Heart Brain

heart brain

Otak Dan Jantung-Bemulanya kisah kehidupan seorang hamba.

Aishah radiallahu anha pernah ditanya berkenaan doa yang kerap diamalkan oleh rasulullah. Aishah menjawab :

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan Al-Qalb ini di atas agamaMu”

Dalam kamus rujukan bahasa Arab iaitu Lisan al-‘Arab, pengarang Ibn Manzur menyatakan bahawa Al-Qalb merupakan segumpal daging dari fuad (jantung) yang tergantung dengan urat besar (Aorta) tempat ia bergantung. Selain itu, perkembangan ilmu perubatan juga telah memodenkan takrifan yang lebih terperinci seperti di dalam kamus al-Mu’jam al-Wasit disebut: “al-Qalb ialah organ berotot dalaman yang menerima darah daripada salur darah dan mengepam ke arteri”. Penggunaan istilah yang betul dalam menterjemahkan tafsiran Al-quran dan hadith di dalam bahasa arab penting bagi memberikan kefahaman yang lebih tepat dan menyeluruh. Maka, takrifan Al-Qalb kepada hati perlu dielakkan dan sebaiknya mentafsirkan kepada jantung adalah lebih tepat dan bersesuaian dengan maksud hadith diatas. Namun, perbincangan artikel pada kali ini bukanlah untuk mengulas panjang berkaitan dengan takrifan al-qalb akan tetapi perbincangan yang menjurus kepada rahsia saintifik penciptaan jantung oleh Al-Khabir ( Maha Mengetahui Rahsia). Penciptaan jantung terjadi terlebih dahulu sebelum penciptaan otak dan jantung telah mula berdenyut seawal hari pertama ia dicipta sehingga berakhirnya hayat seorang makhluk.

Heart Brain – Otak Di Dalam Jantung

Tidak dinafikan jantung merupakan “Vital” organ penting kepada makhluk yang bernyawa bagi meneruskan kehidupan di dunia. Malah iainya memainkan peranan penting dalam sistem peredaran darah. Menariknya, para saintis mula menyedari bahawa jantung dan otak bertindak secara berasingan setelah mendapati apabila jantung penderma mampu berdegup serta merta sebelum sempat mendapat sebarang ransangan daripada otak penerima setelah menjalani pembedahan pemindahan jantung (Heart transplant). Dr J.Andrew Amour telah memperkenalkan konsep ‘Heart Brain’ (Otak Di Dalam Jantung). Iainya telah memberi impak yang meluas terhadp hala tuju kajian “Neurocardiology” di dalam memahami kecerdasan jantung (Heart intelligence) dan kerjasamanya dengan otak secara lebih dekat . Sebelum ini, fokus kajian para saintis hanya tertumpu kepada tindak balas jantung terhadap ransangan dan arahan daripada otak semata-mata.

“Heart Brain” merupakan sistem saraf yang tersendiri yang terdapat didalam jantung. Sistem saraf tersebut terdiri daripada rantaian neuron, pengutus saraf (neurotransmitter) ,protin, sel sokongan yang mirip dengan sistem saraf yang terdapat di dalam otak. Walau bagaimanapun, sistem saraf di dalam jantung bertindak dengan sendirinya. kajian yang dijalankan oleh institusi HeartMath di California juga mendapati bahawa jantung mempunyai rantaian neuron melebihi daripada 40 000 neuron yang berfungsi dengan prestasi yang cemerlang dalam mengawal kadar degupan jantung, penghasilan hormon dan penyimpanan maklumat yang dihantar melalui saraf impuls jantung melalui saluran afferent kepada sistem saraf otak.

“Global Coordinator” dan Proses Pemahaman

Allah Al-Wadud ( Maha Pencipta) telah mencipta fungsi Jantung dengan proses pemahaman. Firman Allah:

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى

الْأَبْصَارُ وَلَكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada al -Qalb yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah Qalbu yang ada di dalam dada”.

Pada hari ini, para saintis juga mempercayai bahawa sel jantung juga boleh menyimpan informasi seperti sel otak. Komunikasi diantara jantung dan otak melalui pelbagai kaedah seperti melalui sistem saraf (Autonomic Nervous system), biokimia (hormon), biofizikal (tekanan darah dan gelombang bunyi) dan tenaga elektromagnet membuatkan jantung di iktiraf sebagai “Global Coordinator” dimana jantung memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian dan keseragaman fungsi sistem tubuh badan secara keseluruhan. Malah, sistem tersebut juga penting bagi memastikan sel-sel otak dapat menerima dan memahami maklumat dengan baik.

Vibrasi Daripada Jantung

Dr Paul Pearsall pegarang buku ‘The Heart’s Code’ berpendapat jantung juga mempunyai keupayaan untuk merasa, mengingat dan berkomunikasi dengan jantung yang lain melalui penghantaran vibrasi (Transmitting Vibration). Selain itu, jantung juga mampu menghantar maklumat daripada setiap degupan jantung kepada keselurah badan. Oleh itu, jantung dikenal pasti sebagai salah satu organ yang dapat menghubungkan dan mengawal kesemua sel di dalam tubuh badan.

Rasulullah SAW telah memberitahu kita akan kepentingan al-Qalb terhadap tubuh badan dan ruh. Rasulullah bersabda:

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ

(وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ (صحيح البخاري

Sabda Rasulullah saw: “Ketahuilah bahwa pada jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah itu adalah Al- Qalb” (Sahih Bukhari)

Iman di dalam Al-Qalb

Hari berganti hari, semakin berkurangnya “timeline” usia, seharusnya semakin bertambah kefahaman dan kepercayaan terhadap agama. Agama itu nasihat. Nasihat lengkap bagi merawat al-Qalb yang telah diracuni dan dicemari dengan adat-adat lapuk jahiliyyah agar diri mereka dihiasi dengan akhlak-akhlak islam. Di ibaratkan perbezaan Al-Qalb bagi orang yang beriman bersinar seperti sinaran yang memancar daripada lampu yang terang, manakala Al-Qalb bagi orang yang ingkar adalah seperti “ulcer “ yang berdarah, membusuk dan bernanah.

“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam Al-Qalb mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.

(Al-Mujaadilah;22)

Jantung adalah “vital” organ kepada manusia , iman pula adalah jantung kepada kehidupan seorang muslim. Iman yang sejahtera akan membuatkan seorang muslim taat , patuh dan berpegang teguh kepada perintah Allah dan rasul. Situasi kehidupan manusia pada hari ini penuh dengan godaan yang memperdayakan muslim dengan angan-angan kosong dan keinginan yang kuat terhadap tipu daya dunia, keraguan dan kesamaran terhadap agama sehingga menyebabkan mereka yang berpegang teguh kepada agama menjadi pelik dan terasa amat berat.

”Akan datang suatu zaman kepada manusia di mana orang yang memegang agamanya ibarat orang yang menggenggam bara api.” (Riwayat Tirmidzi )

Itulah perbezaan diantara tentera Allah dan tentera syaitan. Kemahuan tentera Allah yang kuat tidak akan mengenal erti lelah, kesetiaan yang tetap yang tidak akan disaduri oleh kepura-puraan dan khianat, pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh ketamakan dan kebakhilan dan ma’rifah ( mengenal pasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya dengan bersungguh-sungguh. Wallahua ‘alam.

Nur Zulaikha Tusiran

Pelajar Perubatan Tahun 5, UNIKL RCMP

Ketua Beliawanis PEMBINA cawangan Ipoh.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top