Kejohanan Bola Sepak Tujuh Sebelah

Bertam Hulu, Melaka, 22 Feb 2009: Matahari pagi 22 Februari 2009 memancar cerah secerah harapan dan keceriaan AJK Pelaksana dan peserta Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah Belia Melaka 2009.  Program tahunan yang juga biasanya diberi nama Karnival Sukan Belia Melaka pada kali ini buat julung kalinya diadakan di Padang Kampung Bertam Hulu, Melaka.

Walaupun pelbagai kesulitan dihadapi sebelum hari pertandingan, akhirnya apa yang diharapkan tetap menjadi kenyataan. Para pemain daripada 12 pasukan yang bertanding berpusu-pusu sampai ke padang seawal jam 8.00 pagi dengan gaya yang tersendiri. Setelah semua pasukan mendaftar dan mendengar taklimat urusetia, para peserta bersama-sama membacakan ikrar kejohanan, satu aturcara yang jarang dilakukan di kejohanan bolasepak sekarang ini..

 

Setelah pengadil meniupkan wisel sulung  tanda bermulanya kejohanan, pasukan Londang FC mula menunjukkan taring dengan membelasah lawannya tanpa kasihan dengan jaringan 7-0 walaupun masa permainan hanyalah 10 minit. Pasukan lain seperti pasukan tuan rumah sendiri, Bertam Hulu A dan B, ADTEC serta Wonderpet  turut melaungkan amaran awal dengan beberapa hantaran dan penyudah yang cantik. Namun pasukan lain yang bertanding seperti U-Team, Al-Qassam, Politeknik Merlimau, Kickers, MRSM Terendak dan KPM Melaka juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing bermain penuh bersemangat dengan beberapa playmaker yang mencuri tumpuan membuat gerakan merbahaya ke kubu lawan.

Pasukan hanya dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B kerana terdapat kumpulan yang menarik diri di saat-saat akhir. Oleh itu, 30 perlawanan peringkat kumpulan akhirnya berjaya dihabiskan pada jam 3.00 petang. 4 pasukan berjaya menempatkan diri ke peringkat separuh akhir iaitu pasukan Bertam Hulu B, Adtec, Wonderpet dari MMU dan Londang FC mewakili Matriks Londang.

Separuh akhir pertama diantara Londang FC dan Adtec menyaksikan pasukan Londang FC berjaya menguasai rentak permainan dan memenangi perlawanan dengan jaringan 2-0. Separuh akhir kedua pula diheret hingga ke sepakan penalti iaitu diantara Bertam Hulu B dan Wonderpet dimana kemenangan berpihak kepada Bertam Hulu B.

Penentuan tempat ketiga keempat antara Adtec dan Wonderpet pula menyaksikan pertembungan dua pasukan yang menarik kerana kedua-dua pasukan bersungguh-sungguh menunjukkan aksi yang menarik. Walaubagaimanapun nasib tidak menyabelahi Wonderpet apabila terpaksa akur selepas tewas kepada pasukan Adtec dan memaksa untuk menduduki tempat ke-4.

Perlawanan akhir yang pastinya menarik perhatian ramai menemukan pasukan tuan rumah iaitu Bertam Hulu B dan sebuah pasukan muda iaitu Londang FC. Kehadiran ramai penyokong tuan rumah menghangatkan lagi saingan walaupun awan gelap mulai berarak menandakan hujan akan turun bila-bila masa. Berkat disiplin dan kerajinan pemain Londang FC, mereka berjaya mendapatkan gol pendahuluan hasil gerakan penyerang mereka dan kesilapan pertahanan lawan.  Pasukan Bertam Hulu B cuba bangkit dengan melancarkan serangan ke kubu Londang FC, namun benteng mereka tetap utuh daripada ditembusi. Hantaran-hantaran pendek dan larian-larian deras pemain Londang FC akhirnya tidak mampu dijawab oleh pasukan Bertam Hulu B dan keputusan kekal hingga wisel penamat dibunyikan.  Londang FC juara kejohanan Bolasepak 7 Sebelah Belia Melaka 2009! Dahi menyembah bumi tanda syukur. Tahniah diucapkan.

Penyampaian hadiah dijalankan di bawah khemah disebabkan hujan lebat yang turun. Tahniah diucapkan kepada Mohd ‘Pailang’ Haris dari Londang FC yang telah dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan kali ini. Johan membawa pulang sebuah piala pusingan, hamper, medal dan hadiah iringan iaitu buku “apa erti saya menganut Islam” karangan Ustaz Fathi Yakan. Begitu juga bagi tempat yang kedua.

Semuanya berjaya diselesaikan sebaik jarum jam menjengah jam 6.00 petang. Tahniah diucapkan kepada semua AJK Pelaksana dan tuan rumah kerana berjaya buat pertama kalinya menganjurkan pertandingan terbuka dan dijalankann dengan kerjasama belia kampung yang masih belum mengenali PEMBINA. Semoga berjumpa lagi di tahun hadapan dengan satu pertandingan yang lebih hebat dan bermakna lagi. Majulah PEMBINA untuk negara.

Disediakan oleh,

Abdul Razak Kassim,
Pengarah Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah Belia Melaka 2009

 

Foto Sekitar Kejohanan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top