Menganalisa keterbukaan semasa di Malaysia membuatkan saya berasa bimbang dan risau berkenaan wajah masyarakat kita di masa hadapan, terutama apabila melihat semua pihak ingin bersuara, memberikan pendapat bahkan memberikan kritikan dalam semua perkara termasuk dalam perkara-perkara agama.
Fenomena terkini yang amat bimbangkan adalah apabila suara-suara dan pandangan-pandangan ulama’ dan sarjana agama semakin dipandang sinis dan diperlekehkan oleh sesetengah masyarakat. Secara jujur saya katakan, kecelaruan pemikiran ini telah dicorak dengan kecelaruan keadaan politik semasa di mana masyarakat tidak lagi menilai sesuatu perkara dengan neraca yang tepat dan jelas, tetapi menilai dengan neraca politik kepartian yang sempit dan tidak telus. Harus diingatkan, golongan ulama’ dan sarjana agama bercakap atas dasar ilmu, fakta dan intelektual yang jelas, Mereka memberikan pandangan-pendangan mereka dalam sesuatu perkara bukan berdasarkan neraca politik kepartian semata-mata, tetapi atas dasar ilmu yang menyeluruh tentang prinsip-prinsip asas dan kefahaman yang mendalam tentang agama, tanpa dipengaruhi sentimen-sentimen tertentu apatah lagi politik kepartian.
Semua anggota masyarakat harus memahami perkara ini dan menghormati kedudukan alim ulama’ dan sarjana agama sebagai penasihat dan pembimbing kepada masyarakat ke arah kebenaran. Sebagaimana firman Allah, “Sesungguhnya orang-orang yang paling takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaKu adalah para ulama’. ” (Surah Fatir : 28) Dan firmanNya lagi, “Adakah sama kedudukan orang yang alim (mengetahui) dengan orang yang tidak alim.” (Surah Az-Zumar : 9)
Masyarakat juga harus kembali kepada neraca Islam yang hakiki berpandukan disiplin ilmu syara’ yang jelas dalam semua aspek kehidupan. Hanya dengan prinsip dan panduan ilmu syara’ sahajalah yang mampu memandu hidup kita keluar dari semua bentuk kecelaruan dan kebingungan, tidak kira dalam aspek beribadah mahupun kenegaraan, kemasyarakatan dan aspek-aspek kehidupan lain. Masyarakat, terutama golongan belia, mesti kembali kepada akhlak Islam iaitu mengembalikan perselisihan dan kecelaruan kepada hukum Allah dan menghormati para ulama’ tanpa mengira pandangan dan pendapat mereka dalam sesuatu perkara termasuk politik kepartian.
Apa yang membimbangkan adalah seandainya masyarakat mengambil sikap mengenepikan etika dan akhlaq ini, masyarakat akan terus berada dalam keadaan yang huru-hara dan bercelaru, tidak mampu membezakan antara yang baik dan buruk serta mengikut pandangan dan kehendak masing-masing, bukan lagi kehendak dan ajaran agama Islam. Kecelaruan yang timbul akan terus mewujudkan perselisihan di antara kita seterusnya merosakkan struktur-struktur yang ada dalam masyarakat. Sehingga kita hilang hormat antara satu sama lain, berpecah belah dan saling bermusuhan.
Ust Salman Abdul Rahman
Setiausaha Agung
PEMBINA