Pemuda yang tewas!

pemuda tewas2

Masih ingatkah kita tentang kisah kejatuhan umat Islam?

Ketika King Louise ditangkap setelah kalah dalam salah satu siri perang salib, dia telah memerhatikan rahsia kekuatan dan kejayaan umat Islam.

Setelah berjaya membebaskan dirinya dengan sejumlah emas sebagai tebusan, King Louise kembali kepada rakyat dan tenteranya dengan strategi yang bakal memusnahkan empayar kegemilangan umat Islam.

“Kita takkan sekali-kali dapat mengalahkan mereka dengan senjata, kerana mereka keluar berperang untuk mati.

“Tapi ada cara lain yang pasti boleh mengalahkan mereka.

“Yakni dengan menjauhkan mereka daripada al-Quran, kerana al-Quran itu sumber kekuatan mereka.

“Lalaikan mereka dengan hiburan dan syahwat. Itu satu-sarunya cara kita dapat mengalahkan mereka!,” seru King Louise kepada rakyat dan tenteranya.

Dan mulai saat itu, strategi musuh Islam berubah.

Masih ingatkah kita kepada kisah pengintipan tentera musuh yang ternanti-nanti kesan serangan pemikiran mereka terhadap umat Islam untuk meranapkan tamadun kegemilangan Islam?

Ketika seorang pengintip masuk ke kota dan menemui seorang pemuda Islam yang menangis.

“Kenapa kau menangis, hai pemuda?”, soal si pengintip.

“Aku menangis kerana tidak berjaya menghafal hadis di sekolah”, jawabnya.

Si pengintip pulang ke pasukannya dan memberitahu bahawa belum tiba masanya untuk menyerang umat Islam.

Selang beberapa tempoh, si pengintip kembali dan berjumpa dengan seorang pemuda Islam yang menangis.

“Kenapa kau menangis, hai pemuda?”, soal si pengintip.

“Aku menangis kerana sasaran tembakanku tidak tepat”, jawab si pemuda Islam.

Sekali lagi, si pengintip pulang kepada pasukannya dan mengatakan bahawa belum masanya lagi untuk menyerang umat Islam.

Selang beberapa tempoh, si pengintip kembali buat kali ketiga dan berjumpa seorang pemuda Islam yang sedang menangis.

“Kenapa kau menangis, hai pemuda?,” soalnya.

“Aku menangis kerana aku baru sahaja ditinggalkan kekasih,” jawab si pemuda.

Dengan gembiranya, si pengintip kembali kepada pasukannya dan berkata,

“Kini saatnya kita menyerang umat Islam, kerana mereka telah lalai dalam hiburan dan syahwat!”.

Sejak peristiwa itu sehingga kini, Islam dirobek dan dipijak-pijak. Sebahagiannya disebabkan agenda terancang musuh Islam, sebahagian lain yang lebih besar.. dek kelalaian dan kelesuan umat Islam itu sendiri.

Hari ini, sebarang usaha untuk memartabatkan syiar Islam dan seruan meninggalkan jahiliah dianggap seruan kolot yang ketinggalan zaman.

Lebih menyedihkan, bilamana suara-suara ini datang dari umat Islam itu sendiri. Umat yang lupa jati diri mereka. Umat yang tak pernah tahu sejarah keagungan mereka. Umat yang lebih selesa hidup dalam tipu daya dunia.

Pemuda Islam itu, pada hari ini, sibuk dengan drama-drama cinta di kaca TV dan panggung wayang.

Pemuda Islam itu, pada hari ini, asyik dalam fantasi alam percintaan yang mempesona.

Pemuda Islam itu, pada hari ini, tiada masa untuk mempelajari agama.

Pemuda Islam itu, pada hari ini, lebih gemar mencari hujah membenarkan dosa.

Kerana itu umat Islam pada hari ini kekal dihina. Dijajah dan ditindas tanpa pembela.

Sedang musuh Islam terus bersorak gembira. Strategi King Louise ternyata keberkesanannya. Dan mereka akan terus bermaharajalela..kerana pemuda Islam itu, pada hari ini, sudah hilang taringnya.

Mereka sangka, gaya hidup barat yang mereka adaptasi sekarang adalah kayu ukur kebebasan dan kemajuan sebenar, yang mendefinisikan kejayaan bagi seseorang individu.

Sedang mereka tidak sedar, mereka sedang diperhambakan nafsu dan materialistik dunia yang takkan pernah memberikan kepuasan yang diidamkan.

Sedang mereka lupa, umat terdahulu jauh lebih hebat, maju dan bebas daripada mereka. Hasil menaikkan syariat Islam dan menolak sekeras-kerasnya jahiliah yang melekakan.

Umat terdahulu menjadi simbol kemajuan, simbol kebebasan, simbol keberanian sehinggakan seluruh dunia menjadikan mereka sebagai rujukan.

Kerana itu, seorang pemuda Islam yang celik sejarah jatuh bangun Islam tidak akan mengulangi kesilapan sama yang dilakukan orang terdahulu sebaliknya menghidupkan kembali faktor-faktor yang membawa kepada kejayaan.

Seorang pemuda Islam yang benar imannya dan peduli akan nasib umatnya akan hidup dengan al-Quran dalam hatinya dan diterjemah dalam amal dan akhlaknya. Suruhan dan larangan Allah menjadi rujukan utamanya.

Seorang pemuda Islam yang jelas dan teguh jatidirinya tidak akan terhegeh-hegeh meniru gaya hidup pihak kafir yang palsu dan plastik.

Gaya hidup yang disangka bebas dan membahagiakan, namun hakikat sebenar jiwa mereka tandus dan kekeringan.

Hidup yang penuh dengan hiburan, nyanyian dan joget-jogetan, sedang hakikatnya jiwa mereka sunyi dan kemurungan.

Hidup yang bebas bercinta dan melayan nafsu tanpa batasan, sedang hakikatnya jiwa mereka ketandusan kasih sayang dan perhatian.

Inilah bukti kemajuan, inilah lambang kemerdekaan, inilah gaya hidup sebenar, laung mereka. Tapi hakikatnya, gaya hidup, peraturan, cara pertimbangan dan dunia tanpa sempadan mereka itu hanya meruntuhkan nilai ketamadunan manusia.

Lihat sahaja kesannya. Maksiat berleluasa, anak luar nikah bersepah, yang lemah ditindas, yang kurang akal terus tenggelam dalam kebodohan yang merosakkan dirinya, yang tidak mampu bertahan membunuh dirinya.. inikah erti kebebasan dan kemajuan yang kita cari?

Tidak! Tidak sama sekali..

Hanya seorang pemuda Islam yang sejati yang mampu melihat hakikat sebenar ini. Yang sedar bahawa segalanya hanya tipu muslihat bagi memastikan umat Islam terus mati.

Masih mencari alasan untuk sambut hari kekasih yang diagung-agungkan oleh pihak kafir?

Silakan..wahai pemuda Islam, andai kau rela diperbodohkan.

Silakan..wahai pemuda Islam, andai kau tidak lagi peduli akan nasib umat ini.

Silakan..wahai pemuda Islam, andai sudah pudar iman di hati.

Kerana engkau pemuda yang tewas!

Hanan Binti Othman (HBO)

Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top