelusuk negara.

Semakin banyak cawangan juga akan memberikan cabaran dalam sistem pengurusan dan pengoperasian kita. Adalah diharapkan agar perkembangan kapasiti kita sebagai individu dan kemampuan kita sebagai pasukan di setiap peringkat dapat dipertingkatkan selari dengan perkembangan-perkembangan ini.

Dalam tahun 2010, kita meletakkan sasaran penyertaan dalam program-program anjuran kita  sebanyak 10539 orang. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada cawangan-cawangan yang telah berjaya mencapai sasaran masing-masing. Secara keseluruhan kira-kira 75% drpd sasaran ini telah tercapai.

Namun perlu diperhatikan bahawa terdapat kawasan yang berjaya mencapai sasaran cuma dengan mengadakan satu “mega event”, manakala terdapat kawasan yang mencapai sasaran melalui program-program kecil yang berterusan. Sesungguhnya amalan yang sedikit yang istiqamah itu lebih kita sukai, sebagaimana maksud hadith yang kita semua sedia maklum.

Melihat kepada pencapaian keseluruhan cawangan, meskipun tidak semua cawangan mencapai sasaran penyertaan program yang ditetapkan dari sudut angka, JKP melihat bahawa ruang promosi yang telah digunakan oleh cawangan cukup luas dan telah mencapai objektif promosi.

Dari sudut keahlian, suka saya umumkan di sini bahawa jumlah keahlian terkini adalah seramai 565 orang. Pandangan peribadi saya, jumlah keahlian ini adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumplah penyertaan dalam aktiviti-aktiviti kita dan jika dibandingkan dengan kemampuan menganjurkan program-program yang telah kita jalankan di semua cawangan seluruh negara. Mungkin ini adalah satu petanda bawaha ahli-ahli kita memang orang-orang hebat belaka, namun saya merasakan di sana masih ramai yang belum mendaftar senagai ahli.

Ingin saya tekankan di sini bahawa jumlah keahlian sebenarnya adalah salah satu petanda kekuatan sesebuah persatuan. Pendaftaran keahlian perlu berjalan sepanjang tahun dan memerlukan sistem pangkalan data yang fleksibel yang boleh berkembang selari dengan pertambahan ahli. Ingin saya sarankan sekali lagi, peningkatan keahlian perlu diberi penekanan serius di semua peringkat.

Sepanjang tahun 2010 juga telah menyaksikan PEMBINA di semua peringkat telah berjaya menonjolkan imej yang baik dan membina hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan, pihak pentadbiran universiti dan kolej-kolej, persatuan-persatuan pelajar di universiti, jabatan belia dan lain-lain. Hubungan baik ini perlu terus kita pupuk untuk melicinkan lagi perjalanan aktiviti kita, seterusnya mencapai golongan sasar kita iaitu masyarakat belia amnya dan mahasiswa khasnya.

Saya begitu teruja, apabila saya memerhatikan senarai aktiviti kita di setiap peringkat di seluruh pelusuk negara, saya melihat satu kepelbagaian dalam bentuk program yang kita jalankan. Ada yang bersifat forum ilmiah, kelas-kelas pengajian, kepada yang lebih lasak seperti perkhemahan, ‘paintball’ dan pendakian, yang bersifat kesukanan seperti kejohanan-kejohanan futsal, carnival sukan dan larian marathon, yang bersifat kesenian dan penulisan, kursus fotografi, keushawanan, yang bersifat kebajikan seperti khidmat masyarakat dan kempen derma darah dan mengetengahkan isu yang pelbagai. Kepelbagaian ini adalah satu kekuatan kita supaya kita dapat mencapai golongan belia yang pelbagai wataknya.

Kesimpulan daripada pencapaian-pencapaian ini, saya amat yakin dam optimis  bahawa kita memilik ramuan yang sesuai untuk terus berperanan dalam generasi belia negara.

2.    Fokus PEMBINA 2011
pada tahun ini PEMBINA akan meletakkan pengukuhan struktur di IPT sebagai fokus utama. Ini dilakukan atas kesedaran bahawa target JKAM masih jauh dari sasaran dan jatuh bangun PEMBINA akan banyak bergantung kepada kejayaan JKAM, melalui pengukuhan organisasi pada peringkat akar umbi.. Promosi akan berlaku namun dalam kaedah yang lebih mudah.
Internet dan multimedia telah menjadi asam garam dalam kehidupan mahasiswa. Maka bagi meluaskan promosi kepada golongan sasar kita ini, PEMBINA akan menfokus ke arah mengukuhkan aplikasi internet dan multimedia sebagai wasilah promosi. Kaedah ini efektif untuk berinteraksi secara terus kepada setiap mahasiswa, dan sesuai dengan jiwa mereka.
Tarbiyyah akan dilakukan dengan sokongan padu dari Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Tug
as PEMBINA hanyalah untuk mengumpul seramai mungkin mahasiswa dan memberi kesedaran kepada mereka bahawa tarbiyyah adalah salah satu agenda utama dalam hidup Muslim. Diharapkan agar pembahagian tugasan yang jelas diantara Unit Pembangunan Sumber Manusia ISMA (HRD) dan PEMBINA akan melancarkan objektif ini. Persetujuan yang jelas telah dimeterai diantara HRD ISMA dan PEMBINA di peringkat Pusat bahawa PEMBINA akan mengumpulkan, dan ISMA akan mentarbiyyah. Maka menjadi tanggungjawab setiap cawangan PEMBINA untuk memahami skop tugasan PEMBINA dan melaksanakannya dengan kemas di cawangan.

3.    Ke mana kita akan pergi?
Suka untuk saya jelaskan di sini bahawa meskipun kita meletakkan fokus kepada pengumpulan dan pendidikan, ianya bukanlah matlamat Akhir kita. Ianya hanyalah wasilah untuk mencapai Visi PEMBINA iaitu Menjadi peneraju aktivisme belia Islam melalui memulihara dan membangunkan belia Islam. PEMBINA mensasarkan 2030 sebagai tahun di mana PEMBINA menjadi teraju dalam arus aktivisme belia. Sasaran ini adalah berteraskan unjuran pencapaian Jawatankuasa Aktivisme Mahasiwa (JKAM), jadi saya yakin ahli PEMBINA kini boleh memahami sejauh mana kritikalnya KPI JKAM dalam menentukan posisi PEMBINA dalam masyarakat akan datang.

Arus mahasiswa akan sentiasa menjadi pencorak dalam warna-warna kepimpinan negara. Oleh itu, dengan kepimpinan menyeluruh PEMBINA dalam komuniti mahasiswa, ini akan menjamin kekuatan agenda islam yang ingin kita sampaikan di tanahair Malaysia insyaAllah.

Dalam menuju Visi PEMBINA ini, kita telahpun menggariskan beberapa Misi PEMBINA. Diharapkan agar semua ahli khususnya kepimpinan cawangan memahami dengan jelas Misi PEMBINA, kerana ini merupkan intipati kepada strategi dan objektif PEMBINA:-

1. Membangunkan jatidiri belia berlandaskan kefahaman Islam yang syumul.

2. Menekankan aspek pembangunan potensi belia ke arah yang positif dan bermanfaat kepada negara.

3. Menghindarkan belia daripada elemen-elemen negatif yang boleh merencatkan potensi dan jatidiri.

4. Menyediakan medan alternatif untuk belia menyalurkan potensi diri.

5. Melahirkan generasi belia yang aktif, prihatin, bermatlamat dan memiliki kesedaran yang jelas tentang peranan mereka dalam kehidupan.

4. Apa yang diperlukan selepas ini

Untuk mencapai perkembangan yang kita harapkan selaras dengan Visi dan Misi PEMBINA, saya telah menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi penekanan, iaitu;

Sistem Pengurusan Organisasi: Ini termasuklah sistem database keahlian, perjalanan mesyuarat yang berkesan, pembahagian tugasan yang baik dan pengurusan projek-projek yang mantap.

Pengurusan Dana: Saya tidak bermaksud supaya kita memberi fokus kepada aktiviti untuk menjana pendapatan. Namun tidak dinafikan bahawa dana merupakan satu kekangan dan cabaran bagi persatuan seperti kita, lebih-lebih lagi, orang muda seperti kita yang kewangan peribadinya tidak seberapa. Yang saya maksudkan ialah menggunakan segenap peluang yang ada untuk mendapat penajaan daripada syarikat-syarikat korporat, dana zakat bagi program-program yang menepati asnaf zakat, peruntukan agensi-agensi kerajaan dan juga perkongsian strategik seperti yang telah kita jalankan bersama Aman Palestin sebagai contohnya.

Sistem Komunikasi: Yang saya maksudkan ialah sistem capaian dengan golongan sasar masyarakat belia dan juga sistem penyampaian maklumat kepada ahli dan pimpinan di semua peringkat.

Hubungan luar: NGO, agensi-agensi berkenaan, kementerian-kementerian yang berkenaan dengan belia dan mahasiswa dan pentadbiran universiti perlu dipertingkatkan.

5. Harapan
Cabaran yang paling besar, pada pandangan saya, ialah bagi setiap cawangan mengukuhkan struktur masing-masing. Meskipun kita perlu berwawasan dan memandang jauh, namun akhirnya semua cita-cita kita tidak akan tercapai andainya cawangan tidak mempunyai asas struktur yang kukuh. Sebagai sebuah NGO, kita perlu mempunyai sifat-sifat asasi sebuah organisasi iaitu mempunyai meeting berkala, dokumentasi yang kemas, syura yang utuh, dan ‘teamwork’ yang harmoni. Saya yakin dan percaya, kekuatan PEMBINA adalah dari kekuatan ‘teamwork’, dan setiap ahli PEMBINA perlu menyumbang ke arah wujudnya ‘teamwork’ yang padu.

Akhir kata, saya amat yakin bahawa kita memiliki potensi untuk terus berkembang dan memainkan peranan yang besar kepada generasi belia kita dan Negara kita dalam jangka masa panjang.

Saya berdoa supaya kita terus diberi kekuatan untuk memikul tanggungjawab kita dan membawa PEMBINA ke suatu fasa yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

Sekian, Wasslam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top