Memperkasakan Jatidiri Beliawanis

Jatidiri yang ingin dibentuk dalam diri seorang beliawanis merupakan sebuah keperibadian syumul yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan diri sendiri dan orang lain. Jatidiri yang ideal tidak terletak kepada fizikal semata-mata tetapi merangkumi kepimpinan, kemahiran yang seimbang dan kestabilan emosi dan kekuatan spiritual.

Kepimpinan adalah kemahiran asas yang harus diasah oleh seseorang beliawanis. Ini kerana, hanya dengan mempunyai kepimpinan yang baik, maka seseorang itu dapat mengawal atur persekitarannya dan dapat mempengaruhi orang lain untuk meyakini agenda perjuangannya. Jika melihat pada situasi semasa dalam PEMBINA sendiri, 46% daripada 190 orang kepimpinan cawangan di seluruh negara adalah dari kalangan beliawanis. Ini menjadi indikasi bahawa kepimpinan dan ketokohan beliawanis amat ditekankan dalam PEMBINA dan telah berada di tahap yang membanggakan. Ini juga membuktikan bahawa pendapat-pendapat beliawanis boleh digunapakai dalam penggubalan polisi organisasi. Kualiti sebegini perlu digilap agar kepimpinan beliawanis akan terus terbentuk dari semasa ke semasa.

Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran, seorang beliawanis harus melengkapkan dirinya dengan pelbagai kemahiran agar dia mecapai keseimbangan dalam hidup. Antara contoh kemahiran yang perlu dipelajari adalah kemahiran memasak, menguruskan kediaman, mengandam diri, menyelenggara kenderaan, menggunakan gajet-gajet telekomunikasi, ICT, bersukan, kesenian, kemahiran mengatur waktu dan pelbagai lagi skil dan kemahiran hidup semasa yang mampu dan perlu dikuasai beliawanis. Dengan adanya kemahiran-kemahiran ini, akan terbentuklah seorang beliawanis yang serba boleh, seimbang dan mampu berperanan lebih dalam masyarakat.

Jatidiri seorang beliawanis tidak lengkap tanpa mempunyai kebolehan menguruskan emosi. John Gray dalam bukunya yang bertajuk Men are From Mars and Women are From Venus berkata bahawa, sekiranya seseorang wanita itu menghadapi masalah dan tekanan, dia perlu meluahkannya dalam bentuk percakapan melalui orang-orang di sekelilingnya atau dalam bentuk penulisan melalui blog dan sebagainya. Berbeza dengan orang lelaki yang apabila menemui masalah, dia akan cuba menyelesaikannya dengan bersendirian menonton bola, membaca akhbar ataupun bersukan untuk mendapatkan ilham. Oleh itu, bagi mengaplikasikan cadangan yang dikemukakan oleh John Gray ini, seorang beliawanis perlu belajar untuk membina rangkaian persahabatan agar ia dapat dijadikan platform saluran tekanan dan luahan perasaan. Dia juga perlu mengenalpasti kelemahan dirinya, memahami psychologi asasi wanita, bersiap dan berusaha menguatkan diri dan berani menghadapi risiko dalam situasi yang menekan perasaan.

Kekuatan spiritual juga berkait dengan keseimbangan dan kestabilan hidup beliawanis. Beliawanis yang kuat spiritualnya dan hubungannya dengan Allah akan mampu melangkah hidup dengan lebih yakin, memahami sunnah alam tetapi amat bergantung harap kepada Allah. Sumber kekuatan diri yang utama adalah dari Tuhan, maka di sanalah motivasi dan sumber rangsangan utama yang perlu dirujuk untuk beliawanis mencari ilham, inspirasi dan kekuatan dalaman diri. Adapun sifat semulajadi wanita mungkin membataskan amal ibadat pada ketika tertentu, namun hubungan ruh, hati, keikhlasan dan keimanan menjadi keutamaan yang perlu dipelihara dan dipertingkat sentiasa.

Oleh itu, menjadi sebuah harapan untuk melihat kualiti-kualiti ini digarap oleh para beliawanis agar pembinaan jatidiri yang menyeluruh dapat dilaksanakan dan seterusnya di perkasakan. Beliawanis harus menyedari akan potensi yang dikurniakan kepada mereka amat besar dan tak terbatas kepada kerja-kerja tradisi wanita.  Sesungguhnya, kaum pemudi mampu berperanan sama hebat dengan pemuda dalam berbakti kepada masyarakat dan membangunkan negara.

Nor Hasni Hayati bt. Hanapi

Naib Presiden II
Ketua Beliawanis PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top