Ubah Persepsi Masyarakat Terhadap Golongan Agama – SUA

Kuala Selangor, 30 April 2011 – Ust Salman Abdul Rahman, Setiausaha Agung PEMBINA berkesempatan membuat penyampaian dalam program “Selangkah Ke Bumi Anbiya’”  di Kem Mega Kristal bagi memberikan motivasi, pendedahan dan perkongsian pengalaman kepada pelajar-pelajar yang akan menyambung pengajian ke universiti-universiti di Timur Tengah.

Dalam pengucapan beliau, beliau menerangkan bahawa lepasan universiti timur tengah merupakan golongan penting ke arah membina masyarakat dan negara yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, beliau berpesan agar pelajar-pelajar perlu mempunyai keazaman yang tinggi, cita-cita yang besar dan matlamat yang jauh, terutamanya untuk menjadi pakar di bidang masing-masing.

Ust Salman turut berharap agar pelajar-pelajar timur tengah harus mampu menggarap isu umat Islam sedunia kerana mereka berada di wilayah yang menjadi tumpuan dunia dan tumpuan kekuatan umat Islam. Beliau menegaskan bahawa masyarakat meletakkan harapan yang tinggi agar para asatizah akan pulang ke tanah air dengan penuh kewibawaan untuk membimbing dan memandu masyarakat Malaysia ke arah pengamalan Islam.

Setiausaha Agung PEMBINA itu turut menyeru para pelajar Timur Tengah generasi baru agar mengubah persepsi masyarakat yang mengganggap bahawa pelajar jurusan agama merupakan pelajar kelas kedua. Para pelajar harus membuktikan dan memberi keyakinan bahawa mereka mampu cemerlang di dalam bidang-bidang yang diceburi dan turut sama membangunkan struktur social masyarakat.

Program “Selangkah Ke Bumi Anbiya’”  merupakan program tahunan sejak 2004 anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan graduan-graduan Timur Tengah sebagai satu program persediaan bagi pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top