Assalamualaikum w.b.t.,
Masjid di negara kita begitu sinonim dengan masyarakat tempatan sebagai tempat untuk beribadat lebih-lebih lagi buat golongan senior. Itu hakikat yang telah wujud sejak zaman-berzaman lagi dan masih terus-menerus sehingga kini. Mengapa ianya sentiasa statik? Mengapa orang hanya menjejakkan kaki ke masjid hanya untuk solat sehinggakan usaha-usaha atau program yang bersifat keduniaan/kemasyarakatan yang dilakukan di masjid dipandang ‘semacam’ oleh setengah-setengah pihak lantas wujudnya terma ‘salah guna masjid’?
Sebenarnya banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya fenomena statik ini namun saya lebih berminat untuk melihat peranan yang mampu dimainkan oleh insan yang bernama arkitek. Mungkin tidak ramai yang berpendapat para arkitek mempunyai saham yang agak besar dalam mencorakkan persepsi/suasana yang terbina di dalam masjid. Kita lebih senang untuk menuding jari kepada AJK-AJK masjid ataupun masyarakat sekeliling sekiranya masjid lengang ataupun sunyi daripada majlis-majlis ilmu mahupun alunan tadarus al-Quran anak-anak muda.
Rupa Masjid
Tidak keterlaluan saya katakan bahawa masjid-masjid di Malaysia rupanya terlalu seperti masjid. Rasanya ayat saya tidaklah terlampau berbelit. Masjid mestilah berkubah, masjid mestilah mempunyai arches, menara dan penuh dengan ukiran-ukiran di dinding baik di dalam mahupun di luar. Ini standard wajib yang perlu ada jika mahu sesebuah bangunan itu dipanggil masjid. Maka piawai inilah yang diulang-ulang gunapakai sehingga ke hari ini. Kita terlalu menitikberatkan rupa luaran tetapi menitikberatkan terbinanya suasana ‘belong to each and everyone’ di kalangan rakyat tidak pernah diusahakan. Cuba lihat gambaran masjid di bawah seliaan saya ketika ini.
Isi Masjid
Inilah masjid kita. Tidak pernah berubah. Orang akan terus bercakap “Itu ialah masjid dan itu tempat untuk solat”, “Kita akan solat raya di masjid kemudian jamuan raya di Hotel Warisan selepas solat”, “Masjid/surau itu susah sikit hendak tidur, mesti tok siak akan tegur”. Ini dialog-dialog yang saya sendiri rasa ada kebenarannya apabila orang mula melabelkan masjid/surau hanya tempat untuk beribadat bukan multifunction area. Cuba bayangkan apabila masjid yang rupanya seperti shopping mall namun interior designnya tidak ubah seperti rumah Melayu dengan bilik serbaguna secantik hotel 3 bintang? Mungkin dialog tipikal di atas akan berubah sedikit.
“Kita akan mengadakan AGM syarikat kita di dewan mesyuarat Masjid Kariah Ampangan. Cantik dan selesa betul dewan itu. Tambahan senang sikit nak solat bila azan.”
“Malam ini nak jumpa kat mana? Erm, lepak kat Masjid Ampangan jer lar, kopitiam di situ sedap betul! Lagipun ingat hendak follow talk by Saiful Nang pasal fotografi lepas Asar dekat courtyard masjid.”
“Aish, walaupun rumah aku jauh nun di Kelantan sana, namun bila dapat peluang rehat dan tidur kat ruang rehat Masjid Ampangan, hilang perasaan rindu pada rumah.”
Isi+Rupa
Perkaitan antara rupa/susun-atur memainkan peranan yang sangat besar dalam mencorakkan pemikiran, penerimaan dan pencorakan isi dalam masjid oleh masyarakat. Kuasa yang dimainkan oleh arkitek dalam membina pola penerimaan di kalangan masyarakat sangat besar cuma tidak banyak yang benar-benar berkesan. Walau bagaimanapun, perkaitan ini hanyalah satu cetusan dalam mempelbagaikan lagi usaha penambahbaikan institusi masjid sebagai pusat ketamadunan yang suatu ketika dahulu pernah mencapai zaman kegemilangannya. Masih banyak lagi pros+cons dalam idea ini. Namun tidak salah jika ada sesiapa yang berani untuk mengkajinya bagi peringkat PhD. Mungkin anda akan dilihat sebagai golongan yang menunggang-balikkan fahaman tipikal tentang masjid, tapi niat dan usahalah ke arah untuk mengembalikan peranan masjid sebagai pusat segala-galanya. Pastinya akan menjadi lebih indah.
Amir Farid bin Sabuddin,
Ketua Biro Media,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan
Nota: Saudara Amir Farid merupakan graduan dalam bidang arkitek di Deakin University, Australia dan pernah menerima ‘Peddle Thorp Award’ di atas karya senireka yang dihasilkan untuk projek akhir tahun beliau. Beliau kini sedang berkhidmat sebagai arkitek di Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan.