GERAKAN BELIA ISLAM PERLU MEMAHAMI REALITI PERTEMBUNGAN ORDE DAN BERSEPAKAT BANGUNKAN KEPIMPINAN BELIA MENERUSI TAJDID FALSAFAH PERADABAN ISLAM

Pada 19 Oktober 2024, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Saudara Ahmad Syahman terlibat sebagai pembentang di dalam sebuah sesi forum “Transformasi Dakwah Di Era Moden: Cabaran dan Peluang Dalam Pendekatan Dakwah di Malaysia dan Singapura” yang merupakan salah sebuah slot di dalam Muntada Belia Islam Nusantara, anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Forum ini turut menampilkan panelis daripada ABIM Malaysia dan International Islamic Youth League (IIYL). 

Antara persoalan yang diutarakan ialah bagaimanakah Isu-isu seperti sekularisme, liberalisme, dan Islamofobia memberi kesan kepada penyampaian dakwah di Malaysia dan Singapura dan apakah jalan keluar kepada kesan serangan pemikiran ini. Presiden PEMBINA di dalam pembentangannya menekankan bahawa liberalisme, sekularisme dan lain-lain penyelewengan pemikiran merupakan sebuah jalur penyelewengan yang berpunca daripada fahaman Taghut. Taghut di dalam al-Quran membawa maksud syaitan, berhala atau ahli sihir, di mana ketiga-tiga maksud ini mempunyai hubung kait yang jelas dengan iblis. Selain itu, taghut juga membawa makna penolakan sebarang kuasa daripada Allah dan meletakkan kudrat kepada selain Allah. Sudut pandang Taghut ini telah melahirkan pelbagai bentuk ideologi dan produk-produk yang tidak memenuhi hakikat keinsanan yang sebenar kerana mereka membawa naratif bahawa manusia boleh mencapai taraf ketuhanan dan mentadbir alam sama seperti Tuhan. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِى كُلِّ أُمَّةٍ رَّسُولًا أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجْتَنِبُوا۟ ٱلطَّٰغُوتَ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنْهُم مَّنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ ٱلضَّلَٰلَةُ ۚ فَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ ‎﴿٣٦﴾

Terjemahan “Dan sungguh, Kami telah mengutus seorang Rasul untuk setiap umat (untuk menyerukan) “Sembahlah Allah, dan jauhilah Taghut,” kemudian di antara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula yang tetap dalam kesesatan. (Surah An-Nahl: 36)

Dengan memahami punca utama penyelewengan hari ini, gerakan belia Islam berupaya membaca dan mencerap realiti permasalahan di lapangan dengan baik sekaligus membantu untuk menghasilkan kerangka jalan keluar yang berkesan. Selain itu, ia memberikan kesedaran kepada setiap gerakan belia Islam bahawa pertembungan  yang berlaku bukan sekadar blok-blok di dalam negara tetapi ia kita berdepan ramai “pemain” dan jaringan organisasi Taghut di peringkat orde Dunia. Gerakan belia Islam justeru perlu memulakan langkah melihat penyelesaian dalam konteks kerangka falsafah ilmu yang betul. Perbincangan tentang falsafah ilmu Islam perlu mula diwacanakan di kampus-kampus, termasuklah di segenap platform digital, bagi memastikan belia Islam mempunyai kerangka pemikiran berlandaskan sumber ilmu yang sahih iaitu kerangka fikir yang berlandaskan Tauhid. 

(Rujukan: Buku “Tajdid Falsafah Peradaban Islam” , terbitan Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah) 

Dengan kerangka fikiran yang kukuh berteraskan Tauhid,  belia tidak menjadi seperti buih yang mudah dipukul ombak dan mengikut secara membuta tuli apa sahaja yang terbentang di hadapan mata. Oleh itu, aktivisme,program,produk yang ditawarkan kepada belia dan mahasiswa perlulah berlandaskan objektif dan indikator berlandaskan kerangka fikir epistemologi yang betul yang menekankan aspek hayah toyyibah (kehidupan yang sejahtera) dan menekankan teras keinsanan yang hakiki, bebas daripada perhambaan kepada manusia. 

PEMBINA, sebuah gerakan belia Islam yang beraspirasi membangun kempimpinan watan, turut memberikan tumpuan kepada pembangunan belia secara holistik dengan mengambil langkah strategik memanfaatkan teknologi digital sebagai platform menyampaikan pandangan alam Islam. Di Malaysia, penggunaan media sosial bukanlah sesuatu yang baharu, bilangan pengguna media sosial semakin meningkat dan mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh DateReportal:Global Digital Insight (2023), penggunaan media sosial di Malaysia setakat Januari 2023 adalah seramai 26.8 juta iaitu 78.5 % daripada jumlah penduduk. Peratusan pengguna media sosial yang paling tinggi adalah dalam kalangan masyarakat berumur 25-34 tahun, iaitu sebanyak 31.5% manakala peratusan pengguna paling rendah adalah dalam kalangan masyarakat berumur 65 tahun ke atas iaitu sebanyak 3.5%. Justeru, gerakan dakwah belia untuk memanfaatkan segenap platform digital yang ada untuk tujuan membangunkan kerangka fikir yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Ia boleh diolah dalam pelbagai bentuk yang kreatif untuk menanamkan rasa cinta kepada Al-Quran seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam keseluruhan kehidupan. Selain itu, gerakan belia Islam perrlulah mengkehadapankan isi kandungan tentang ancaman dan cabaran-cabaran semasa yang berlaku di dalam negara dan luar negara supaya belia berada dalam kesedaran dan proaktif dalam berfikir memberikan penyelesaian. 

Di akhir sesi forum, Presiden PEMBINA menyeru gerakan belia Islam bersepakat membawa belia keluar daripada belenggu permasalahan, dengan gerak kerja memandu pemikiran belia berdasarkan kerangka falsafah ilmu berteraskan Tauhid  yang merupakan akar yang kuat (asluha thabitun wa far’uha fi al-sama’). Bagi merealisasikan cita-cita ini, adalah menjadi tanggungjawab para pemimpin gerakan belia Islam untuk menghidupkan budaya ilmu yang tinggi di samping  menjalankan gerak kerja mencetak belia Islam menjadi penggerak dakwah yang dapat memahami realiti semasa (waqi’iyyah) yang berupaya menghasilkan mekanisme penyelesaian yang tepat.

Disediakan oleh: Unit Kajian dan Strategik PEMBINA 

22 Oktober 2024.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top