Sedih, pilu, geram, marah. Demikian perasaan tatkala diberitakan tentang kes penembakan umat Islam di Christchurch, New Zealand baru-baru ini. Sungguh, tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Bermain-main di benak fikiran, apa salah masyarakat Muslim di sana sehingga diperlakukan sedemikian rupa?
Selama ini dilaung-laungkan bahawa Muslim itu pengganas, Muslim itu jahat. Pantang berjambang, pantang memakai kopiah, pantang bertudung litup, pantang berjubah labuh, pada pandangan mereka, itulah penjahat! Itulah orang-orang rasis! Namun dunia hari ini telah disajikan dengan bukti yang sangat nyata. Siapakah penjahat dan pengganas yang sebenar?
Ketika sesi serangan berlaku, Muslim yang berada di masjid tersebut sedang bersiap untuk melaksanakan solat Jumaat. Ada yang sedang membaca al-Quran. Ada yang sedang duduk berzikir. Kemudian, tanpa sebarang amaran atau petanda, datang manusia yang tiada perikemanusiaan membawa senjata dan menembak jemaah secara rambang!
Kejam! Tiadakah rasa simpati walau sekelumit pada jemaah Muslim tersebut? Apa salah mereka? Mereka tidak bersenjata untuk melawan semula. Mengapa tergamak menyerang orang yang tidak bersenjata? Andai selama ini Muslim dilabel pengganas hanya kerana dia berusaha mengamalkan perintah Penciptanya, maka apakah istilah yang sesuai untuk dilabelkan kepada pengganas yang menembak sesuka hati ini? Sungguh, dia patut digelar dengan gelaran yang lebih dahsyat daripada seorang pengganas!
Paling menyayat hati apabila mangsa pertama tembakan di masjid Christchurch merupakan saudara kita yang penuh adab menyatakan ‘Salam Brother’ yang bermaksud ‘Salam sejahtera saudaraku’ ketika berselisih dengan penembak tersebut. Namun, apa balasan kepada sapaan tersebut? Dia dan jemaah lain ditembak tanpa usul periksa. Ditembak dengan kejam. Allah.. Moga para syuhada ini diberi ganjaran syurga.
Terdapat perkongsian netizen di laman sosial berkaitan gambar kereta-kereta mangsa yang tidak berusik dari perkarangan masjid dengan kenyataan, ‘More than twenty cars and a lone food truck remain parked behind the mosque three days later many owners will never return to collect them.’ Allahuakbar, sebak. Semoga Allah kurniakan mereka kenderaan yang lebih baik di syurga kelak.
Oleh yang demikian, suka untuk saya menyeru kepada semua yang merasakan dirinya adalah Muslim dan berasa ‘izzah dengan keislamannya untuk bangkit membela ummah! Bermulalah dari sekarang, jangan bertangguh. Andai tidak dimulakan dari sekarang, ketahuilah bahawa pihak musuh telah menyusun strategi sejak dulu lagi. Andai tidak bermula dari sekarang, pasti akan lebih ramai umat Islam yang tertindas! Ayuh, bangkit saudaraku!
Wallahua’lam.
Norlia Salleh,
Ketua Beliawanis,
Pembina Sarawak.