Sebuah rancangan realiti tv yang bakal dipaparkan melalui ASTRO OASIS yang diberi nama “Ustazah Pilihan” menonjolkan pencarian calon-calon muslimah ikon yang memiliki kemahiran-kemahiran dari aspek kepimpinan, pengurusan, pendidikan dan sebagainya. Pertandingan berkonsepkan realiti TV ini diadili melalui tugasan-tugasan teori dan praktikal sepanjang program ini.
PEMBINA melihat rancangan ini sebagai sebuah medan yang sesuai untuk melahirkan tokoh muslimah yang lengkap jatidirinya. Sebagaimana sejarah Islam menampilkan tokoh-tokoh sahabiah yang hebat dari sudut ilmunya seperti Aisyah Binti Abu Bakr, yang berani ke medan perang seperti Khaulah al-Azwar, yang berjaya mendidik anaknya menjadi pejuang agama seperti Asma Binti Abu Bakr, yang yakin pada prinsip hidupnya seperti Sumayyah, dan yang berjaya dalam empayar perniagaannya seperti Khadijah Binti Khuwailid. Begitu juga harapannya agar rancangan Ustazah Pilihan ini dapat menonjolkan ratusan lagi tokoh agama yang berjaya melakarkan nama dalam sejarah sebagai tokoh muslimah yang berketrampilan dalam bidang masing-masing.
Walaupun demikian, PEMBINA merasa bimbang sekiranya penonjolan peserta-peserta rancangan ini disertai dengan tabarruj atau solekan dan fesyen pakaian yang berlebih-lebihan. Kecantikan fizikal dikira sebagai aspek yang tidak perlu ditekankan dalam pemilihan pemenang, oleh itu PEMBINA tidak melihat sebarang keperluan bagi para peserta dihias-hiaskan berlebihan. Perkara ini perlu dijaga agar ia tidak mendatangkan ketidakadilan yang datang dari keputusan pemilihan peserta yang paling cantik berbanding bakat-bakat lain. Ia juga penting bagi menegaskan kehormatan Muslimah dalam Islam, disamping memelihara maruah para peserta di depan tontonan umum.
Secara keseluruhannya PEMBINA menyokong penganjuran rancangan ini dan berharap masyarakat akanĀ memperoleh manfaat darinya untuk diaplikasikan dalam kehidupan. PEMBINA juga berharap penganjur dapat bersungguh dalam memelihara imej Muslimah sejati dengan memelihara batas-batas penampilan Muslimah di hadapan khalayak. PEMBINA mengucapkan tahniah kepada penganjur atas usaha yang kreatif ini.
Nor Hasni Hayati Hanapi
Naib Presiden II
Ketua Beliawanis PEMBINA