K-Pop: PAC tak ambil kira ajaran agama

BANGI, 22 Nov – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) seharusnya menyatakan kekesalan dan pendirian untuk tidak mengulangi penganjuran konsert K-Pop seperti yang pernah dianjurkan pada sambutan Hari Belia Kebangsaan tahun lalu.

“Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam kenyataannya tidak perlu menekankan pulangan material RM140 juta.

“Jangan terlalu materialistik dan sekular dalam melaksanakan sesuatu. Hanya menilai pulangan dari sudut angka wang ringgit sehingga mengenepikan syariat Islam dalam melaksanakan sesuatu program.

“Sepatutnya setiap program yang dilaksanakan KBS harus menepati syariat Islam,” tegas Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Mohd Hassan Al-Hafiz ketika mengulas mengenai kenyataan Datuk Shabery  bahawa acara itu berjaya mencapai matlamatnya apabila menarik kira-kira 2.4 juta orang pengunjung dengan anggaran pulangan ekonomi berjumlah RM140 juta.

Soal Ustaz Ibrahim, selain daripada angka RM140 juta tersebut, apa pulangan berbentuk modal insan belia yang kita dapat hasil pelaburan RM900 ribu tersebut?

“Adakah kita berjaya menerapkan nilai tambah belia kita atau sekadar hiburan yang melalaikan dan merosakkan jati diri belia.

“Jika dikira dosa mereka yang bertanggungjawab membawa masuk K-Pop kerana pakaian yang menjolok mata saya kira akan berlaku defisit yang besar di akhirat nanti,” tegasnya.

Mengulas lanjut ujarnya, biar pun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpuas hati dengan penganjuran K-Pop dari sudut pengurusan kewangan namun pelbagai faktor perlu diambil kira kesan daripada penganjuran konsert tersebut.

“Sepatutnya dengan RM900 ribu tersebut KBS pelbagai lagi program bermanfaat yang mampu dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti dan daya saing belia kita.

“Ianya suatu pembaziran duit biar pun hasil tajaan pihak luar kerana mempromosikan budaya negatif dari luar,” ujarnya ketika dihubungi.

Hal ini kerana PEMBINA komited untuk melahirkan belia bersyahsiah, berdaya saing tinggi dan mempunyai jati diri hebat sebagai pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top