Persembahan istimewa dari pasukan Nasyid Maahad Pontian
Pontian– Pada 27 Februari 2010 Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Johor telah bersama-sama memeriahkan Konsert Nasyid anjuran Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM) Johor. Bertempat di Dewan Besar SMK Dato’ Penggawa Barat Pontian, Johor, program ini telah berjaya mengumpulkan ramai remaja, belia, kanak-kanak dan ibu bapa yang tinggal di sekitar daerah Pontian. Persembahan nasyid artis terkenal tanah air, Saudara Nazrey Johani telah berjaya membuatkan para hadirin terhibur melalui lagu-lagu nyanyian beliau yang sarat dengan mesej, pengajaran dan pujian kepada Allah dan Rasulullah.Konsert ini turut dianjurkan sebagai usaha beliau untuk membangunkan kompleks Al-Tahfiz Bayu Syahadah di tanah kelahiran beliau di Ranau, Sabah.
Pada kesempatan tersebut, Ahli PEMBINA Johor telah membuka beberapa buah gerai jualan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para belia. Ahli PEMBINA juga menggunakan ruang yang ada untuk menerangkan kepada para belia yang hadir tentang misi dan motto PEMBINA serta aktiviti yang telah dijalankan serta sedang dirancang untuk dilaksanakan pada masa akan datang. Ramai para belia yang hadir berminat dan telah mendaftar untuk menjadi Sahabat PEMBINA.
Selain daripada itu, kumpulan nasyid PEMBINA Johor juga telah dijemput untuk membuat persembahan pada malam tersebut.
Semoga PEMBINA Johor terus maju dan mampu mengajak lebih ramai belia Islam menjadi anggota masyarakat yang bermanfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain.