Palestin: Langkah-langkah menuju pembebasan Al-Aqsa


 
“Siapa yang menguasai palestin,dia menguasai dunia”. Sebuah jawapan tuntas dari Salahuddin Al-Ayyubi yang menjawab mengapa umat Islam perlu membebaskan Palestin. Sudah lebih 100 tahun bumi barakah ini berada di bawah penguasaan musuh bermula dengan jatuhnya ia ke mandat British pada 1917. Semenjak itu, bermulalah pelbagai siri usaha untuk membebaskan bumi anbiya’ ini dari kezaliman zionis Israel. Walaupun begitu, bukanlah semua usaha yang pernah digembleng itu merupakan solusi yang benar bagi pembebasan Al-Aqsa. Bahkan ada diantaranya yang hanya menambah keperitan umat Islam dan menyukarkan lagi usaha pembebasan ini.Oleh itu, penulis akan berkongsi langkah-langkah menuju pembebasan Al-Aqsa yang benar mengikut kacamata Al-Quran yang menjanjikan pembebasan Masjid Al-Aqsa itu sendiri.
 
Solusi Islam bagi menuju pembebasan Al-Aqsa pertamanya adalah dengan merealisasikan ‘Ubudiyyah’ kepada Allah. Apabila seorang individu muslim itu telah wujud pada dirinya kehambaan kepada Allah, ketika itulah dia telah mencapai kemerdekaan dan kemuliaan.Dengan kemuliaan ini mereka membangun dengan menjadi sosok perwira dan pemberani. Oleh kerana itu, Allah menyifatkan hamba-hambanya yang dipilih untuk membebaskan Al-Aqsa sebagai عباد لنا أولى بأس شديدyang bermaksud hamba-hamba kami yang kuat perkasa. Ciri asas ini wajib ada bagi mereka yang inginkan kemenangan ke atas Yahudi dan tidaklah ia diperolehi melainkan dengan jalan penghambaan kepada Allah.
 
Setelah berjaya membentuk hamba Allah yang hakiki, maka langkah seterusnya adalah dengan membina masyarakat Islam yang unggul. Berdirinya sebuah masyarakat yang mempraktikkan Islam secara realiti merupakan sebuah kewajipan secara syar’ie mahupun aqli. Dengan wujudnya kumpulan masyarakat Islam hakiki ini , barulah pertolongan Allah dan keredaan-Nya tertulis bagi umat islam memimpin perjuangan pembebasan Al-Aqsa.. Lihat sahaja kepada masyarakat Islam di Gaza yang keimanan dan keteguhan mereka menjadi asbab Allah menurunkan bantuan kepada para mujahidin.
 
Seterusnya, langkah terakhir untuk menuju pembebasan Al-Aqsa adalah dengan mempersiapkan ummah yang berjuang. Umat Islam wajib mengembalikan segala buah fikiran dan usaha kepada sebuah visi yang jelas iaitu membangunkan setiap individu muslim dengan iman dan mendidik mereka akan erti kemuliaan dan kemerdekaan. Dalam menggapai perkara ini, ummah perlu mempersiapkan bekalan-bekalan kekuatan berbentuk tenaga, kekuasaan dan ketenteraan . Oleh itu, setiap apa yang berjalan dalam kehidupan seharian umat Islam sama ada di peringkat individu,masyarakat mahupun negara mesti dimatlamatkan untuk mencapai tujuan pembebasan Al-Aqsa yang mulia.
 
Sebagai penutup, penulis sangat yakin dengan apa yang difahami daripada Al-Quran bahawa isu palestin ini tidak akan terungkai melainkan dengan solusi Islam. Oleh itu, usaha mengislamisasikan isu Palestin adalah perkara mustahak yang perlu diangkat dalam kalangan umat manusia.

Disediakan oleh:
Ibrahim Allah
Mantan Presiden PEMBINA UM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top