Johor: Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung

Kupasan menarik dari ahli panel

Pontian, 2 September 2010– Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Johor dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Teknikal Pontian (KMTP) telah menganjurkan sebuah forum yang bertajuk Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung.

Objektif forum ini adalah untuk memberi penerangan kepada para pelajar tentang erti cinta dan kasih sayang serta batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan daripada perspektif Islam.

Bertempat di Surau KMTP, forum ini dimulakan sejurus selesai Solat Tarawih dan berakhir pada jam 11 malam serta dihadiri oleh kira-kira 300 orang pelajar Muslim dan Muslimat KMTP. Turut hadir bersama Pengarah KMTP, para pensyarah dan staf KMTP. Forum tersebut membariskan dua orang ahli PEMBINA Johor selaku ahli panel iaitu Saudari Nurulhuda bt Baharin dan Saudara Muhammad Ridhuan bin Ali. Forum ini dipengerusikan oleh pensyarah KMTP sendiri iaitu Ustaz Jaafar. Gandingan tiga orang ‘speaker’ berpengalaman ini telah menjadikan diskusi ilmiah dan informatif tersebut begitu ceria dan menarik minat para pelajar untuk terus menunggu hingga selesai majlis. Ahli panel juga diajukan dengan pelbagai soalan untuk dirungkai di akhir setiap pusingan forum.

Hadirin khusyuk mendengar

Dalam forum tersebut, Saudari Nurulhuda berpesan kepada seluruh pelajar KMTP dengan sebuah hadis Rasulullah saw yang bermaksud, “Ilmu itu cahaya, dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati orang yang melakukan maksiat”. Beliau menjelaskan bahawa budaya berpasangan merupakan gejala yang harus dielakkan kerana ia akan menyebabkan para pelajar sukar untuk menuntut ilmu yang penuh keberkatan.

Saudara Muhammad Ridhuan pula menjelaskan bahawa ikatan pernikahan merupakan ikatan yang suci, maka seharusnya pertemuan pada permulaan sebelum perkahwinan tersebut haruslah bebas daripada maksiat bagi menjamin kejayaan dalam langkah seterusnya.

Pihak PEMBINA mengucapkan jutaan Terima Kasih kepada warga KMTP yang memberikan kerjasama dan sambutan yang baik sepanjang majlis berlangsung. Adalah diharapkan semoga kerjasama yang terjalin ini akan berterusan pada masa akan datang.Insha Allah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top