Gerakan Feminisme di Malaysia

Golongan wanita merupakan saff pertama dalam pembentukan ummah. Dari rahim-rahim merekalah lahirnya para pendidik, pemimpin negara , generasi menerus pejuang agama dan boleh jadi dari rahim mereka ini juga lahirnya para penjenayah, pengkhianat agama dan negara. Segalanya bertitik tolak dari wanita.

Gerakan feminisme lahir lewat abad ke 18 di Barat. Memperjuangkan isu-isu seperti hak reproduktif, keganasan rumah tangga, cuti bersalin, gaji yang sama rata, hak mengundi wanita, gangguan seksual, dan seksual keganasan, semua yang jatuh di bawah label feminisme. Gerakan feminisme ini juga dikenali sebagai Women’s Movement, Women’s Liberation, atau Women’s Lib.

Dewasa ini, tsunami perjuangan hak asasi mula melanda bumi yang kita cintai ini. Golongan hawa yang sinonim dengan gelaran ‘kaum yang lemah’ juga tidak ketinggalan melaungkan hak-hak mereka. Namun, apa yang menyedihkan kita apabila isu-isu yang mereka teriakkan dan perjuangkan itu melanggar hukum syariat yang turun dari Allah swt.

Sister in Islam (SIS), satu nama yang tidak asing lagi bagi kita. Sebuah gerakan yang memperjuangkan hak-hak wanita di Malaysia. Parahnya apabila hak kesamarataan yang mereka teriakkan itu terang-terang melanggar syariat Illahi. Adakah ini golongan yang ingin kita letakkan di barisan hadapan pembangunan ummah? Apakah implikasi terhadap generasi pewaris bangsa ini jika mereka lahir dari rahim-rahim wanita yang lantang melawan hukum suci syariat Islam?

SIS sering memulakan perbahasannya dengan persoalan :

“Sekiranya keadilan dan kesamaan sebagai nilai intrinsik dalam Islam, mengapakah kaum perempuan dilayan sebagai kelas kedua dalam teks perundangan Islam. Sekiranya kesamaan menjadi inherent kepada konsep keadilan dalam dunia moden, mengapa ia tidak terjelma dalam undang-undang keluarga di kebanyakan negara Islam yang mendakwa sebagai moden dan dipimpin oleh Syariah?”

Islam semestinya agama yang adil terhadap sekalian alam dan makhluknya. Tiada kecacatan dalam agama yang turun dari langit ini. Namun, adil bukanlah bermakna memberi secara samarata. Adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya.

SIS menjelaskan bahawa masyarakat Islam hari ini terus mewarisi kefahaman dan amalan agama yang diwarisi dari tafsiran ulama tradisionalis yang didakwa bersifat fanatik, eksklusif, tidak toleran,punitive (bersifat menghukum), patriarki dan bias gender. Fikiran mereka terus didominasi oleh golongan Revivalis yang bersifat Syariah Minded, tiada sifat kritikal dalam jiwa, serta kerap mengambil pendekatan yang keras dan sempit terhadap Islam. Pendirian dan anggapan SIS ini sebenarnya turut dikongsi oleh aliran Islam Liberal.

Golongan liberal memperjuang hak kebebasan mutlak dan meletakkan nafsu sebagai tuhan sembahan mereka. Mereka menyatakan bahawa al Quran memerlukan tafsiran semula sebagaimana yang dinyatakan oleh tokoh liberal kontemporari Irsyad Manji. Menafsir semula al quran berlandaskan paksi nafsu semata. Ironinya, bagaimana kita mampu menerima pendapat tokoh liberal tersebut, yang beragama Islam, namun mengaku dirinya lesbian dan terang-terang melanggar hukum Illahi?

Lihatlah perjuangan yang diteriakkan oleh golongan feminisme ini.

seksualiti merdeka

Dari web Seksualiti Merdeka, “kami percaya bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk bebas dari diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi seksual dan identiti jantina mereka. Kami percaya bahawa kita semua berhak untuk bertanggungjawab terhadap tubuh kita sendiri. Kami percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi, sama ada dia gay, lesbian, biseksual, transgender, heteroseksual, aseksual, pansexual dan sebagainya.”

Sister In Islam mempersoalkan Islam sebagai ideologi politik yang boleh memerintah negara, penahanan orang yang mahu murtad dan hukuman terhadapnya,  mereka menentang Negara Islam, dan mereka berpendapat bahawa negara tidak seharusnya mengadakan undang-undang atau polisi mengenai seksualiti yang mendiskriminasi dan membezakan dari segi hukuman dan berpegang pada kebebasan beragama.

Islam dilihat semakin hari diancam dan terancam. Kita bukan berbicara mengenai ancaman islam di negara yang 1000 kilometer jauh. Tetapi kita sedang berbicara mengenai tanah yang kita berpijak kini. Bumi yang kita cintai ini. Bumi Malaysia tanah tumpah darah kita. Di manakah solusi dalam permasalahan yang makin meruncing ini? maka tiada jawapan lain yang dapat kita unjurkan melainkan dengan memahami ungkapan ‘Al-Islam huwa al-hal’ (Islamlah satu-satunya penyelesaian).

Golongan wanita islam perlu dipelihara dan dibangunkan semula jati diri atau identiti islam mereka. Tsunami ideologi yang dicipta oleh Barat perlu digempur dengan segenap usaha kita. Jangan biarkan generasi akan datang dilahirkan dari rahim ibu-ibu yang mengaku Islam tetapi liberal dalam aktiviti sehariannya. Mengaku ALLAH sebagai tuhan tetapi menyembah nafsu sebagai berhala sehariannya.

Kelalaian kita memperbaiki dan membangun semula jati diri kaum wanita Islam ini, ibarat membiarkan barah membiak di tubuh yang hampir menemu ajalnya. Lalu, masihkah kita berangan melihat generasi pewaris yang tulen aqidah dan perjuangannya?

Oleh

Sharifah Abdul Samad,
Ahli Jawatankuasa Kajian dan Informasi

2 thoughts on “Gerakan Feminisme di Malaysia”

  1. Assalamualaikum
    Satu sisi pandang yang menarik mengenai gerakan feminisme di Malaysia. Suka atau tidak, kita harus mengakui bahawa persatuan/NGO yang membela nasib wanita seperti SIS lebih kehadapan dan lebih dominan suaranya dalam memperjuangkan nasib wanita meski ideologi dan konsep mereka mengenai wanita di dalam al-Quran adalah tidak benar sama sekali.

    persoalannnya, bagaimana gerakan Islam pd hari ini khususnya Sayap Wanita memainkan peranan dalam membela nasib wanita apatah lg setiap hari semakin banyak kes dera (domestic violence), pengabaian nafkah, gantung tidak bertali dsb (cuma menyebut beberapa contoh)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top