Petang itu kelas berjalan seperti biasa, aku lihat rakan-rakan sekelas menumpukan sepenuh perhatian terhadap subjek yang diajar. Tiada kipas buat menyejukkan hawa, hanya angin sepoi-sepoi bahasa yang setia menemani lamunan dan perasaan.
Aku tatap buku lusuh yang telah diulang pakai generasi demi generasi. Biarlah buku itu dan dinding kelas yang berlubang-lubang kesan tembakan peluru menjadi saksi di hadapan Allah akan azam dan cita-cita kami yang tidak pernah padam untuk membebaskan bumi al Aqsa.
Aku tatap lukisan-lukisan aku dan rakan-rakan sekelasku di dinding, harapan kami bahawa Palestin akan bebas suatu hari nanti amat kami yakini.
Aku tenggelam dalam lamunan, teringat pesan ayahku yang telah syahid tidak lama dulu dalam satu operasi di sempadan. Ayah gugur syahid ditembak peluru perpandu dari pesawat tanpa juruterbang tentera penjajah Israel ketika sedang melancarkan roket yang ditembak ke pekan Sderot.
“Hanan, belajarlah bersungguh-sungguh, Allah akan menjadi saksi akan kesungguhan dan tawakkal kita. Dengan iman, dengan ilmu, dengan roh dan dan darah kita akan bebaskan tanahair kita” seakan-akan tergambar wajah ayah yang lembut sedang berkata-kata.
Sinar dimatanya membayangkan harapan dan janji Rasul yang pasti akan terlaksana suatu hari nanti.
“Hanan, darah ibu dan adik akan kita tuntut bela, keadilan Allah pasti akan tiba, terus berkorban dan berjihad, masanya pasti akan tiba” kata-kata keramat arwah ayah membakar semangatku, darah ibu dan adikku yang baru berusia 7 bulan terkorban dalam tragedi pengeboman pasar Gaza jelas terbayang di depan mata.
Aku genggamkan tangan mengingat sumpah keramat aku dan ayahku untuk mencari pembelaan dan keadilan buat keluargaku yang telah terkorban syahid
“Hanan, kamu faham penjelasan cikgu sebentar tadi” Cikgu Husna berhenti seketika, matanya merenung tajam kepadaku, mungkin melihat aku mengelamun sebentar tadi.
“Faham cikgu, insyaallah” aku menjawab dengan penuh adab.Cikgu Husna adalah susuk yang amat aku hormati dan kagumi, kerana kesungguhan dan keseriusannya dalam mendidik kami.
Bagi Cikgu Husna, kami adalah ibarat anak-anaknya sendiri dan sekolah ini adalah segala-galanya bagi dirinya.
Cikgu Husna telah kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam penyembelihan di kem Jenin yang telah berlaku lebih 10 tahun lalu, kini seluruh hidupnya diwaqafkan untuk mendidik anak bangsa bagi membina kembali kekuatan dan kemuliaan anak-anak Gaza.
Cikgu Husna kembali menyambung pengajarannya dan aku menumpukan kembali sepenuh perhatian sehinggalah kedengaran bunyi yang amat menggerunkankan hati.
“Hanan, itu bunyi kapal terbang Israel kan?” Humaira, sahabat karib dan teman sepermainanku di asrama anak yatim nursyifa yang duduk di sebelah mejaku bertanya.
Wajahnya kelihatan amat bimbang, dan perasaan itu dikongsi bersama oleh seluruh ahli kelas darjah 6 Ahmad Yassin.
Kelihatan wajah-wajah yang ketakutan, ada yang menangis manakala pelajar lelaki ada yang bertakbir.
Walaupun kami telah dididik agar tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah, dan bunyi itu telah biasa kami dengar, namun bunyi kali ini kedengarannya terlalu hampir dan agak menakutkan, deruman enjin jet penjajah Israel kali ini kedengaran lebih dekat dari biasa.
“Anak-anak, cepat masuk ke bawah meja!” Cikgu Husna menjerit, wajahnya juga kelihatan cemas.
Namun ada riak ketenangan diwajahnya, riak cinta dan rindu kepada mati syahid, cita-cita tertinggi yang sentiasa dikongsikan oleh Cikgu Husna kepada kami hingga aku juga bercita-cita untuk syahid suatu hari nanti.
Kami cepat-cepat menyusup ke bawah meja, namun ada beberapa pelajar lelaki yang meluru ke tingkap dengan wajah yang menyinga sambil tangan mereka menggengam serpihan batu daripada pecahan dinding bilik darjah.
Batu-batu itu dilontarkan kearah jet dan helikopter apache yang kian mengampiri sekolah kami di Khan Younis.
“Boooommmmm” satu letusan kuat kedengaran
******
Aku buka mata perlahan-lahan, suasana sunyi sepi, esak tangisan telah terhenti, suara takbir juga telah tiada, Cikgu Husna juga tidak kelihatan dimana-mana, hanya kelihatan debu-debu dan runtuhan yang amat dahsyat.
Walaupun ketakutan, aku memberanikan diri bangun, syukur pada Allah yang masih memberi aku kesejahteraan dan keselamatan dicelah-celah runtuhan bangunan.
Aku lihat ke kiri dan ke kanan, suasana sungguh mengerikan, ada rakan sekelasku yang terkulai, ada yang hilang kaki dan tangan, ada yang darah memenuhi wajah mereka.
Aku teringatkan Cikgu Husna, lalu aku mencari-cari dirinya. Tiba-tiba aku lihat jasad Cikgu Husna terbujur kaku dicelah-celah runtuhan, aku berlari kepadanya, menggerak-gerakkan tubuhnya, namun tiada respon.
Cikgu Husna telah mencapai cita-citanya yang tertinggi.
Aku menangis disisi tubuhnya yang kaku, darah merah mengalir tanpa henti dari tubuhnya, aku tidak pasti lagi, apakah aku takut, apakah aku sedih, apakah aku gembira, perasaanku tidak keruan.
Aku teringatkan rakan karibku disebelah meja, “Ya Allah, selamatkanlah Humaira”,getusku di dalam hati.
Aku berlari dalam suasana samar-samar, esak tangis mula kedengaran, kelihatan beberapa rakan sekelasku telah mula bangkit, masing-masing ketakutan dan keliru.
Aku tiba di tempat aku bangkit tadi. Humaira aku lihat telah terbujur kaku, seketul batu besar menghempap kepalanya.
“Humaira, humairaaaaa. …” aku memeluk tubuhnya, aku rangkul serapat-rapatnya. Aku peluk dan aku cium wajah rakan karibku sepuas-puasnya. Tergenggam erat di tangan Humaira anak patung kesayangannya, aku letakkan anak patung itu di dadanya, aku tutup matanya, kelihatan wajahnya seakan-akan tersenyum.
“Humaira, berjanjilah kita akan bertemu kembali disyurga, kita akan bermain sepuas-puasnya disana, ukhti doakan ana juga syahid ye…” aku berbisik perlahan-lahan ditepi telinganya, airmataku tumpah lagi, entah kali yang ke berapa.
Aku berlari ke luar, aku berlari dan terus berlari, tidak pasti kemana harus aku tuju, aku berlari di celah-celah runtuhan bangunan tanpa arah, ku turutkan sahaja ke mana kaki ku pergi.
*****
Langkahku terhenti seketika, aku menarik nafas panjang dicelah-celah lorong, kedengaran bunyi dentuman peluru dan ledakan bom tanpa henti.
Saat-saat begini, aku teringatkan nasihat-nasihat dan kata-kata ayah yang tidak pernah gagal dalam mendidikku dengan penuh hikmah dan kasih sayang.
“Ayah, kenapa kita harus begini? Dimanakah umat Islam yang lain, bukankah tanggungjawab mereka untuk membantu kita?
Aku teringat dialog di suatu pagi yang hening di tepi pelabuhan. Kelihatan nelayan-nelayan tetap cekal walaupun hanya dibenarkan menangkap ikan dalam kawasan yang terhad.
Walaupun aku baru berusia 12 tahun, namun ayah tidak pernah menganggap aku begitu. Titipan kata-kata semangat dan nasihat sentiasa diungkapkan. Aku belajar erti perjuangan walaupun dalam usiaku yang masih hijau.
“Hanan, jangan sekali-kali menyesali nasib kita, kita harus berbangga kerana kitalah yang dipilih oleh Allah untuk menjadi barisan hadapan umat ini dalam berdepan dengan kekejaman musuh-musuh Allah” ayahku tenang dalam menjawab persoalan, sinar diwajahnya menggambarkan harapan dan azamnya yang cekal.
“Walaupun kita lemah, tapi Allah sentiasa bersama-sama dengan kita, itu adalah kemenangan yang sebenar” ayahku menjelaskan sambil wajahnya merenung jauh ke lautan.
“Hanan , dunia ini hanya sebentar, akhirat itulah yang lebih kekal, kita hanya akan menderita disini paling lama dalam 50 atau 60 tahun, syurga akan menunggu kita jika kita terus teguh dan istiqamah dalam perjuangan ini”
“Tapi ayah, bukankah tanggungjawab setiap muslim dimana sahaja untuk membebaskan al aqsa? Mengapa mereka tidak membantu kita ayah?” aku masih tidak
puas hati kerana ayah tidak menjawab persoalanku tadi.
“Hanan, umat hari ini bukan lagi seperti umat dahulu, umat hari ini telah dihinggapi oleh penyakit cinta dunia dan takutkan mati, kita tidak perlu risau akan tanggungjawab mereka, apa yang perlu kita risau adalah tanggungjawab kita.
Kita harus berdoa agar umat ini kembali gagah dan Islam akan kembali menjadi rahmat kepada seluruh alam”
“Hanan, jika ayah telah tiada, teruskan perjuangan ini, jangan lemah dan jangan putus asa, kerana kitalah yang paling mulia jika kita beriman dan berazam, Allah tidak akan bersama-sama dengan mereka yang berputus asa”
Kata-kata keramat ayahku, terngiang-ngiang di telinga, kelihatan pejuang-pejuang Hamas sedang mengambil kedudukan masing-masing. Dahulu, ayahku adalah sebahagian dari mereka, ayah telah menunaikan janjinya dengan Allah dan rakan-rakannya sedang menanti giliran mereka dengan gembira.
*****
Bunyi deruman enjin mengejutkan aku dari lamunan, kelihatan sebuah kereta kebal tentera Israel sedang menuju ke arah tempat persembunyian tentera-tentera Hamas.
“Aku harus pertahankan mereka, inilah peluangku untuk syahid, seolah-olah terbayang wajah ayah, ibu, adik, Cikgu Husna dan Humaira sedang melambai-lambai dari syurga.
Aku mengutip seketul batu yang agak besar dan terus aku berlari ke sebuah timbunan runtuhan, betul-betul tepat ke arah tempat tujuan kereta kebal tentera Israel tadi.
Aku genggam batu itu seerat-eratnya, dan aku menunggu saat yang sesuai untuk melemparnya dengan segenap kekuatan yang ada. Kereta kebal itu terus maju, kali ini aku tidak lagi gentar, aku nekad, aku ingin syahid.
Kereta kebal itu akhirnya berhenti betul-betul dihadapanku dan menghalakan muncung meriam tepat ke tubuhku. Tidak sekelumit pun aku gentar, batu itu aku lemparkan sekuat hati dan mengenai kereta kebal itu.
Aku menutup mata, menanti saat rohku bebas dan menyanyi di syurga.
Suasana sepi seketika
Tiada ledakan, tiada letusan, aku masih berdiri disini, kereta kebal itu masih disitu. Aku melihat pejuang-pejuang Hamas telah bersedia dengan senjata masing-masing, namun mereka masih tidak melepaskan tembakan, mungkin khuatir akan mengenai diriku.
Tiba-tiba kereta kebal itu mengundur, aku memberanikan diri lagi, aku kutip batu-batu dan terus aku lemparkan ke kereta kebal tentera penjajah zionis itu.
Kereta kebal itu mengundur lagi, dan terus bergerak ke arah lain dan akhirnya hilang dari pandangan mata
Aku terduduk, wajahku yang penuh debu aku biarkan.
“Hanan, syahid itu adalah anugerah Allah, berjuanglah bersungguh-sungguh, Allah akan menunaikan janjinya kepada kita, samaada menang atau syahid” Itu pesanan terakhir ayah ketika dia keluar dari rumah buat kali yang terakhir.
Wajah ayah seakan-akan tersenyum terbayang dimataku, masih terasa hangat pelukan dan belaian ayah.
“Hanan rindu pada ayah, rindu pada ibu, rindu pada adik” aku tahan airmataku dari tumpah, kerana tiada siapa yang akan menyeka air mata ini lagi.
Aku pasrah, namun langkah ini harus ku kuatkan kerana aku akan terus berjuang dan berjihad sehingga Allah memberikan keputusannya.
Perlahan-lahan aku bangun, aku genggam tanah dan aku lafazkan sumpah keramat…
“Palestin akan bebas suatu hari nanti, dengan izin Allah aku tidak akan berhenti berjuang sehingga aku syahid”
*****
Abuhumaira 1:06 am
Mohd Hisham Mohd Sharif
“Jika Bukan Kita Siapa Lagi
Jika Bukan Sekarang Bila Lagi”
http://hisham79. blogspot. com