Forum Belia Lestari Masyarakat Harmoni PEMBINA UNIMAS

Kota Samarahan, 28 Mac 2013 – Satu forum perdana bertajuk “Belia Lestari Masyarakat Harmoni” telah berlangsung di Dewan Tunku Abd Rahman (DeTAR) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) anjuran PEMBINA UNIMAS dan UNIMAS sempena minggu penghayatan Islam. Forum yang dihadiri oleh 350 mahasiswa mahasiswi UNIMAS telah menampilkan Mufti Sarawak Sahibu Samahah Tuan Haji Kapli Yassin, Ketua Jabatan FSKTM, Dr Abdul Halim serta Presiden PEMBINA, Ibrahim Mohd Hasan.

Mufti Sarawak menegaskan bahawa belia lestari perlu memiliki jatidiri yang kukuh bersandarkan ketinggian nilai intelektual serta rohani yang mantap supaya tidak menjadi seperti lalang yang mudah ditiup angin.

Saudara Ibrahim menjelaskan bahawa belia merupakan aset negara yang mempunyai potensi yang hebat. Belia perlu menjadi aset baik yang sentiasa meningkatkan nilai dan sumbangan kepada negara dalam masa yang sama tidak menjadii aset buruk yang menjadi liabiliti kepada negara.

Beliau turut menjelaskan bahawa jatidiri terbentuk apabila belia itu memiliki prinsip yang jelas berlandaskan kefahaman Islam yang sebenar. Beliau  turut memberikan contoh bilamana AlQuran menyebutkan dalam surah AlKahfi berkenaan pemuda yang berpegang teguh pada prinsip walaupun diancam bunuh oleh pemerintah kerana beriman kepada Allah s.w.t.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.” (18:13)

belia lestari

Ketika ditanya berkenaan usaha PEMBINA dalam menentang arus liberal, saudara Ibrahim menyatakan bahawa PEMBINA komited dalam menjelaskan kepada masyarakat belia berkenaan ancaman dan bahaya liberalisma yang cuba meracuni pemikiran ummat Islam di Malaysia melalui Jelajah Arus Siswa (JELAS). Dengan memberikan contoh seperti Irsyad Manji yang dibawa masuk ke Malaysia pada tahun lalu serta program-program yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF) jelas membuktikan bahawa ada cubaan menyebarkan agenda Liberal di Malaysia.

“Sekarang ini kita berhadapan dengan suatu serangan pemikiran (ghazwatul fikr) dalam bentuk baru iaitu liberalisme.¬† Kita tidak dapat lihat secara fisikal tetapi ia boleh menyelinap masuk dalam pemikiran orang Islam secara senyap dan tersembunyi. Ianya umpama racun berbentuk madu yang meracuni dan merosakkan pemikiran Islam sebenar.”

Isu yang dibangkitkan pada sesi forum tersebut ialah berkenaan kepentingan belia untuk cakna terhadap sesuatu. Presiden PEMBINA berkata bahawa penting bagi belia untuk cakna kepada isu sekeliling supaya mereka tahu hak dan tanggungjawab yang sepatutnya mereka mainkan sebagai seorang mahasiswa.
“Ia merupakan hak kita untuk melarang kalimah Allah digunakan dalam bible dan ia merupakan tanggungjawab pada kita untuk memastikan kemaslahatan ummat Islam terjaga.”

Diakhir forum setiap panel menyimpulkan bahawa amat penting bagi belia untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar dan terus menyumbang kepada negara dan agama.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top