Sejak awal lagi PEMBINA konsisten menyeru mahasiswa untuk keluar mengundi dan berpolitik secara matang tanpa terikat dengan politik kepartian yang sempit. Seruan yang dimulakan oleh Presiden PEMBINA, Ustaz Ibrahim Hasan pada SIDANG MEDIA, Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan disambut dengan baik oleh ahli PEMBINA di seluruh Malaysia.
Pasca PRU 13 ini, saya sekali lagi menyeru kepada mahasiswa khususnya dan belia amnya untuk bersama melihat kehadapan dan memikirkan apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara. Hentikan perbalahan, percakaran yang tidak memberi manfaat dan menguntungkan sesiapa. Jangan tumpulkan intelektual kita dengan bercakap perkara yang tiada asas.
Kini tiada sebab untuk kita berpeluk tubuh dan menyalahkan orang lain. Projek pembangunan belia dan mahasiswa adalah keutamaan pada waktu ini daripada sibuk menyalahkan pihak lain atas perkara yang belum tentu kesahihannya. Mahasiswa perlu mula berfikir apakah cadangan pembangunan yang boleh ditawarkan kepada kerajaan yang baru dibentuk samada pusat ataupun negeri.
Ukhuwah dan akhlak pasca PRU 13 perlulah dijaga. Amat malang bagi orang Islam yang berpolitik tetapi mengabaikan nilai ukhwah dan akhlak. Kematangan dalam berpolitik seharusnya ditonjolkan dengan sikap berani, bijak mengatur strategi dan berlapang dada menerima keputusan.
Cuba fikirkan sebelum PRU 14, apakah penambahbaikan yang mahasiswa mampu lakukan? Kerana perubahan itu bukan pada PRU sahaja, tetapi berlaku setiap masa. Bermula dari dalam diri kemudian diterjemahkan dalam bentuk aktivisme mahasiswa.
Jika mahasiswa berhenti bertelagah dan berhenti menyalahkan pihak lain, saya yakin perubahan positif besar-besaran akan berlaku pada Malaysia!
Meneraju Arus Mahasiswa.
Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad
JK Politik Kampus PEMBINA