PEMBINA Bantah Seksualiti Merdeka

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) membantah penganjuran Seksualiti Merdeka yang dirancang untuk dianjur pada 9 hingga 13 November 2011 ini di Kuala Lumpur. Sebagai sebuah pertubuhan Islam, PEMBINA berpendirian jelas dan tegas bahawa gejala dan kelakuan songsang Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) adalah sesuatu perbuatan keji yang amat dilarang oleh agama, selari dengan firman Allah yang mengecam perbuatan tersebut dalam Al-Quran:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّن الْعَالَمِينَ (7:80)

إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاء بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ (7:81)

“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya: “”Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (7:80-81)

Oleh itu, PEMBINA mengecam sebarang usaha menganjur, menggalak dan mempromosikan gejala dan kelakuan songsang golongan LGBT seperti program Seksualiti Merdeka. PEMBINA lantas menyeru pihak berkuasa menggunakan segala bidang kuasa yang ada bagi menghentikan penganjuran program tersebut sebagai bukti ketegasan terhadap prinsip dan nilai moral yang lurus.

Dalam pada itu, sebagai usaha mencegah mahupun merawat, usaha-usaha tersusun perlu dirancang bagi memperjelas dan mendidik masyarakat bahawa perbuatan atau kecenderungan seks songsang merupakan sesuatu yang jijik, ditegah agama dan bertentangan dengan norma kehidupan. Segala jentera kerajaan, media massa dan medium pendidikan arus perdana perlu meletakkan nilai yang jelas dan tegas bahawa LGBT adalah sesuatu yang ditolak oleh semua. Badan-badan kerajaan, contohnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Wanita perlu mewujudkan pusat pemulihan bagi mereka yang mengalami kecelaruan jantina.

Disamping itu, jika sebelum ini Jabatan Agama Islam negeri bertegas dalam penguatkuasaan terhadap salahlaku zina, tindakan yang sama bahkan lebih tegas perlu diambil terhadap perlakuan homoseksual dan biseksual, dalam masa yang sama menghalang sebarang pembedahan transeksual.

Selain itu, peranan media dan penguatkuasaan Kementerian Penerangan dan Lembaga Penapisan Filem amat penting untuk menghalang unsur-unsur kecelaruan jantina disiarkan ke media-media arus perdana, tabloid mahupun media alternatif.  Sebaliknya, media perlu menunjukkan bahawa kecelaruan jantina adalah satu musibah sedangkan penyaluran nafsu dan naluri pada tempat yang betul adalah rahmat dan ciri-ciri bangsa yang bertamadun.

Melihat keseriusan permasalahan ini, ditambah dengan gejala sosial lain yang pelbagai yang menyelinap masuk ke masyarakat Malaysia, PEMBINA memandang ini sebagai satu lagi seruan agar pembangunan jatidiri diterapkan dengan bersungguh-sungguh di semua peringkat dalam masyarakat baik lelaki, wanita, kanak-kanak, remaja, mahasiswa, belia dan masyarakat keseluruhannya.

Golongan belia yang merupakan kelompok majoriti populasi Malaysia harus bertekad, berpegang kepada prinsip nilai-nilai suci dan sama-sama menolak perbuatan songsang LGBT yang keji dan menjijikkan. Belia juga harus memandang serius sebarang kecelaruan identiti dan jantina dikalangan masyarakat agar dapat mencegah dan merawat gejala di luar tabi’i ini.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top