Ayuh Sama-Sama Kita Bangunkan PEMBINA

Oleh:

Jalil Husni
Setiausaha Agung
PEMBINA

Selain tugas sebagai Setiausaha Agung  saya juga terlibat dalam tugas-tugas pengurusan perolehan dan aset di tempat kerja. Baru-baru ini saya berkesempatan untuk membuat lawatan pemantauan pengurusan aset di beberapa pejabat di Sarawak selama seminggu. Urusan pemantauan aset ini walaupun agak meletihkan tapi menyeronokkan kerana kita akan mendapat pengalaman baru di samping membina hubungan lebih akrab dengan rakan-rakan setugas dan para petani di seluruh negara.

Sebelum berangkat ke Sarawak terlintas di fikiran saya alangkah baiknya kalau ada Cawangan PEMBINA di Sarawak kelak bolehlah saya singgah sebentar berjumpa dengan penggerak-penggerak Pembina di sana, kata orang “sambil menyelam, minum air”. Namun hingga kini disebabkan oleh beberapa kekangan yang ada belum membolehkan kita membuka pejabat cawangan PEMBINA di sana. Apa pun suatu hari nanti insyaAllah dengan usaha gigih, peluang dan berkat doa kita semua Pembina akan berada di seluruh pelosok negara termasuk di Sarawak. Bagaimanapun khabar gembira buat kita semua bahawa amal Pembina di negeri tetangganya iaitu Sabah kian menceriakan dan dalam masa terdekat JKP akan turun bertandang ke sana menemui ahli-ahli baru PEMBINA Sabah insyaAllah.

Pembina adalah medan untuk kita semua mempraktikkan apa yang kita pelajari dari program-program tarbiyyah kita yang kita lalui. “Jangan ilmu yang kita dapat hanya besar di kepala tapi amalnya tidak!!” Itu pesanan dari Mantan Penasihat PEMBINA tidak lama dulu.

PEMBINA milik kita semua, sama ada anda adalah Sukarelawan, Aktivis, Ahli Biasa atau Ahli Jawatankuasa. Semuanya mempunyai peranan yang sama untuk menjayakan agenda utama PEMBINA bagi fasa ini iaitu menerajui isu-isu utama belia dalam masyarakat khususnya dalam aspek pendidikan dan jatidiri belia Muslim di negara ini, mempersiapkan belia dengan kemahiran kepimpinan dan menyalurkan sejumlah besar tenaga sukarela untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.

Jawatan yang dipegang bukanlah kayu ukur keterlibatan kita dalam Pembina. Aktiviti yang dirancang adalah untuk kita semua dan anda juga berhak menyuarakan pendapat dan cadangan mengenai apa jua isu yang berkaitan dengan PEMBINA mengikut saluran-saluran yang diwujudkan demi kebaikan wadah ini. Justeru, sama-samalah kita berganding bahu menjayakan agenda besar kita ini. Menjadi impian barisan pimpinan PEMBINA hari ini agar kita semua cepat matang dalam amal secara organisasi ini dan mampu berada pada suatu tahap ”duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” sebaris dengan lain-lain Pertubuhan Belia Utama di negara ini dalam memperjuangkan hak, isu-isu dan memberi jalan penyelesaian atas segala bentuk kegawatan yang berlaku terhadap belia di Malaysia.Tapi bagaimana caranya? Tidak lain tidak bukan kita perlu bekerja lebih kuat dan gigih meraih pengalaman demi pengalaman dari aktiviti/program yang dilaksanakan sama ada melalui kerjasama dengan badan-badan yang lain atau melalui gerak kerja kita sendiri. Selain itu, pengalaman-pengalaman pertubuhan-pertubuhan lain juga dari generasi terdahulu sangat berharga untuk kita teladani malah kita perlu selalu bertemu muka dan berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman mengutip mutiara-mutiara berharga terutamanya dalam selok belok pengurusan organisasi kita ini.

Buat permulaan ini, kita perlu lebih fokus kepada usaha untuk mempromosikan dan memperkenalkan Pembina kepada masyarakat umum khususnya belia melalui pelbagai aktiviti bersifat mesra belia & kreatif yang dapat menarik minat penglibatan golongan sasar kita ini. PEMBINA yang berperanan sebagai suatu takungan yang meluas perlu merapatkan jurang-jurang perbezaan dan membuang tembok-tembok pemisah yang tidak perlu untuk lebih mudah didampingi oleh golongan belia. Dengan ini PEMBINA akan lebih disenangi oleh golongan belia lantas membina arus perubahan yang diharapkan. Namun, prinsip-prinsip asas perjuangan PEMBINA seperti tarbiyyah akidah & akhlak tidak harus terlebur malah biarlah ia menjadi sinonim dan sebati dalam jiwa-jiwa kita dalam menongkah arus pemodenan pro barat serta segala ideologi dangkal yang menyesatkan yang kian meresap dalam sanubari masyarakat kita pada hari ini.

Selamat berjuang buat semua..

Jalil Husni
Setiausaha Agung

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top