KENYATAAN PEMBINA TERHADAP ISU KENAIKAN YURAN AKTIVITI PELAJAR MMU

1. Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) mengikuti rapat perkembangan isu kenaikan mendadak yuran aktiviti pelajar (SAF), dan himpunan aman yang diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) di MMU.

2. Isu kenaikan yuran pelajar bukanlah isu yang baharu berlaku. Baru-baru ini juga pelajar fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dikenakan kenaikan ‘Yuran Khas’ oleh UTM. Begitu juga pada tahun lalu, kontroversi kenaikan yuran pengajian di Universiti Malaya terhadap penuntut tempatan dan luar negara menimbulkan kerisauan para pelajar sehingga pihak kementerian pendidikan terpaksa campur tangan berbincang dengan pentadbiran universiti.

3. Bagi isu MMU, Pembina sememangnya tidak bersetuju dengan tindakan pentadbiran menaikkan kadar yuran pelajar secara mendadak tanpa berbincang dan mengambil kira kebajikan mahasiswa MMU. Kami difahamkan ada yang daripadanya masih dibawah tanggungan ibu bapa. Ia sedikit sebanyak bakal membebankan mereka sekiranya yuran tersebut dilaksanakan.

4. Oleh itu, kami menggesa pihak SRC dan STAD berbincang dan selesaikan isu ini secara matang dan sejahtera untuk mencapai satu keputusan yang dapat memuaskan kedua-dua belah pihak. Perbincangan antara SRC dan STAD juga perlu dilakukan secara jujur. SRC patut dimaklumkan secara jujur oleh STAD atas sebab apa kenaikan tersebut dilakukan. Dan STAD juga perlu dimaklumkan atas sebab apa pelajar tidak puas hati dengan kenaikan tersebut.

5. Namun, bagi kami, berdemo bukanlah cara terbaik untuk isu ini. Kerana ia akan mengeruhkan lagi hubungan antara SRC dan STAD sekiranya ada isu-isu lain yang ingin dibincangkan mendatang. Dan tuntutan untuk Pengarah STAD letak jawatan adalah tidak masuk akal sekiranya hanya melibatkan isu yuran aktiviti pelajar.

6. Kami juga menggesa pihak STAD tidak terlalu lama mendiamkan diri dalam hal ini. STAD perlu turun dan bertemu dengan wakil pelajar bagi berbincang dan menjelaskan akan rasional menaikkan kadar yuran aktiviti pelajar. Anda adalah golongan intelektual, maka berbincang dan bertindaklah secara intelek.

Yang Benar,

Wafiq Azman
Naib Presiden 1
Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top