Belia perlu kukuh jati diri

Respon kepada Festival Seksualiti Merdeka 2011

Fenomena sosial di Malaysia makin hari makin bercelaru. Kini, golongan “jantina ke-tiga” pula semakin berani masuk ke pentas masyarakat secara rasmi dan terancang. Kehadiran golongan ini jelas menyesakkan dada orang-orang mukmin kerana budaya songsang yang dibawa mereka ini telah menodai hukum alam yang ditetapkan oleh Tuhan.

Jantina adalah satu anugerah yang diberi secara misteri,yang hanya diketahui apabila lahirnya manusia ke dunia. Dengan adanya jantina inilah manusia diberi kebebasan melakukan perkara yang sesuai dengan fitrahnya, diberikan hak sesuai dengan jantinanya, dan diberi penghormatan sesuai dengan kedudukannya. A

pabila manusia mengikut landasan yang ditetapkan ini, maka hiduplah alam secara harmoni. Tetapi jika manusia cuba melawan arus dengan memporak-perandakan jantina diri, seluruh sistem sosial punah dan seluruh alam akan musnah. 

Tidakkah kita cuba menjelajahi dunia, memerhatikan kesan yang berlaku ke atas penduduk kaum Lut yang membudayakan cara hidup gay? Apakah tidak ada secebis rasa takut di hati kita akan kemurkaan Tuhan yang bakal melanda? Apakah kita tidak punya pelajaran dan pendidikan yang cukup tinggi untuk memikirkan perkara yang sekecil dan selogik itu?

Bagi golongan yang telah celaru identiti, insaflah. Masih ada ruang untuk bertaubat dan kembali normal.

Bagi golongan yang gigih memperjuangkan hak kebebasan menukar jantina dan seksologi, usahlah bazirkan masa, tanaga dan wang anda ke arah itu. Banyak lagi isu kemanusiaan yang boleh diperjuangkan.

Bagi golongan belia dan beliawanis, binalah jatidiri yang kukuh. Usahlah terlalu mudah mencenderungi budaya meniru jantina lain kerana dikhuatiri, sekali cuba, kemudian berlarutan hingga sanggup mencuba pula hormon dan menukar organ.

Bagi belia dan beliawanis yang sudah berumah tangga dan mempunyai keluarga sendiri yang berperanan sebagai ibu bapa, usahlah mengulangi kesilapan orang lain yang mungkin telah kerana tidak memperoleh anak mengikut jantina yang pernah diidamkan, lantas mencelarukan identiti anak masing-masing. Anak perempuan di’ganas’kan, manakala anak lelaki di’lembut’kan.

Belajarlah untuk menerima kehadiran anak-anak seadanya walau apa pun jantina mereka. Besarkanlah mereka mengikut citarasa fitrah insani.

Yakinlah, jantina yang dianugerahkan kepada kita adalah terlalu istimewa dan terlalu luas untuk kita jelajahi sepenuhnya. Kagumilah diri sendiri, syukurilah kelebihan diri sendiri.

Ia adalah milik kita yang tidak mungkin ditukar ganti. Ia adalah imej peribadi yang dengannyalah kita dikenali.
 

Nor Hasni Hayati Hanapi
Naib Presiden II
PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top