Lalu di manakah ikhwah pembina telah menghilang

Artikel: Lalu di manakah ikhwah telah menghilang?

Salam Ukhuwwah dan Salam Perjuangan buat para duat yang menegakkan risalah Allah,

Telah menjadi satu fenomena kebiasaan apabila kita melihat dalam mana-mana program dan data base di dalam sistem cawangan dan kawasan, bilangan akhawat pasti akan melebihi bilangan ikhwah. Fenomena ini bukan sahaja menjadi isu di dalam cawangan dan amal di dalam negara malahan ia turut menjadi isu yang sangat kritikal yang sering diperdebatkan di luar negara. Untuk mendapatkan kadar bilangan peserta lelaki dalam sesebuah program umum adalah jauh lebih sukar berbanding peserta perempuan. Itu belum dikira apabila adanya pertemuan-pertemuan mesyuarat biro dan organisasi serta lantikan jawatan kuasa program, seolah-olah mesyuarat dan jawatan kuasa yang dilantik itu didominasi oleh kaum hawa.  Perkara yang lebih membimbangkan adalah bilangan ikhwah yang kurang ini akan memberi kesan yang besar kepada pembangunan sesebuah organisasi Dakwah terutamanya daripada sudut pemilihan pimpinan dalam sesebuah biro atau organisasi.

Apabila bilangan ikhwah yang berkualiti  adalah sedikit, tugasan mula akan diberikan pada orang yang sama. Seorang akh memegang 2-3 posisi dan jawatan yang berbeza dalam satu-satu masa. Beban kerja semakin bertambah. Lalu hasilnya yang ingin dicapai dan output sesuatu gerak kerja juga akan menjadi kurang efektif. Itu belum dicampur dari aspek program-program tarbawi yang perlu dihadiri dan liqa’ khusus yang perlu dibawa dan meeting lokaliti dan pusat yang perlu diraikan. Fenomena ‘bertopi-topi’ ini akan memberikan kesan jangka masa yang panjang dari segi produktiviti organisasi dakwah itu sendiri kerana sesorang akh itu akan mudah hilang fokus dalam amal.   Malahan tempias bilangan ikhwah yang kurang dalam sesebuah organisasi dakwah ini akan memberi kesan jangka masa panjang dari sudut pembangunan dan kemenjadian sesorang akh dan ukhti itu apabila kita mula berbicara mengenai soal beit muslim. Isu akan menjadi kritikal apabila sesorang akhwat yang sudah bersedia untuk menikah itu tiada calon yang sesuai untuk dipadankan kerana fenomena ketandusan ikhwah itu sendiri. Ya, itu belum dikira lagi dengan jumlah ikhwah yang mengahwini dengan bukan seorang ukhti (akhawat) yang mempunyai fikrah tarbiyah dan dakwah yang sama dengan beliau. Lalu kefuturan akn mula menghiasi jiwa ikhwah/at apabila fasa ke-2 maratib amal tidak dapat dijayakan sebaiknya apabila pasangan hidup tidak mempunyai fikrah yang baik dan tidak menyokong usaha dakwah yang diusahakan selama ini.

Ikhwah/at yang dihormati,

Lalu persoalan penting yang bermain dalam minda penulis ketika ini yang ingin diajukan dalam minda setiap para pembaca, adalah

“Di manakah Ikhwah telah menghilang?”

Apakah benar fenomena bilangan ikhwah yang semakin ‘pupus’ ini adalah kerana jumlah bilangan anak Adam di atas muka bumi ini lebih sikit berbanding kaum yang bergelar ‘Hawa’ kerana faktor akhir zaman? Atau mungkinkah sebenarnya fenomena ini adalah salah satu sunnatullah yang telah ditetapkan di Luh Mahfuz sejak azali lagi?

Dakwah Fardiah: Satu Seni Yang telah Hilang!

Hakikat sebenarnya yang perlu ditelan oleh semua ikhwah walaupun ia pahit, adalah masalah terbesar kita adalah dari sudut amal tajmik dan takwin yang kurang berkesan dalam kalangan jantina lelaki. Penulis sempat bersembang dengan beberapa ikhwah tentang isu ini, dari sudut keberkesanan amal tajmik setelah bertahun-tahun berusaha namun tiada hasil. Antara jawapan2 yang sempat dirakamkan:

 

“Oh, anta kena faham, ikhwah ni lain akhi, tidak macam akhawat. Sebab itu susah lekat dan mudah hilang,”

“Perempuan kalau kita pengaruh emosi, akan mudah lekat kerana sense of secure depa lebih tinggi kerana nature of kebersamaan depa itu lebih tinggi. Lelaki kita kena banyak pengaruh cara fikir  sebab depa lebih rasional dalam menetukan hala tuju hidup,”

“Allah tidak memandang hasil akhi, Allah memandang usaha kita. Hidayah itu milik Allah”

 

Benar, bahawa penulis tidak menafikan bahawa Allah memandang lebih kepada usaha yang dilakukan dan bukannya hasil. Ya, dan penulis juga setuju perbezaan fitrah lelaki dan perempuan menyebabkan bilangan yang dikaderkan adalah berbeza. Namun begitu, saya ingin bertanya kepada kita semua, sampai bila kita ingin memberikan alasan sedemikian rupa kepada ikhwah dan akhawat? Sampai bila kita ingin mencipta alasan demi alasan bahawa program tajmik kita tidak menjadi? Sampai bila kita ingin melihat muka-muka ikhwah yang sama yang menjalankan program pada setiap tahun?

Antara faktor kelesuan tajmik dalam kalangan ikhwah, adalah kerana seni dakwah fardiah yang kurang dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita yang menyebabkan keberkesanan itu merudum. Masih teringat akan pesan seorang ikhwah satu ketika dahulu, selalu berpesan,

“Jangan sesekali kita tinggalkan amal dakwah fardiah dalam kehidupan seharian kita kerana amal dakwah ini memerlukan latihan untuk mencapai hasil, dan latihan itu lah yang akan menambahkan pengalaman berhadapan dengan pelbagai karektor manusia dan mad’u. Allah tidak akan memberikan kemenangan kepada dakwah dan hidayah kepada individu dengan hanya sekali berusaha, tetapi ia memerlukan latihan dan percubaan berkali-kali tanpa putus asa. Pengalaman lah yang akan membezakan teori dalam kitab-kitab fiqh dakwah dan medan amal realiti”

Menjantankan Tajmik yang Lesu

Antara tanda dan faktor yang tidak sihat dalam sesebuah organisasi Dakwah adalah ikhwah yang sama menjalankan program walaupun seharusnya beliau memegang amal dan posisi di biro yang lain. Bermakna ini adalah petanda bahawa proses tajmik dan takwin tidak berjalan dengan baik.

Lalu ikhwah, sudah sampainya pada hari ini untuk setiap Akh untuk keluar daripada zon keselesaaan untuk men’jantan’kan tajmik sesama lelaki. Program yang disusun perlu keluar dari sifat kebiasaan dan bersifat feminin yang katanya kurang memikat hati-hati lelaki. Tidak keberatan apabila penulis katakan bahawa Tajmik orang lelaki adalah di padang bola, di atas gunung, di dalam gym, di dalam hutan belantara dan di dalam permusafiran. Orientasi program yang mencabar sifat maskulin dan kejantanan seseorang lelaki seperti ditempat-tempat  yang disebutkan di atas diharapkan akan dapat menakung sosok tubuh seorang pemuda yang berkualiti dan mempunyai ciri keperibadian  yang lain daripada yang lain. Kepelbagaian inilah yang diharapkan akan dapat dibentuk menjadi satu ketumbukan yang padu yang boleh disalur kepada kepentingan islam seperti hadis baginda SAW berkenaan logam:

الناس معادن، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ. إِذَا فَقُهُوا

Manusia seperti logam; terpilihnya semasa jahilliyan; terpilihnya semasa islam; jika mereka ‘faham’.”

 

Berminda Tajmik Sampai Mati!

Ya Ikhwah,

Mungkin bunyi agak radikal, tetapi itu lah falsafah hidup seorang duat apabila seharusnya kita meletakkan sepenuh jiwa dan raga serta kehidupan kita adalah untuk dakwah dan Islam. Kita ingin membenarkan apa yang sering kita lafazkan sewaktu solat di dalam doa iftitah

اِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي ِﷲِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah, Tuhan seluruh alam”

Seharusnya ikhwah, kita perlu mempunyai minda tajmik di mana pun kita berada dan apa pun jua posisi kita di dalam organisasi. Dari bangun tidur sehinggalah kepada tidurnya kembali, semuanya adalah untuk dakwah dan islam. Sama ada pergi ke kuliah di Universiti, pergi ke hospital, pergi ke kilang, pergi ke sekolah, solat berjemaah di masjid, bermain bola di padang,  membeli belah di pasar raya, mesyuarat bersama ajk taman, menaiki bas dan pengangkutan awam dan segalanya urusan seharian kita seharusnya perlu mempunyai orientasi tajmik untuk membesarkan kalimah syahadah. Hatta inilah sebenarnya hakikat pengisian Syahdatul Haq yang kita Imani selama ini.

 

Duhai Para Pejuang,

Kerja-kerja tajmik dan takwin bukanlah hanya ditaklifkan kepada tugas jundi sahaja, ataupun qiadah sahaja semata-mata, tetapi setiap individu di setiap peringkat mustawa perlu melakukan kerja-kerja tajmik masyarakat kerana itulah kerja-kerja asasi sebagai seorang akh. Setiap ikhwah perlu belajar bagaimana untuk memimpin manusia dan mengurus manusia. Belajar untuk mempengaruhi manusia, belajar untuk berinteraksi dengan manusia, belajar untuk meraikan jiwa manusia dan yang paling penting adalah setiap akh mesti belajar untuk menyentuh hati-hati manusia.

Ramai para ikhwah tertipu apabila beliau merasakan beliau sudah berdakwah apabila beliau telah memegang jawatan di dalam biro atau organisasi, cukuplah bagi beliau untuk menjalankan program berorientasikan dakwah semata-mata untuk mencapai KPI pusat dan hanya gencar di media masa facebook, Instagram, twitter tetapi akhirnya tiada orang yang terbina dan tiada orang yang telah berjaya di follow up.

 

Membina Jiwa Murabbi

Ayuh mari kita bermuhasabah ikhwah, (termasuk diri penulis), dalam masa beberapa tahun kita telah mengikuti program tarbiyah, berapa ramai individu yang telah kita tarik dan ajak untuk bersama-sama dalam saf tarbiyah? Berapa ramai yang berubah kerana Allah atas asbab diri kita? Berapa ramai yang telah berjaya kita sampaikan fikrah yang kita Imani sehingga mereka juga beriman atas fikrah yang kita imani?

 

Ikhwah, ketahuilah tidak cukup hanya sekadar kita menunggu arahan daripada Qiyadah untuk ditaklifkan memimpin halaqah/usrah mingguan barulah kita akan berusaha untuk memimpin halaqah. Sekiranya tiada, seharusnya kita sendiri yang bertindak proaktif dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari manusia di luar sana untuk bersama-sama menyertai halaqah mingguan dan program dakwah. Apabila kita sendiri memimpin manusia, baru kita sedar bahawa tugas mengurus manusia dan menarik manusia ke Jalan Allah SWT adalah tugas yang sangat sukar dan mencabar.

Sheikh Abdullah al-Ahdal pernah berkata,

Inna al–akh ash-shadiq la budda an-yakuuna murabbiyan

“Tidak dapat tidak setiap akh mesti menjadi seorang murobbi”

 

Memetik tulisan artikel Bagaimana Menjadi Murobbi yang Hebat (28 Mac 2010), Ustaz Mohd Azizee Hasan di blog maalimfitariq.wordpress.com

 

“Untuk menjadi murobbi yang hebat, kita memerlukan pelatihan dan perkaderan. Sikap untuk belajar melaksanakan (at-talaqqi li tanfiz) harus menjiwai diri kita. Tanpanya usaha menjadi seorang murobbi tidak akan terhasil. Cubaan demi cubaan menghasilkan pengalaman. Pengalaman demi pengalaman akan mendewasakan kita untuk menjadi seorang murobbi. Yang penting ialah sikap untuk terus belajar harus sentiasa membara di benak fikiran dan di lubuk jiwa kita. Tarbiyah madal hayat itulah slogan kita. Tanpa jemu dan lesu kita terus membangunkan potensi diri menjadi seorang murobbi”

 

Sungguh ikhwah, tiada kebahagian lebih nikmat apabila melihat seseorang manusia itu berubah kerana Allah atas asbab diri kita. Melihat seseorang manusia itu berubah dari jahiliyah menjadi pejuang agama yang zuhud di siang hari dan ibarat rahib di malam hari, akan memberikan kita satu kepuasan yang tidak ternilai di hati kita. Sungguh ia hanya akan dirasai apabila kita melihat hasilnya apabila sudah berpenatan berusaha.

Cukuplah hadis ini sebagai inspirasi untuk kita terus melakar manusia generasi soleh dan musleh pada masa hadapan:

فَوَاللهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً، خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

“Demi Allah, jikalau Allah memberi hidayah kepada satu orang dengan sebab dirimu, hal itu benar-benar lebih baik bagimu daripada unta-unta merah.” [Muttafaqun Alaihi]

Wallahualam,

Mohammad Aiman Hazim Zamri
Ahli Jawatan Kuasa Pembangunan Sumber Manusia (PSM) 2017/2018
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Pulau Pinang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top