Kenapa Allah uji kita?

Bismillahirahmanirahim…

“ dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang- orang mukmin. Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka bahkan aku tidak menghendaki agar mereka memberi rezeki  kepada-Ku. Sesungguhnya Allah , Dialah Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh.”Al-Quran, surah Adz dzaariyaat ayat 55 -58

Tahukah anda kenapa kita hidup di dunia ini?

“Kenapalah aku hidup dimuka bumi ni..sudahlah miskin, dipandang hina pula.”

“Kenapalah kau hidup kat dunia ni ya? Anak tak guna , hidup menyusahkan orang!”

Begitulah keluhan-keluhan sebahagian orang di sekeliling kita.

Begitu jugalah dialog yang sering kita dengar di drama-drama tv.

Adakah kita ini dihidupkan untuk sentiasa diuji oleh Allah?

Adakah kita ini dihidupkan untuk menyusahkan orang lain?

Adakah kita ini dihidupkan untuk meminta simpati orang lain?

Masha Allah, sudah tentulah TIDAK! sebenarnya kita sebagai manusia ini sangat bertuah kerana terpilih dilahirkan dimuka bumi ini. Walau bagaimanapun latar belakang kehidupan kita di dunia , ingatlah di akhirat kita semua adalah sama cuma yang membezakan adalah amalan kita di dunia.

Manusia dihidupkan di muka bumi ini bukanlah sesuatu yang sia-sia dan hanya berseronok dengan kesenangan dunia bak kata seorang artis dalam cerita yang mungkin cukup popular … “kita enjoy! ”

Tapi kita sebagai manusia telah diamanahkan dengan satu tujuan iaitu untuk melaksanakan ibadah kepada Allah dan mendapatkan keredhaan-Nya. Seperti yang telah tertulis didalam al-quran dalam surah adz-dzaariyaat ayat 56 iaitu :

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku”

Cuba kita semua melihat diluar kawasan rumah atau di tempat kerja atau di tempat belajar.

Adakah kita benar-benar telah menjalankan kewajipan kita sebagai seorang muslimin/mat apabila seseorang yang terdekat dengan kita diuji oleh Allah? Tepuk dada tanya iman.

Sebagai contoh yang kita selalu lakukan ialah apabila kita hendak membeli barang. First, apa yang kita buat? kita akan tulis dahulu senarai barang yang kita nak beli atau kita gunakan minda kita untuk mengingat apa yang kita nak beli sebelum pergi ke pasaraya.

Bila sudah tiba di pasaraya , kita nampak pelbagai barang yang unik , warna-warna yang menarik hati, ada sale sana ada sale sini hinggakan kita boleh terlupa senarai barang yang nak dibeli dan terbeli pula barang yang tidak penting atau perlu bila ada perkataan ‘sale’. Akhirnya barang yang hendak dibeli tidak jadi pula akibat modal yang dikeluarkan tidak mencukupi.

Begitu juga dengan kehidupan kita di dunia. Kita sudah ada senarai yang perlu kita lakukan untuk membeli syurga Allah tapi apabila di dunia ini, ramai yang lalai kerana terpesona dengan keindahan dunia sebagaimana kejadian di pasaraya yang di ceritakan sebentar tadi.

Kita juga mempunyai 3 amanah yang diberikan oleh Allah kepada kita iaitu :

1. Penumpuan niat kerana Allah.

2.  Penumpuan kepada tauhid seperti penolakan kepada syirik.

3.  Penumpuan kita kepada ikutan kita Nabi Muhammad S.A.W.

Kenapa Allah timpakan ujian?

Allah sebenarnya sangat SAYANG pada kita. Tidak percaya?

Sebenarnya Allah sangat mencintai kita sebagai hambanya tetapi kita sahaja yang selalu leka dan menjauhi-Nya kerana kesibukan urusan kita di dunia. Contohnya sebagai student yang study sehingga melewat-lewatkan solat.

Apabila lelaki dan perempuan tidak segan silu bertepuk tampar. Apabila si anak terhimpit diantara perkelahian ibu dan bapa. Apabila kita terlalu seronok dengan kemewahan dunia. Senang cerita apabila kita lebih mengutamakan urusan dunia berbanding akhirat.

Cuba kita bayangkan konsep Allah sayangkan kita ini dengan apabila kita sangat menyukai seseorang itu sehinggakan sanggup berbuat apa sahaja kepadanya tetapi orang itu selalu endah tidak endah dengan kita, apabila hendak sesuatu meminta pada kita,setelah dapat yang dikehendaki terus lupakan kita. Bagaimanakah perasaan kita ketika itu? Begitu jugalah dengan Allah.

Jadi? Allah memanggil kita supaya kembali dekat kepada-Nya. Allah menyentuh hati kita supaya kembali mencintai-Nya. Caranya? dengan meningkatkan amalan kita dan memberikan jiwa kita kepada-Nya. Dalam surah kedua , Al-Baqarah ayat 186 :

“Dan apabila hamba-hambaku bertanyamu (Muhammad) tentang aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.”

~ Jika dulu kita kerap kali melewat-lewatkan solat hingga mungkin tertinggal,  dengan adanya ujian daripada Allah ini kita kembali menunaikan solat tepat pada waktunya.

~ Jika dulu kita selalu memikirkan segala kejayaan adalah disebabkan usaha kita sendiri tanpa memikirkan ia sebenarnya datang daripada Allah, dengan adanya ujian ini, kita kembali bergantung dan mengharap bantuan daripada Allah.

~ Jika kita merasakan kita keseorangan dan tiada sesiapapun yang sayang pada kita, dengan adanya ujian ini, kita dapat mencari kasih sayang sebenar iaitu kasih sayang Allah.

Semakin tinggi iman kita semakin tinggi ujian kita.

Allah mahu kita kembali menyucikan jiwa dan sentiasa  bertawakal kepada-Nya pada setiap usaha yang kita lakukan. Kerana itulah, Allah memberikan ujian kepada kita setanding dengan keimanan kita kepada-Nya.

Allah sayangkan kita, disebabkan itu Allah nampak kita daripada berjuta-juta orang yang mampu untuk menanggung ujiannya.

Sebagai contoh: Mamat ini imannya begini tak boleh diberi ujian sebegini kerana Allah tahu kemampuan Mamat ini untuk menghadapi ujian-Nya tetapi apabila imannya meningkat, Allah bagi ujian yang dahulunya Allah ingin berikan, kerana Allah tahu Mamat ni boleh menghadapinya.

Oleh itu, Kita harus selalu bersyukur dan berterima kasih kepada ujian Allah. Untuk apa?  Untuk setiap ujian yang dapat  membantu jiwa kita kembali kepada Allah.

Layak kah kita diuji?

Sebenarnya kita harus bertanya pada diri kita “adakah layak kita hamba Allah yang kerdil ini  bertanya pada Allah : Kenapa aku  dipilih untuk diuji?”

“Wahai allah, aku dah buat baik tapi kenapa tidak dapat rezeki lagi”

“Wahai allah, aku dah bersedekah tapi kenapa aku tidak kaya lagi? “

“Wahai allah, aku dah study gila-gila, tapi kenapa result aku teruk!”

soalan famous dikalangan student.

Tahukah, soalan-soalan seperti ini dikira sebagai kita tidak beradab kepada Allah. Jika orang selalu bertanya “kenapa Aku?”. First thing ,kita kena checkbalik tauhid kita kepada Allah.

Rasulullah pernah bersabda : “apabila kita tidak pernah diuji oleh Allah , kita akan terleka dan terlampau seronok dengan kesenangan yang sementara”.

Allah juga sudah menetapkan darjat kita di syurga. Oleh itu, apabila amalan  kita masih tidak mencukupi untuk mencapai darjat tersebut, Allah memberi ujian kepada kita untuk meningkatkan amalan kita supaya mencapai  darjat yang Allah berikan di dalam syurga.

thanks-Allah

Perlukah kita mengeluh?

Jika kita masih mengeluh tentang nasib kita tidak sebaik orang lain atau masih menyalahkan Allah terhadap apa yang terjadi, lihatlah ciptaan Allah di sekeliling kita.

Apa yang kita lihat? Betul! Kita lihat pokok , langit, awan, haiwan ,dan banyak lagi. Sebagai contoh yang boleh kita ambil pengajaran ialah cacing. Apa yang ada padanya ? sudahlah buta, pekak, bisu malah tidak berkaki dan tidak ada tangan. Boleh dikatakan “O.K.U Total”. Adakah ia mengeluh dengan keadaan dirinya? Tidak!

Walaupun cacing serba kekurangan tapi apabila kita lihat di tanah, cacing tetap besar. Tidak cukup dengan cacing, kita ambil iktibar daripada seekor cicak. Ada apa pula dengannya? Cuba kita bayangkan Allah memberikan rezeki pada ia iaitu serangga yang terbang sedangkan cicak sendiri tidak boleh terbang.

Adilkah? Adakah kita pernah mendengar cicak menangis atas ujian yang menimpa pada dirinya? Apa akan terjadi jika cicak mengeluh kerana nasibnya yang tidak boleh terbang. Layakkah? Oleh sebab itu kita perlu bersyukur kepada-Nya.

Bagaimana nak jadikan ujian kita menjadi mudah?

Ujian merupakan sebahagian dari hidup yang tidak terlepas daripada kita. Kita semua akan diuji. Cuma ujian yang kita hadapi mungkin berbeza dengan orang lain. Apa yang Allah amanahkan kepada kita, itu adalah ujian kita daripada Allah.

Menguruskan ujian bermaksud menguruskan kehidupan kita .Apa yang perlu kita lakukan ketika diuji? Disini terdapat beberapa tip menjadikan ujian Allah itu mudah.

1.   Letakkan cita-cita tinggi dalam hidup kita. Apakah cita-cita itu? Iaitu untuk bertemu dengan Allah. Dunia ini merupakan satu tempat uji kaji untuk meletakkan diri kita di syurga Allah.

2.  Kalau berlaku sesuatu kepada kita  yang kita tidak suka berupa nikmat ataupun bala, jangan mengamuk    dulu. Redhalah untuk menerima ujian Allah dan yakinlah bahawa  ini untuk mengukuhkan akidah kita.

Jika Allah mengkehendaki sesuatu musibah itu berlaku ,maka ia akan berlaku dan begitulah sebaliknya. Jika Allah mengkehendaki sesuatu nikmat itu berlaku, maka ia akan benar-benar berlaku dan begitulah sebaliknya. Pasti ada hikmah disebalik segala sesuatu itu berlaku.

3. Bertenanglah. Jangan terus menghukum diri. Jangan juga kita terus kelam kabut. Ketenangan diri sangat penting. Sebagai contoh, apabila berlaku pertengkaran antara suami dan isteri, percepatkanlah memohon bantuan terhadap petunjuk kepada Allah untuk kebaikan bersama. Seperti yang telah tertulis didalam al-quran dalam surah ke-13 Ar-Ra’d ayat 28 ,

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

4. Doa- Perbanyakkan doa kita kepada Allah. Sebabnya, Allah rindu nak dengar doa kita yang khusyuk kepada-Nya. Doa itu juga senjata bagi orang  mukmin. Banyakkan pergantungan kita kepada Allah kerana semua ujian ini berlaku atas kehendak-Nya. Oleh itu, jangan kita lupa bahawa Allah jugalah adanya jalan penyelesaian pada setiap ujian.

5. Tafakkur – Pilihlah satu masa untuk berfikir tentang apa kebaikan dan hikmah atas ujian yang Allah berikan menimpa kepada diri kita. Sentiasa muhasabah diri kita untuk mempertingkatkan pembangunan diri kita. Jangan lupa, sentiasa berfikiran positif terhadap Allah.

Sentiasa muhasabah diri kita dengan mengatakan : “Aku bukan orang sini, tapi aku pemegang transport akhirat.” Apabila kita merasakan kita hanya sebentar di dunia , kita akan berasa kesusahan dalam setiap ujian itu akan hilang.

6. Sentiasa mengambil iktibar daripada kisah-kisah sirah para nabi. Kita kena melihat sirah junjungan Nabi Muhammad S.A.W sebelum dan selepas islam diperkenalkan. Terlalu banyak ujian yang ditanggung oleh para nabi untuk menyebarkan agama Allah.

Selain itu, kita ambil iktibar dari kisah Nabi Ayob yang diberi kemewahan dan ditarik kembali kepada Allah. Adakah nabi kita mengeluh dan terus meninggalkan ujian Allah? Sudah tentu TIDAK! Nabi kita terus menyahut ujian Allah atas satu tujuan iaitu mendapat keredhaan Allah.

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan , kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah , mereka berkata “ Innalillahi wa inna ilaihi rajiun”(sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” Al-Quran surah kedua,Al baqarah ayat 155-157

Kesimpulan

Ingatlah! Semua ini adalah pinjaman dari allah. Bermula kepada sekecil-kecil benda seperti kuman sehinggalah sebesar-besar alam seperti planet matahari. Sekiranya kita melupakan Allah itu merupakan ujian kita kepada Allah. Orang-orang  yang ingat kepada Allah pada setiap musibah yang menimpa, Allah akan berikan kasih sayang dan mereka ini ialah orang yang terpimpin dalam hidayah Allah.

Bila kita lihat orang yang ditimpa ujian, berdoalah supaya ujian  itu tidak menimpa kepada diri kita. Sebarang ujian itu datangnya dari allah dan ia merupakan panggilan dari Allah. Bertuahlah kepada sesiapa yang mendapat ujian-Nya kerana Allah nampak kita diantara jutaan hambanya di dunia ini.

Oleh;

Norhazimah bt Zainal Abidin,
Naib Presiden PEMBINA UPM,
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

Sumber

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top