Terengganu: Program Bedah Buku Dapat Sambutan Hangat

Pada Sabtu, 16 Oktober 2010 yang lalu, seramai 57 orang pelajar institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sekitar Kuala Terengganu telah memenuhikan Dewan Seminar Challet Anis, Pantai Mengabang Telipot, Kuala Terengganu bagi bersama-sama menyertai Daurah : “Kerugian Dunia dengan Kemunduran Umat Islam”. Daurah ini merupakan salah satu siri Program Bedah Buku, anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Kuala Terengganu.

Program ini telah bermula seawal 8.15 pagi dengan pendaftaran peserta. Sambutan yang diberikan amatlah menggalakkan terutamanya peserta muslimat. Setelah tamat pedaftaran, program di dalam dewan dimulakan dengan bacaan al-Quran, Surah ar-Ra’d bermula ayat 13 yang telah dibacakan oleh saudara Mohd Ridzuan, ahli PEMBINA Kuala Terengganu. Seterusnya, saudara Mohd Nasrul Muhaimin selaku Pengerusi PEMBINA Kuala Terengganu telah menyampaikan taklimat program yang merangkumi objektif, tentatif program serta sedikit biodata ringkas penulis buku tersebut.

Program daurah ini telah mengetengahkan isi kandungan buku karangan Dr. as-Sayyid Abul-Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi, seorang ulama’ yang terkenal dalam Dunia Dakwah dan Tarbiyyah.
Terdapat 14 bab yang dikupas oleh ahli panel pembentangan berdasarkan karya beliau iaitu Maaza Khasiral ‘Alaam (versi terjemahan Bahasa Indonesia) adalah:

  1. Era Jahiliyyah
  2. Sistem Politik dan Ekonomi Pada Masa Jahiliyyah
  3. Dari Jahiliyyah kepada Islam : Cara yang Ditempuh oleh Rasulullah s.a.w. dalam Usaha Perbaikan dan Perubahan
  4. Peralihan Dari Jahiliyyah Ke Islam
  5. Masyarakat Islam
  6. Bagaimana Rasulullah s.a.w. Mengubah Bahan-bahan Kejahiliyyahan Menjadi Keajaiban Dalam Kehidupan Umat Manusia?
  7. Masa Depan Kepimpinan Agama Islam (Zaman Islam)
  8. Kemerosotan Dalam Kehidupan Islam
  9. Peranan Kepimpinan Ottoman (Uthmaniyyah)
  10. Zaman Eropah yang Materialistik
  11. Fanatisme Kebangsaan di Eropah
  12. Eropah yang sedang Bunuh Diri
  13. Pimpinan Islam atas Dunia dan Kebangkitan Dunia Islam
  14. Kepimpinan Dunia Arab

Apa yang lebih menarik perhatian adalah ahli panel pembentangan merupakan ahli PEMBINA sendiri yang rata-rata merupakan mahasiswa IPTA dan IPTS tempatan serta beberapa ahli PEMBINA yang sudah bekerja. Namun, ianya tidak membataskan mereka untuk berkongsi ilmu dan kefahaman kerana mereka sendiri telah hadam dengan isi dan huraian buku tersebut secara mendalam. Sesi pada sebelah tengah hari ditamatkan dengan sesi soal jawab bersama ahli panel pembentang serta rumusan oleh Ust. Ungku Omar.

Setelah rehat dan solat Zuhur berjemaah, program Daurah diteruskan lagi dengan ceramah yang telah disampaikan oleh Ust. Zulkifli Ibrahim yang didatangkan khas dari Kemaman. Dengan tajuk “??????? ?? ????” (al-Islam Huwal Haal – Islam Adalah Penyelesaian). Dalam slot ini, Ust. Zulkifli Ibrahim cuba membawa pemikiran peserta bahawa Islam adalah jalan penyelesaian bagi permasalahan umat kini. Ini merupakan kemuncak kepada program Daurah setelah permasalahan umat dibentang dan dibincangkan pada sesi perbentangan pada sebelah pagi dan tengah hari. Firman Allah:

Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorak­kan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah?

(Al-Baqarah: 138)

Setelah peserta didedahkan dengan isi kandungan buku tersebut, kemudiannya para peserta telah menjana pemikiran kritis dengan sesi bengkel. Tugasan bengkel yang diberikan adalah berkisarkan kandungan buku tersebut serta ceramah yang disampaikan oleh Ust. Zulkifi sebentar tadi. Para peserta telah dibahagikan kepada 2 kumpulan ikhwah dan 3 kumpulan akhwat bagi bersama-sama bercantum fikrah dan menyelesaikan tugasan bengkel.

Para peserta juga membentangkan hasil mereka dan telah berlaku sesi soal jawab antara pembentang dan penonton.

Sesi pada petang tersebut ditamatkan pada jam 5.45 petang. Walaupun hanya sehari, namun ilmu yang diperolehi sangatlah berbaloi dan mampu menjentik minda dan keazaman kita agar terus menjalankan tugas-tugas sebagai Daie Ilallah. Diharapkan pengajuran program sebegini dapat diteruskan bagi memberi pendedahan kepada para belia bahawa pentingnya memantapkan fikrah dan kefahaman Islam melalui pengkajian buku-buku ilmiah yang dihasilkan oleh para ulama pejuang Islam pada suatu ketika dahulu. Walaupun sebahagian daripada mereka telah pulang ke rahmatullah, namun roh pejuang yang ada pada mereka akan terus hidup bagi memacu Belia Harapan Islam meneruskan usaha-usaha Membina Generasi Harapan.

“Dunia sebenarnya menaruh harapan pada dakwah ini malah
segala usaha ke arah ini”

Mohd Ridzuan bin Mohd Taib
Biro Media PEMBINA Kuala Terengganu
“Belia Harapan Islam untuk Membina Generasi Harapan”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top