Apa yang meningkat tidak turun?
Umur?
Betul, tapi ada lagi selain itu.
Zina!
Tetapi diklasifikasikan sebagai rogol apabila pelaku di bawah umur 18 tahun.
Masyarakat hari ini mengambil ringan tentang maksiat zina yang semakin hari semakin normal dalam kalangan remaja sekolah.
Isu couple di sekolah adalah perkara biasa bahkan menjadi suatu perkara yang pelik bila rakan sebaya tidak ada ‘pakwe’ atau ‘makwe’. Pasangan remaja yang couple tanpa segan silu mengumumkan siapa kekasih hatinya.
Malah boleh berlaku isu pergaduhan sesama rakan sebaya jika ‘pakwe’ atau ‘makwe’ mereka diambil oleh rakan lain. Bergaduh perkara biasa untuk pelajar lelaki dan tarik tudung suasana biasa bagi pelajar perempuan bila bergaduh untuk dapatkan lelaki pilihan hati.
Lelaki atau perempuan yang menang dalam pergaduhan ini akan berasa sangat bangga lalu dimuat naik di media sosial pula. Seterusnya meraikan kemenangan dengan kekasih hati dengan melakukan maksiat.
Keluar berdua-duaan, makan berkongsi sudu, minum berkongsi straw, berpegangan tangan, berpelukan dan seterusnya sehinggalah hilang maruah seorang wanita.
Jika bernasib baik, mungkin terlepas. Tapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Ada kes zina yang diketahui oleh ibu bapa perempuan, lalu melaporkan ke pihak polis. Selepas itu, dibicarakan di mahkamah dan dijatuhkan hukuman kepada lelaki tersebut. Perempuan pula hadapi hidup 9 bulan mengandungkan anak luar nikah. Jika tidak sanggup, bunuh kandungan sendiri.
Akhirnya, kedua-dua mereka hilang masa depan. Ya, saya tak nafikan mereka boleh bertaubat dan jalani kehidupan lebih baik selepas itu, tetapi kenapa kita perlu lakar sejarah hitam dalam kehidupan walhal kita boleh memilih perjalanan kehidupan yang lebih bahagia?
Peningkatan kes zina seiring dengan peningkatan kelahiran anak luar nikah. Cuba kita bayangkan 20 ke 30 tahun daripada sekarang, anak-anak ini akan membesar dan ingin berumah tangga tapi bagaimana dengan nasabnya? Adakah mereka tahu mereka siapa ibu dan ayah mereka yang sebenar? Bagaimana nak dipastikan mereka tidak berkahwin dengan keluarga sendiri?
Isu ini akan dipandang ringan oleh mereka yang memang tidak peduli tentang masa depan umat Islam. Tetapi isu ini adalah satu permasalahan besar yang akan merantai umat Islam dalam sebuah jangka masa yang panjang.
Kerana itu, Islam banyak mengajar umatnya untuk mencegah daripada merawat, kerana merawat belum tentu berjaya sepenuhnya.
Adik-adik,
Terutamanya perempuan,
Adik terlalu mahal nilainya, tidak boleh dibeli dengan hanya kata- kata manis seorang lelaki, tidak boleh dibeli dengan umpan sebuah tiket wayang atau top up kredit, bahkan tidak boleh dibeli dengan hanya sebuah janji lelaki bahawa dia akan menjadikan kita satu-satunya permaisuri dalam hati dia.
Bohong semua itu.
Lelaki yang baik tidak akan menodai kesucian seorang wanita. Lelaki yang baik akan mendapatkan seseorang yang dia sayangi dengan cara terhormat dan sanggup bersusah-payah untuk menghalalkan sebuah hubungan.
Zina bukanlah satu budaya yang kita boleh anggap biasa. Zina bermula dengan isu couple dan crush yang biasa dalam kalangan pelajar. Semakin lama semakin parah bila ada remaja murung dan sedih bila hilang kekasih hati. Akhirnya tidak fokus kepada pembelajaran dan tercicir dalam pendidikan.
Pilihlah Islam sebagai cara menjalani kehidupan, patuh pada perintahNya, jaga diri daripada melakukan perkara yang Allah larang dan murka.
Yakin dan percayalah, kehidupan bersyariat lebih indah. Untuk adik-adik perempuan, yakinlah apabila kita menjaga diri sebaik mungkin kerana Allah. Allah akan menghadirkan lelaki yang terbaik untuk menjaga kita pula.
Wallahu a’lam
Saudari Nurhadirah Adnan
Ketua Beliawanis PEMBINA Cawangan Bangi