KUALA LUMPUR 9 Dis. – Media sosial yang dicetuskan melalui revolusi Internet merupakan tarikan baru generasi muda. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, revolusi baru itu kini menjadi satu budaya kepada generasi muda untuk berkomunikasi.
“Ia merupakan suatu yang menarik terutamanya di kalangan orang muda. Saya juga ada Facebook dan 90 peratus rakan Facebook saya adalah anak muda.
“Apabila berinteraksi dengan mereka saya mendapat idea baru dan dengan itu pada tahun hadapan saya akan adakan majlis rumah terbuka rakan Facebook dan melancarkan kelab rakan Facebook saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Forum Satu Asia 2009: Belia dan Media Sosial: Kerjasama Dalam Talian dan Masa Depan Asia anjuran Majlis Belia Asia (AYC) di sebuah hotel di ibu negara di sini hari ini.
Forum selama empat hari bermula semalam itu dianjurkan dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia, Institut Pembangunan Minda (INMIND) dan Kerjasama Komiti Belia Asia (CAYC). Ia dihadiri wakil belia dari 23 negara Asia Pasifik.
Sdr. Azizuddin Ahmad, Naib Presiden MBM menyampaikan kata aluan perasmian
Mohd. Puad berkata, budaya baru kesan daripada generasi Internet yang semakin berkembang pantas sekarang ini perlu dihayati oleh semua golongan bukannya generasi muda sahaja.
“Pengetahuan rakyat Malaysia tentang revolusi baru ini masih belum meluas kecuali di kalangan anak muda sahaja,” katanya.
Menurutnya, pemimpin negara juga perlu menyedarinya dan turut sama menyertai revolusi itu supaya mereka hampir dengan generasi muda.
“Kalau boleh ia menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) kepada semua pemimpin negara di mana semua Ahli Majlis Tertinggi UMNO perlu ada Facebook supaya tidak ketinggalan dengan revolusi baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, beliau yakin konsep Satu Asia akan dapat dicapai melalui prinsip penyatuan tanpa mengira perbezaan.
Jelasnya, prinsip itu bukan satu mimpi atau retorik sebaliknya sebagai daya penggerak untuk mewujudkan kerjasama antara kumpulan manusia yang berbeza fizikal, budaya, sosial dan halangan psikologi.