16 Mei sinonim dengan sambutan Hari Guru seluruh negara namun dirosakkan dengan aktiviti tidak bermoral. Bahkan ini kali pertama konsert di dalam tren diadakan di dalam negara kita!
Konsert adalah sebuah hiburan yang melalaikan dan bukan itu sahaja, konsert adalah lubuk maksiat. Konsert Pinkfish yang menampilkan Armin Van Buuren dikatakan telah tujuh tahun tidak menjejakkan kakinya ke Malaysia. Dan kini sedang membuat siri jelajah di beberapa buah negeri serta negara.
Walaupun ada bunyi suara yang mengatakan bahawa konsert itu untuk mereka yang bukan beragama Islam, namun hakikatnya ada sahaja kelibat anak gadis melayu bertudung terkinja-kinja di dalam tren KTM. Tenggelam dalam suasana maksiat, dikelilingi dengan yang bukan mahram serta pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Soalannya, adakah apabila sesebuah konsert atau hiburan melampau ini diadakan di dalam negara kita yang majoritinya beragama Islam, maka umat Islam Malaysia hanya perlu akur serta setuju dengan penganjuran konsert itu?
Masyarakat yang beriman perlu kembali melihat sebuah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Daud;
Maksudnya: “Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” [Riwayat Abu Daud (4338)]
Jelaslah bahawa sememangnya kita dituntut untuk tidak berdiam diri dalam perkara maksiat atau kemungkaran. Ini kerana, tugas amar ma’ruf nahi mungkar adalah kewajipan setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW. Dengan sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT kepada kita semua. Wal’iyazubillah.
Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam menyeru manusia kepada kebaikan serta mencegah mereka daripada kemungkaran serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terbaik. Dan semoga Allah memberikan taufiqNya kepada hambaNya yang tersilap agar kembali semula ke jalan yang benar. Amin.
Wallahua’lam
Nurhadirah Adnan
Jawatankuasa Pembangunan Organisasi
PEMBINA Pusat