Mutakhir ini memperlihatkan kezaliman Zionis terhadap umat Islam di Palestin semakin menjadi-jadi dan seperti tiada penghujungnya. Saban hari kita dihidangkan dengan berita pengeboman dan pembantaian tanpa belas kasihan oleh tentera-tentera Zionis laknatullah. Disaat Genosida ini rancak dilaksanakan, umat manusia di serata dunia seolah menginsafi dan menyedari bahawa watak-watak kuasa besar dunia yang ada pada hari ini yang kononnya mengangkat nilai kemanusiaan, kesamarataan dan keadilan tampak seperti sedang melakukan temberang serta penipuan terbesar mereka dengan menyokong agenda penubuhan negara haram Israel itu.
Usaha seperti memboikot produk-produk Israel dan himpunan solidariti di jalanan secara besar-besaran sebagai tanda sokongan terhadap Palestin seolah menjadi suatu fenomena dunia pada harini. Usaha ini dirancakkan lagi dengan penglibatan golongan belia dan mahasiswa khususnya yang sanggup berkampung siang dan malam di hadapan kampus demi menyatakan protes ke atas pendirian dan tindakan kepimpinan negara mereka yang semakin lantang menyokong Genosida yang sedang berlaku.
Namun di saat umat dunia sedang berduka dengan tragedi yang berlaku ke atas bumi anbiya itu, mahasiswa di tanah air ini kelihatan lesu bahkan agak ketinggalan dalam mengangkat isu ini. Tidak dinafikan usaha-usaha untuk menyuburkan kesedaran dan semangat bersolidariti itu wujud tetapi angkanya bisa dibilang dengan jari.
Dimanakah taring dan kejantanan mahasiswa kita? Bukankah yang dibantai dan dibunuh itu juga saudara seakidah kita? Dimana letaknya perasaan dan sensitiviti kita?
Tidakkah orang beriman itu ibarat sebuah jasad.
Sabda Nabi Rasulullah S.A.W,
“Perumpamaan seorang mukmin sesama mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Ya, benar kegairahan mengejar kecemerlangan akademik dan kokurikulum demi segulung Ijazah adalah suatu amanah yang perlu dipikul dan menjadi keutamaan. Tetapi jangan kita lupa, agenda risalah mengangkat kesucian agama, memelihara agama dan bersolidariti dengan saudara seagama yang sedang ditindas juga adalah tanggungjawab dan amanah yang Allah kurniakan ke atas bahu seluruh umat Islam tanpa mengira umur dan jawatan yang tidak harus dikesampingkan sama sekali.
Buanglah sifat keAkuan yang semakin menebal dalam diri kita. Faham kubur dan mati itu masing-masing punya cerita. Tetapi tidakkah kita sedari Allah mengangkat dan mengiktiraf kita semua sebagai hambanya yang ditaklifkan sebagai Khalifah di atas muka bumi ini. Tidakkah kita ingat, status khalifah ini merupakan amanah yang sangat besar dan berat hinggakan langit, bumi dan seluruh alam tidak mampu memikulnya.
Duhai Mahasiswa sekalian, maknailah title “Khalifah” itu dalam diri kita. Angkat nilai diri kita daripada dikongkong dan diatur oleh orang lain demi habuan dunia semata. Tidak salah mengejar 4 flat dan membina kerjaya diri yang hebat tetapi jangan sesekali menjadikan agenda akhirat hanya berkadar pada puasa dan solat. Contohilah tokoh-tokoh Islam seperti Salahudin Al Ayyubi dan Sultan Muhammad Al Fateh yang mana di usia kita bukan sahaja hebat pencapaian duniawinya bahkan juga sangat hebat penguasaan ukhrawinya sehinggakan berjaya menawan serta membebaskan kota Palestin disamping menyebarkan risalah Islam ke seluruh alam.
Memetik kata hikmah pahlawan Salahudin Al Ayyubi untuk renungan bersama;
“Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan masjid Al-Aqsa masih di bawah jajahan musuh”
Oleh yang demikian, sebagai Mahasiswa Islam tidak terlambat untuk sama-sama kita insafi tragedi berdarah yang sedang berlaku ke atas bumi Palestin ini sebagai jalan terbaik untuk refleksi dan perbaiki diri.
Cukuplah kita bermain dan berlegar-legar dalam perkara remeh-temeh. Sungguh Allah mencintai perkara-perkara tinggi lagi mulia dan membenci perkara yang remeh-temeh lagi hina. Renungilah hadis ini:
Dari Sahl Ibn Sa’ad, Rasulullah Saw bersabda: Sesungguhnya Allah mencintai perkara-perkara yang tinggi (cita dan sikap yang tinggi) dan membenci perkara yang rendah lagi remeh-temeh. (Hadis Riwayat Thabrani dengan sanad yang sahih)
Para belia sekalian, cita dan wawasan tertinggi umat Islam adalah membebaskan al-Aqsa dari cengkaman Yahudi Zionis dan menegakkan kembali agama Allah di muka bumi ini. Namun begitu, Perjuangan suci ini tidak akan dipikul melainkan mereka yang berjiwa besar, tahu tujuan hidup, bercita-cita tinggi dan bersiap sedia untuk memimpin umat. Oleh itu, saya mengajak para belia menjadikan 3 “A” 1 “K” sebagai panduan dan tindakan koreksi bersama bermula harini:
- Agenda hidup yang jelas – Mahasiswa Islam perlu bina keazaman dan cita-cita hidup yang besar tidak sekadar cukup kejayaan individu bahkan mencorakkan diri untuk kejayaan agama, bangsa dan watan
- Agenda Pembebasan Palestin – Mahasiswa Islam harus meletakkan keazaman bagi pembebasan mutlak Palestin daripada dijajah musuh serta menolak sebarang usaha ke atas menormalisasikan agenda Zionis di tanah air ini
- Agen Amar Makruf Nahi Mungkar – Mahasiswa Islam harus perhebatkan usaha menawarkan dan mengangkat aktiviti Amar Makruf di kampus dan mempunyai “kejantananan” mencegah kemungkaran
- Kepimpinan Unggul – Mahasiswa Islam harus mengupayakan diri bukan sahaja hebat dalam memimpin diri bahkan bersiap siaga mewarisi kepimpinan negara dengan bergiat aktif di alam Kampus dengan mengangkat perjuangan atau isu kenegaraan serta kesucian Islam.
Ayuhlah mahasiswa dan belia sekalian, kita bawa gelombang perubahan Taufan al-Aqsa ke seluruh negara. Sungguh, Tiada perubahan melainkan ia dipimpin oleh para belia. Semoga kita tergolong dalam para belia yang memimpin umat ke arah kejayaan dan keunggulan.
Ahmad Syahman Bin Ahmad Tamrin
Presiden PEMBINA Malaysia