Dapat Masuk UiTM Machang ? Jom Baca Pengalaman Senior Anda Di Sini

UiTM mempunyai banyak kampus di seluruh Malaysia dan ini termasuk juga di Kelantan. Kampus utama UiTM Kelantan adalah di Machang dan kampus kedua di Kota Bharu.

UiTM Machang menawarkan pelbagai kursus peringkat diploma berkaitan pengurusan dan IT.

Mesti ramai junior yang baru nak daftar masuk ke UiTM ini mencari maklumat yang berguna tentang cara kemasukan dan lifestyle di sini, bukan?

Kali ini PEMBINA Pasir Puteh mengumpulkan maklumat yang sesuai untuk anda.

Lokasi UiTM Machang

UiTM Machang tidaklah terlalu jauh dari bandar Machang. Kalau kita Waze atau Google Maps, UiTM Machang hanyalah sekitar 8.2 km sahaja dari bandar Machang. Sekitar 9-12 min perjalanan ke Bandar Machang. Jadi, anda tak perlu risau sangat lah ye. Tak macam sesetengan cawangan UiTM yang lain, di mana ianya terletak terlampau jauh dari bandar utama.

Kemudahan Prasarana

Perasan tak di mana-mana ada Institut Pengajian Tinggi sama ada swasta atau awam pasti ada kedai-kedai makan dan printing? Tentunya di sekitar UiTM Machang ini ada semua itu.

Keluar je dari pintu utama UiTM ini, kita boleh nampak berderet-deret kedai makan. Boleh jadi tempat melepak yang best kalau sudah bosan makan di kafe dalam UiTM. Semuanya dalam walking distance. Tak perlu nak ada motorsikal atau kereta.

Jangan risau, dalam UiTM Machang pun ada kedai makan atau medan selera. Kita juga ada beberapa koperasi dalam UiTM Machang yang menyediakan khidmat printing dan sebagainya.

Minggu Destini Siswa

Setiap IPTA akan ada minggu sambutan pelajar baharu. Ini tidak terkecuali dengan UiTM. Minggu ini dinamakan sebagai Minggu Destini Siswa atau ringkasnya MDS. Kebiasaannya, pelajar-pelajar baharu wajib hadir MDS dan ianya selalu berlangsung seminggu sebelum bermulanya kuliah. Tujuan MDS adalah untuk memperkenalkan UiTM kepada para pelajar baharu dan taklimat-taklimat penting daripada pihak pentadbiran UiTM.

Di waktu inilah anda akan berkenalan dengan pelajar-pelajar yang baharu mendaftar sama seperti anda. Nasihat penting: Fokus pada setiap acara yang berlangsung semasa MDS ini. Insya-Allah akan berguna sepanjang anda belajar di UiTM kelak.

Fasiliti UiTM Machang

UiTM Machang ada beberapa fasiliti yang memudahkan urusan pelajar. Contohnya, kita ada mesin ATM dan juga beberapa koperasi di pusat pelajar. Kepada yang nak sedikit privacy atau suasana yang senyap untuk belajar, anda boleh juga ke perpustakaan UiTM (Perpustakaan Tengku Anis).

Mesin ATM Bank Islam dan RHB

Kalau anda orang yang minat bersukan, UiTM Machang juga ada menyediakan tempat untuk bersukan/beriadah. Satu lagi yang menarik tentang UiTM Machang adalah pada setiap Rabu malam, akan ada pasar malam. Pasar malam ni terletak di padang kawad dan dekat sini lah peniaga-peniaga dekat luar akan jual makanan dalam UiTM. Fuhh… memang best…

Antara tempat riadah di UiTM Machang

Kursus yang Ditawarkan

Kursus-kursus yang ditawarkan oleh UiTM Machang adalah semuanya di peringkat diploma (course diploma) dan ijazah sarjana muda (degree course). Permohonan masuk perlulah melalui UPU.

Terdapat 6 fakulti di sini. Setiap fakulti menawarkan program diploma dan bacelor yang berlainan.

  1. Fakulti Perakaunan
    ● Diploma Perakaunan (AC110)
    ● Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) (AC220)
  2. Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
    ● Pra Diploma Perdagangan (BA002/003)
    ● Diploma Pengajian Perniagaan (BA111)
    ● Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat (BA118)
    ● Diploma Pengajian Perbankan (BA119)
    ● Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (Kepujian) (BA232)
    ● Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran (BA240)
    ● Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan (BA242)
    ● Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Perbankan Islam (BA249)
    ● Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Ekonomi (BA250)
    ● Master of Business Administration (MBA) (BA771)
    ● DBA (AA901) & PhD (BA950)
  3. Fakulti Pengurusan Maklumat
    ● Diploma Pengurusan Maklumat (IM110)
    ● Ijazah Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat (Kepujian) (Pengurusan Sistem Maklumat) (IM245)
  4. Kolej Pengajian Seni Kreatif
    ● Diploma Seni Lukis & Seni Reka (Seni Reka Grafik & Media Digital) (AD111)
    ● Diploma Seni Lukis & Seni Reka (Seni Reka Tekstil) (AD112)
    ● Diploma Seni Reka Logam Halus (AD113)
    ● Diploma Seni Halus (AD118)
  5. Fakulti Sains Komputer dan Matematik
    ● Diploma Sains Komputer (CS110)
    ● Diploma Statistik (CS111)
    ● Diploma Sains Matematik (CS143)
    ● Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) (CS240)
    ● Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik (CS241)
    ● Sarjana Muda Sains (Kepujian) Matematik (CS249)
    ● Dwi Ijazah – Sarjana Muda Sains (Kepujian) Statistik (UiTM) dan Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perniagaan Pengedaran) Dengan Kepujian (UMK) (CS291)
  6. Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi
    ● Diploma Pentadbiran Awam (AM110)

Bagaimana nak berjaya di UiTM Machang?

Bagi pelajar yang baru mendaftar, ini ada tips daripada ahli PEMBINA Pasir Puteh, alumni UiTM Machang, Nur Amirah Jasri.

Tips 1: Jangan malu bertanya dengan pensyarah

Antara masalah yang sering dihadapi oleh pelajar adalah malu bertanya dengan pensyarah. Sudahlah kita tak faham apa yang pensyarah ajar, bila malu bertanya lagilah kita tak faham. Kalau malu untuk bertanya di dalam kelas, boleh jumpa pensyarah secara personal. Saya lebih suka dengan cara ini dan pensyarah pun sebenarnya okay je bila ada pelajar yang bersungguh sungguh nak faham apa yang dia ajar.

Tips 2: Belajar dengan kawan yang pandai

Dalam setiap kelas, confirm ada pelajar yang kira macam “top student”. Apa lagi, korang buat study group bersama – sama. Tanya pelajar tersebut apa yang dia faham. Saya masih ingat lagi, ada beberapa subjek ni saya dan kawan saya memang tak faham langsung. Jadi kami pun pergilah jumpa pelajar pandai tersebut. Kira macam sesi berguru lah haha. Nasib lah dia pun tak bosan nak ajar kami.

Tips 3: Berbaik dengan senior.

Ini bukanlah tips untuk kita minta perhatian senior. Sebenarnya, ada banyak kelebihan sekiranya kita dapat berkenalan dengan senior – senior kita. Antaranya, senior – senior kita boleh pinjamkan buku – buku untuk subjek tertentu kepada kita. Kadang – kadang, ada sesetengah subjek yang perlu untuk kita berbelanja sedikit untuk kita beli buku rujukan. Tapi kalau senior dah ada, kita boleh pinjam je dari mereka. Mungkin kalau ada senior yang baik hati, mereka terus bagi je dekat kita.

Saya rasa 3 tips ini memang sangat berguna untuk mana-mana program sekalipun kerana ianya bersifat umum.

Organisasi dan Aktiviti Pelajar

Selain dari perkara – perkara akademik, UiTM Machang pun ada persatuan/organisasi pelajar. Dalam organisasi ini, pelajar – pelajar biasanya akan merancang aktiviti – aktiviti yang mereka nak buat dalam atau luar UiTM. Contohnya, untuk Science Computer, kita ada Persatuan SCiCO UiTM Machang. Ada banyak lagi persatuan – persatuan yang lain. Antara kelebihan untuk menyertai persatuan – persatuan ini adalah kita dapat kumpul poin atau kupon aktiviti yang mana ini akan memudahkan kita untuk dapatkan duduk dalam kolej pada semester akan datang. Bahkan, kalau anda menyertai atau pegang jawatan dalam Jawatankuasa Perwakilan Kolej, kemungkinan untuk anda dapat kolej ini sangatlah tinggi.

Selain dari kumpul poin dan kupon aktiviti, inilah juga masanya untuk anda kembangkan “soft skills” anda. Apabila kita terlibat dalam persatuan, kita akan bekerja dalam 1 kumpulan dan setiap ahli organisasi kita mempunyai personaliti yang berbeza. Di sinilah anda akan belajar bagaimana menguruskan organisasi, bagaimana menguruskan dan berkomunikasi dengan manusia, bagaimana menyediakan kertas kerja dan sebagainya. Pengalaman ini anda tak akan dapat sekiranya anda tidak menyertai mana – mana persatuan. Kemahiran – kemahiran ini sangatlah penting terutamanya apabila anda mencari kerja suatu hari nanti.

Tak ada persatuan yang menarik ? Tidak mengapa. Anda boleh juga menyertai mana-mana persatuan/organisasi mahasiswa di luar UiTM. Saya sendiri pun merupakan aktivis Pembina Pasir Puteh (luar UiTM). Kelebihan menyertai organisasi luar ni adalah, anda akan berurusan dengan orang yang bukan pelajar juga. Ini juga pengalaman – pengalaman yang berharga.

Inilah serba sedikit pengalaman yang boleh saya kongsikan berkenaan kehidupan di UiTM Machang. Semoga adik – adik nanti menjadi mahasiswa yang berjaya dan memberi impak kepada bangsa, negara dan agama.

Ingin tahu lebih lanjut berkenaan UiTM Machang atau tips survival kampus ?
Sila hubungi kami di pembinapasirputeh20@gmail.com atau WhatsApp Ahli Pembina kami di https://wa.me/601114089910

Oleh:
Nur Amirah Jasri
Graduan CS110 UiTM Machang dan Aktivis Pembina Pasir Puteh

Rujukan
  1. https://kelantan.uitm.edu.my/index.php/en/academics

0 thoughts on “Dapat Masuk UiTM Machang ? Jom Baca Pengalaman Senior Anda Di Sini”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top