Setiap hari, Hari Ibu, Hari Bapa

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun).

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

[colored_box color=”eg. blue, green, grey, red, yellow”]

Dialog antara seorang ibu dan seorang anak yang soleh/solehah (Dialog 1)

Ibu: Sayang, jom tolong ibu masak di dapur.

Anak: Jom…Seronoknya dapat belajar memasak, nanti kalau dah besar tak perlu pergi cari kelas memasak sebab ibu dah ajar saya memasak.Terima kasih ibu.

[/colored_box]

[colored_box color=”eg. blue, green, grey, red, yellow”]

Dialog antara seorang ibu dan anak yang derhaka (Dialog 2)

Ibu: Sayang, tolong belikan santan, ayam, sayur dan garam di kedai Pak Abu.

Anak: Ala…Ibu ni, suruh la anak ibu yang lain tu. Anak ibu kan ramai.Adik tengah main game ni kan…

 [/colored_box]

Antara dua dialog diatas yang mana satu yang enak dibaca? Saya rasa kebanyakan pembaca mesti gemar membaca Dialog 1. Mengapa? Antara sebabnya apabila membaca perkataan soleh/solehah itu telah menyebabkan hati kita menjadi tenang kerana ia lahir dari perkataan yang positif. Dialog kedua pula memaparkan perkataan yang negatif, maka ia akan melahirkan perasaan yang negatif dan memberi kesan kepada emosi kita.

Seperti yang kita tahu syurga itu kedamaian dan kebahagiaan tetapi neraka itu kesengsaraan dan kehuru-haraan….Na`uzubillah…

Ayuh bentuk peribadi soleh dan solehah!
Mari kita bentuk peribadi yang soleh dan solehah

Suasana di rumah dibentuk dan dicipta oleh manusia yang terkandung di dalamnya. Permulaan pembentukan suasana adalah daripada sikap ibu dan bapa. Mereka yang memilih untuk menjadikan sesebuah rumah tangga itu syurga atau neraka. Untuk menjadikan syurga di dalam rumah tangga maka ajarilah diri kita melaksanakan segala yang menganjurkan kita menjadi ahli syurga dan Jannah itu adalah kasih sayang.

Masyarakat masa kini hanya meraikan Ibu dan bapa mereka pada hari-hari yang telah ditetapkan oleh manusia. Sedangkan Allah SWT di dalam KitabNYA tidak pernah menetapkan hari-hari tertentu untuk meraikan kedua ibu bapa kita. Seperti kalamNYA diatas, Allah SWT menganjurkan kita sebagai seorang anak untuk selalu berbuat baik dan mendoakan mereka. Konteks “selalu” bermaksud setiap masa dan ketika kita perlu laksanakan tuntutan Allah SWT ini. Seandainya kita bekerja dan tinggal berasingan dengan Ibu dan Bapa kita maka berdoalah selalu untuk kesejahteraan untuk diri mereka.

Disini juga saya ingin menyentuh isu-isu kederhakaan kecil yang tidak disedari oleh anak-anak masa kini terhadap ibu bapa mereka.Antaranya:

1. Apabila disuruh atau ibu bapa meminta bantuan, anak-nak mengambil tindakan memberontak di dalam hati seandainya pada ketika itu kita sedang melakukan aktiviti yang telah menjadi kegemaran kita.

2. Membiarkan ibu/bapa melakukan kerja-kerja rumah secara bersendirian walaupun kita telah melihat mereka melakukan sesuatu kerja.Sebenarnya ini memperlihatkan anak-anak yang menjadikan ibu bapa mereka sebagai hamba…Na`uzubillah.

3. Menyalahkan ibu/bapa atas kekurangan didikan terhadap anak-anak dan menceritakan kepada orang lain.Tanpa kita sedari kita telah memburuk-burukkan mereka.

4. Merajuk seandainya kehendak kita tidak dipenuhi.

Istighfarlah wahai anak-anak soleh dan solehah sekalian seandainya kita pernah melakukan perkara-perkara tersebut walaupun kita melakukannya diluar kesedaran hati kita. Tanpa kita sedar perkara-perkara tersebut walaupun dilihat remeh tetapi ia memberi kesan kepada sikap dan personaliti diri kita apabila kita meningkat dewasa. Kemungkinan besar ia berlaku pada usia kanak-kanak, tetapi apabila sudah dewasa gunakanlah kewarasan akal kita untuk lebih memikirkan pengorbanan dan jasa yang mereka telah berikan kepada kita sejak dari hari kelahiran kita.

Antara lain yang ingin diselitkan dalam artikel ini adalah perkara yang boleh dilakukan oleh anak-anak terhadap ibu dan bapa lanjut usia adalah seperti:

1. Memberi perhatian lebih terhadap mereka. Apabila telah mencapai usia emas ini, emosi mereka kembali seperti kanak-kanak yang inginkan perhatian lebih daripada anak-anak. Walaupun kita telah bekerja dan tinggal jauh daripada mereka pastikan setiap minggu luangkanlah masa untuk menelefon mereka walaupun hanya sekadar sembang kosong dan bertanya khabar. Tindakan seperti ini dapat memberikan gambaran bahawa anak-anak tidak pernah mengabaikan mereka walaupun sibuk bekerja.

2. Memberikan hadiah kepada keduanya. Sekurang-kurangnya 1 kali 1 tahun, itu pun dah cukup bagus yakni pada hari ulangtahun kelahiran atau ulangtahun perkahwinannya.

3. Menghulurkan bantuan dalam segala aspek kehidupan mereka.

4. Untuk yang telah memiliki kerjaya, jangan lupa untuk meluangkan sedikit gaji kita untuk diberikan kepada Ibu dan Bapa kita.

5. Hendaklah berlaku adil dalam melayani keduanya. Ingat pada usia ini emosi mereka sangat mudah terusik.

Nasihat buat sahabat diluar sana terutamanya buat teman seperjuangan PEMBINA, nasihat ini adalah buat diriku teruamanya dan khusus buat kalian agar kita tidak terlepas pandang akan perkara remeh sedangkan ia mampu memberi impak yang besar buat diri kita, keluarga, masyarakat dan Negara. Suasana diluar sebenarnya dipengaruhi oleh suasana dari dalam rumah kita. Bentuklah diri menjadi ahli syurga agar suatu hari nanti kita berjaya menjejaki syurga Allah yang mahal harganya bersama-sama generasi seterusnya.

Hargailah dan sayangilah Ibu bapa kita setiap hari. Agar kita tidak kecewa dikemudian hari kerana manusia akan dipanggil pulang oleh Allah SWT tidak mengira masa dan usia. Ini adalah sekadar teori yang belum tentu kita dapat laksanakan dan praktiskan dalam kehidupan kita. Berdoalah agar kita terus kuat untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan mendoakan kesejahteraan mereka. Anak yang soleh/solehah datangnya daripada individu yang soleh/solehah terhadap Allah SWT, Rasullullah SAW dan ibubapanya. Jadilah individu tersebut yang mentarbiyah diri dengan ilmu agama dan lingkungan yang baik utk menjadi hamba yg soleh dan bertaqwa sbg saham paling besar kedua ibu bapa di dlm kubur dan di akhirat kelak.

Oleh:

Anis Sakinah,
Penolong Setiausaha PEMBINA Pusat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top