Qamarul: Pendekar Bahasa

Burung pekaka si burung helang,

Pohon pulasan menyeri laman;

Pantun pusaka tinggi dijulang,

Martabat warisan zaman berzaman.

Seni berpantun seakan-akan telah sebati dalam dirinya. Keindahan bahasa Melayu telah menarik minat yang begitu mendalam dalam bidang sastera.

Beliau merupakan saudara Qamarul Nazrin Bin Harun, seorang aktivis PEMBINA Shah Alam. Anak ke 2 daripada 6 orang adik beradik kepada pasangan Encik Harun dan Puan Nurul Ashikin ini lahir pada 28 Januari 1992 di Klang, dan kini menetap di Shah Alam, Selangor.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Hicom dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 27, Shah Alam sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Shah Alam dalam pengajian kejuruteraan mekanikal seterusnya mengambil Diploma Pengurusan Maklumat di UiTM Segamat, Johor. Kini beliu merupakan mahasiswa Sarjana Muda Pengurusan Sistem Maklumat, Sains Maklumat, di UiTM Puncak Perdana.

pantun
Qamarul (kanan) semasa menyertai pertandingan pantun

Sering digelar Pendekar Bahasa oleh sahabat handai kerana sangat mencintai bahasa Melayu. Beliau mula berjinak-jinak dalam dunia sastera selepas dipilih menjadi pemantun sekolah seterusnya menjadi pemantun negeri Selangor pada tahun 2009. Minat berpantun tidak berhenti setakat itu apabila beliau meneruskan warisan berpantun hingga ke peringkat IPT apabila beliau dipilih untuk mewakili UiTM ke pertandingan pantun Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia, MAKUM pada tahun 2012. Saudara Qamarul juga berpendapat bahawa memartabatkan budaya Melayu bukan sekadar memasuki pertandingan-pertandingan tetapi didorongi oleh rasa izzah yang tinggi terhadap seni warisan.

“Hampir setiap hari saya akan cipta pantun. Saya juga lebih gemar menghadiri kursus-kursus pemantapan bahasa Melayu kerana banyak input-input menarik dapat diperoleh selain dapat bina hubungan dengan tokoh-tokoh sastera. Kalau boleh, saya nak berdiri sama tinggi seperti sasterawan-sasterawan Negara.”

Meskipun sibuk dengan tugasan pelajaran, saudara Qamarul telah diberi amanah sebagai JK Badan Bertindak, BAKTI PEMBINA Shah Alam. Saudara Qamarul juga menegaskan bahawa kecemerlangan seseorang bukan sekadar cemerlang di kertas peperiksaan, tetapi juga diukur sejauh mana seseorang itu dapat menyumbang pada masyarakat. Menurut beliau lagi, tonggak sebuah kecemerlangan dapat dirasai apabila sekumpulan manusia atau masyarakat juga cemerlang dalam pelbagai bidang dan kemahiran.

Apabila ditanya mengenai PEMBINA, saudara Qamarul menyatakan bahawa PEMBINA merupakan platform terbaik khususnya buat mahasiswa-mahasiswa yang ingin mengilap potensi diri. Selain dari aktiviti-aktiviti mahasiswa, PEMBINA komited dalam menyampaikan mesej pada masyarakat amnya tentang bahaya pengaruh-pengaruh luar yang dapat menghakis jati diri pemuda. Beliau juga menyeru buat pemuda-pemuda yang belum menyertai PEMBINA untuk turut sama-sama beriltizam membangunkan  kecemerlangan ummah melalui pembinaan jati diri dalam diri pemuda.

Akhir sekali, beliau berpesan kepada seluruh pemuda khususnya mahasiswa untuk menguasai apa-apa jua bidang yang diceburi. “Apabila kita berjaya menguasai sesuatu bidang itu, kita dapat memberikan sumbangan pada ummah. Dari situ kekuatan akan terserlah hingga tiada siapa mampu mencabar kehebatan pemuda Islam.”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top