Dua Tokoh PEMBINA Bangi Ungguli Anugerah

KAJANG, 22 Feb – Dua orang tokoh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Bangi telah meraih anugerah dalam Majlis Penyampaian Anugerah sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan Kali Ke-7 (MATK7) PEMBINA, bertempat di Auditorium Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Saudara Mohammad Noorazlan B. Azis, Timbalan Pengerusi PEMBINA Bangi telah mengungguli Anugerah Tokoh Mahasiswa. Beliau telah dicalonkan sebagai Tokoh Mahasiswa atas pencapaian beliau yang mengkagumkan dalam dakwah dan akademik beliau. Antara pencapaian beliau  ialah Anugerah Tesis Terbaik di peringkat persidangan antarabangsa, Anugerah Dekan dua kali berturut-turut, Anugerah Projek Terbaik peringkat Universiti Putra Malaysia (UPM), Johan Debat dan Pendebat Terbaik peringkat UPM.

“Kejayaan yang dimiliki pada hari ini datangnya dari Allah melalui komitmen dan disiplin yang tinggi dalam menuntut ilmu. Sudah tentunya kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa adanya nilai tarbiyyah yang mendidik secara berterusan supaya memiliki sifat tersebut. Kesibukan dalam melaksanakan dakwah dan akademik merupakan satu kekuatan yang dapat dimanfaatkan untuk penyusunan komitmen dan disiplin yang baik”, kata beliau dalam sesi temuramah.

Saudara Azlan turut berkata dakwah dan akademik merupakan tulang belakang yang saling bergantung antara satu sama lain. Sudah pastinya rahsia kejayaan hari ini datangnya dari didikan tarbiyyah melalui gerakan dakwah yang meningkatkan jati diri untuk terus cemerlang di dalam akademik.

anugerah bangi

Pada masa sama, saudari Sayang Syamira Bt. Sobri, MPP UPM dan juga aktivis PEMBINA UPM pula dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas (Pilihanraya). Dalam Pilihanraya Kampus (PRK) UPM yang lalu, beliau telah bertanding sebagai Calon Fakulti di Fakulti Pendidikan UPM.

Di samping memperjuangkan isu kebajikan, agenda paling utama dalam manifesto beliau ialah memperkasakan profesion pendidikan melalui Islamisasi pendidikan. Beliau telah memenangi dalam pilihanraya tersebut dengan slogan “Mahasiswa Berintegriti, Peneraju Kegemilangan”.

MATK7 telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang daripada cawangan-cawangan PEMBINA di seluruh Malaysia. Majlis Penyampaian Anugerah ini bertujuan untuk meningkatkan daya bersaing di kalangan aktivis-aktivis serta cawangan-cawangan PEMBINA dalam misi meneraju arus mahasiswa beragendakan Islam. MATK7 telah berlangsung dengan lancar dan tamat pada pukul 6 petang.

Mohd Hazwan Harun
Wartawan PEMBINA Bangi

Sumber

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top