BANGI 1 Nov – Rentetan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memutuskan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menyifatkan ini adalah satu fenomena baru kepada dunia mahasiswa kini.
Menurut Jawatankuasa Pusat Aktivisme Mahasiswa PEMBINA, Saudara Usamah bin Izer,”Mahasiswa sudah berpolitik dan akan terus berpolitik,”
“Namun demikian, hanya segelintir mahasiswa sahaja yang aktif dan ada sejumlah besar belia yang masih pasif dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, persatuan mahupun badan bukan kerajaan (NGO)”
Beliau yang dihubungi melalui talian telefon menyifatkan belia haruslah dibimbing mengikut landasan Al-Quran dan hadis serta diberi ruang secukupnya untuk mengembangkan potensi dan menyalurkan kecenderungan mereka ke arah yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan sosio-ekonomi negara.
Merujuk kes tersebut, keputusan panel tiga hakim majoriti 2-1 yang diketuai oleh Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan seksyen tersebut dalam AUKU adalah tidak munasabah sama sekali serta melanggar hak kebebasan bersuara.
Kandungan Seksyen 15 (5)(a) AUKU menyatakan larangan pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara.
“Ia sebenarnya berbalik kepada mahasiswa itu sendiri sejauh mana mereka cakna kepada keadaan semasa negara” tambah beliau lagi.
PEMBINA konsisten dalam memberi ruang yang sewajarnya kepada belia dan beliawanis tidak kira latar belakang untuk membentuk jati diri berlandaskan kefahaman Islam yang syumul di samping menekankan aspek pembangunan potensi belia ke arah manfaat negara.
PEMBINA juga komited melahirkan generasi belia yang aktif, prihatin, bermatlamat serta memiliki kesedaran yang jelas tentang peranan mereka dalam kehidupan.
Difahamkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau sedang merangka perbincangan yang lebih teliti di peringkat kementerian sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet.
MediaPEMBINA