Lemah Jatidiri Punca Kerosakan Dalam Kalangan Belia

Arau, 7 Mac 2013 – Kerosakan yang berlaku dalam masyarakat khususnya belia hari ini adalah disebabkan oleh lemahnya jatidiri dalam diri masyarakat yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk melawan anasir luar yang menyerang.

Begitulah tegas Pengerusi PEMBINA Perlis, Muhd Hafiz Abdul Rahim semasa menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Agung PEMBINA UiTM Perlis kali ke-2 semalam.

Tambah beliau lagi “Musuh yang jelas bagi umat Islam adalah Yahudi, Nasrani dan orang kafir yang tidak sependapat dengan orang Islam. Tetapi hakikat yang berlaku di Malaysia menunjukkan umat Islam lebih gemar bermusuh antara satu sama lain sebaliknya bersahabat baik dengan orang kafir.”

Beliau turut menegaskan pendirian PEMBINA yang menganggap Liberalisme sebagai satu serangan dan ancaman kepada masyarakat Malaysia khusunya kepada umat Islam di Malaysia dan PEMBINA dengan sedaya upaya cuba untuk mengisi kelompongan yang ditinggalkan oleh gerakan Islam lain dalam usaha membangkitkan keislaman dalam diri setiap belia Islam dan melawan arus yang menentang Islam.

Justeru, kata beliau, PEMBINA perlu berperanan untuk bangkit menyedarkan masyarakat tentang agenda-agenda kafir yang mencairkan identiti dalam jiwa umat Islam di Malaysia.

“PEMBINA hadir dengan motonya “Meneraju Arus Mahasiswa” cuba menyediakan pelbagai program berbentuk islamik yang bermatlamatkan untuk membangkitkan jatidiri Islam dalam diri setiap belia supaya para belia kembali menghayati Islam yang syumul dalam kehidupan seharian mereka” jelas beliau lagi.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PEMBINA UiTM Perlis yang kini sudah menjengah usia 2 tahun dan mengingatkan supaya Jawatankuasa PEMBINA UiTM Perlis dapat mengoptimumkan penglibatan, bakat dan potensi para mahasiswa dan mahasiswi UiTM yang telah mendaftar secara sah sebagai ahli PEMBINA.

Sebelum mengakhiri ucapan, beliau berpesan kepada pimpinan PEMBINA UiTM Perlis serta para ahli yang hadir supaya menitikberatkan keikhlasan dalam perjuangan dan menjaga iman serta ruh agar segala gerak kerja yang dirancangkan sentiasa berada di atas jalan yang benar sekaligus merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Wartawan : Mior Mohammad Zulfaiz | Jurufoto : Syamil Akmal

Sumber

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top