Rumah Tangga Di Usia Muda. Bersediakah anda?

Kahwin di usia muda bukanlah satu fenomena yang asing lagi sejak kebelakangan ini. Namun apa yang menjadi persoalannya, bersediakah kita dalam membina rumah tangga bahagia yang bukan sahaja susah senang bersama di dunia malah turut bersama berpimpin tangan ke syurga Firdausi.

Mungkin ramai di kalangan kita yang beranggapan persediaan menuju ke alam perkahwinan hanya perlu bermula apabila sudah bertunang atau bakal mendirikan rumahtangga dalam tempoh lima hingga enam bulan dari tarikh pernikahan. Hakikatnya, persediaan hendaklah bermula seawal di alam remaja, yakni ketika masih bergelar mahasiswa dan mahasiswi. Tetapi bagaimana?

nikah1

Antara persediaan yang boleh dilakukan adalah melibatkan diri secara aktif dalam persatuan-persatuan di kampus dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan pelajaran. Anda bukan sahaja dapat belajar untuk menguruskan perkara-perkara teknikal berkaitan persatuan tetapi apa yang lebih penting adalah belajar untuk menyusun masa secara terancang dan seimbang. Mendahulukan perkara yang lebih utama dan mungkin juga terpaksa membuat keputusan yang tepat dalam masa yang singkat dengan mengimbangi kesan baik dan buruk tindakan tersebut. Dalam berumahhtangga, kemampuan untuk mengurus masa dan membuat keputusan secara efektif adalah sangat penting. Kemahiran ini tidak dapat dipelajari secara teori sehari semalam, tetapi memerlukan satu proses pembelajaran yang berterusan melalui pengalaman hidup.

Dalam masa yang sama, persediaan mental juga diperlukan dalam menempuh alam rumahtangga. Belajarlah untuk berfikir dan bertindak secara rasional dan matang dalam mengendalikan perasaan mahupun ketika berhadapan dengan masalah. Buat sang gadis, kawallah diri dari boros berbelanja dan hindarilah diri dari membuang masa bergosip atau berbual kosong. Buat sang teruna pula, sediakanlah diri untuk menjadi matang kerana hakikatnya, anda bakal mengemudi sebuah bahtera rumahtangga suatu hari nanti dan bukanlah selamanya mengemudi permainan video yang tiada kesudahannya. Sebagai langkah paraktikal buat yang masih bujang dan tinggal bersama rakan-rakan, didiklah diri untuk bertolak ansur dengan rakan serumah. Tidak perlu ‘rigid’ dengan jadual memasak dan mengemas rumah. Jika punyai masa terluang dan rakan yang lain pula sibuk dengan tugasan pelajaran, jadikanlah peluang ini sebagai medan untuk berlatih dan mengasah bakat. ‘Housemates’ hari ini, tingkah laku dan perasaannya masih mampu kita selami kerana kita juga punyai fitrah sejantina yang sama. Jika ‘housemate’ hari ini anda tidak mampu hidup gembira dan bahagia bersama, ‘housemate’ hari esok yang juga ‘soulmate’ anda pula bagaimana? Berlapang dadalah, semaikanlah budaya tanasuh (saling memberi nasihat) dan taghafur (memaafkan kesalahan) sesama rakan-rakan.

Menyingkap secara realiti ke jendela kehidupan berumahtangga, kestabilan dari sudut kewangan juga perlu dititikberatkan. Teringat kata-kata yang selalu kita dengar: Duit bukanlah segalanya, tetapi segalanya perlukan duit! Kata-kata ini bunyinya terlalu ‘money-minded’, tetapi itulah hakikat kehidupan pada hari ini. Oleh itu, berbelanjalah dengan bijak dan mengikut keperluan bukan kehendak dan hawa nafsu. Lazimkan diri untuk membuat baget kewangan diri dan berdisiplin dalam berbelanja. Tanamlah pada jiwa sifat qanaah, syukur dan sabar. Syukur dengan nikmat rezeki yang dikurniakan dan sabar pada ujian kesempitan rezeki. Sungguh, rezeki itu datangnya dari Allah, berdoalah agar dimurahkan rezeki dan jadikanlah solat Dhuha amalan harian.

“Dan (ingatlah) tatakala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” (Surah Ibrahim: Ayat 7)

Perkara penting lain yang perlu ditekankan adalah persediaan meningkatkan ilmu pengetauan. Pastinya setiap dari kita mendambakan rumahtangga harmoni yang penuh dengan barakah, mawaddah, sakinah dan rahmah. Oleh itu, lengkapkanlah diri dengan ilmu pengetahuan agama seperti fiqh munakahat, fiqh bersuci; ilmu pendidikan anak-anak dalam Islam; dan kemahiran rumah tangga seperti memasak, menjahit dan bertukang. Jadilah pencinta taman-taman syurga Allah di dunia dengan menghadiri usrah, kuliah-kuliah/kelas agama yang mana mutiara-mutiara ilmu ini dapat dijadikan bekalan bukan sahaja buat panduan diri ketika menggalas tanggunggjawab sebagai seorang isteri/suami bahkan ketika diri bergelar ibu/ayah suatu hari nanti, insyaAllah.

Buat yang ingin berkahwin awal dan yakin telah membuat persediaan secukupnya, tunjukkanlah kematangan dan kesediaan anda ketika bersama-sama dengan ibu bapa. Jangan pula bila pulang bercuti ketika hujung semester, anak gadis bangunnya lewat, sarapan pun tak berhidang, rumah pula tak berkemas. Sebaliknya, rajin-rajinlah membantu apa yang perlu. Buat sang teruna pula, bangunlah awal ke surau/masjid untuk solat Subuh berjemaah, ringankan tulang membersih halaman rumah, membaiki paip atau meggantikan lampu yang rosak di rumah dan sebagainya. Moga dengan sumbangan-sumbangan tenaga ini dapat menjadi asbab kepada keizinan ibu bapa untuk membenarkan anda berkahwin awal kerana mereka sudah dapat melihat kesediaan anda dalam menguruskan rumah tangga sendiri yang bakal dibina. Saya doakan semoga anda dipermudahkan urusan untuk berumahtangga dalam keredhaan Allah dan kerestuan ibu bapa

Nurul Azeem bt Abd Jamil

Ketua Beliawanis

PEMBINA Cawangan Sungai Petani

2 thoughts on “Rumah Tangga Di Usia Muda. Bersediakah anda?”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top