Dirikan Negara Beracuan Sendiri, Langkah Menuju Malaysia Kuat, Maju & Berdaulat

Negara ini negara beridentiti. Ia juga terbina daripada hasil perjuangan pejuang terdahulu yang berjuang mempertahankan identiti yang telah lama menjadi asas kepada pembentukan negara Malaysia iaitu identiti Kebangsaan Melayu dan Islam sebagai tunjang. Identiti ini akan terus menjadi asas perjuangan dan dipertahankan bagi diwarisi kepada generasi akan datang.

66 tahun kemerdekaan seharusnya menjadi alasan kukuh untuk kita bebas merancang pembangunan dan hala tuju negara mengikut acuan kita sendiri serta jauh dari pengaruh penjajah. Jika disandarkan umur tersebut dengan umur manusia, ia seharusnya telah menjadikan manusia itu sebagai insan yang penuh pengalaman, penuh hikmah dan matang dalam menentukan keputusan hidupnya sendiri. Begitu juga dengan sesebuah negara, negara yang telah mencapai 66 tahun kemerdekaan seharusnya perlu menjadi negara yang bebas 100 peratus untuk merancang pembangunan negara secara mandiri bahkan mampu dijadikan contoh kepada negara-negara lain yang lebih muda darinya.

Dengan kesedaran itu, ini masanya untuk kita perlu mengambil tindakan berani untuk merombak semula sistem-sistem tinggalan penjajah yang masih digunakan hari ini dengan menukarnya menggunakan sistem mengikut kerangka acuan kita sendiri. Kita tidak boleh terus bergantung kepada model-model luar yang sememangnya tidak sesuai dengan realiti dan keperluan kita. Kita perlu berani menentukan hala tuju dan visi kita sendiri sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Kita perlu melihat semula sistem pendidikan, sistem perundangan, sistem pentadbiran, sistem ekonomi, sistem sosial dan sistem politik kita dengan memastikan bahawa sistem-sistem itu terbina daripada kerangka kita sendiri dan dapat memenuhi aspirasi dan kepentingan nasional.

Malaysia perlu berubah menuju ke arah sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat. Kita perlu meningkatkan kemampuan kita dalam bidang-bidang strategik seperti sains, teknologi, industri, pertahanan, sosial, ekonomi dan politik. Kita perlu menunjukkan bahawa kita mampu bersaing dengan negara-negara lain di pentas dunia khususnya di rantau ini.

Mahasiswa dan universiti adalah tunjang kepada hasrat membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul. Mahasiswa adalah pemimpin masa depan yang akan meneruskan legasi pejuang kemerdekaan. Universiti pula adalah tempat melahirkan ilmuwan, pakar, profesional, intelektual, seniman, aktivis dan tokoh-tokoh yang akan menyumbang kepada pembangunan nasional. Oleh itu, saya menyeru kepada mahasiswa dan universiti agar memainkan peranan mereka secara strategik kepada hasrat ini.

Selamat menyambut hari kebangsaan!

Wafiq Azman
Presiden Pembina

#66tahunmerdeka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top