Ambil Iktibar Dari Krisis Dan Bencana

Kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun baru-baru ini mengejutkan masyarakat dunia. Dengan kemusnahan yang hampir sama dengan peristiwa Hiroshima, rakyat Jepun kini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang kemungkinan berpanjangan disebabkan letupan reaktor nuklear yang boleh menyebabkan kecacatan kekal sekiranya luar kawalan.

Seandainya kita perhatikan, siri kejadian yang menggemparkan dunia seolah silih berganti sejak beberapa bulan ini. Revolusi di Tunisia, Yaman, Mesir, Libya dan kini Saudi yang tidak kurang juga mengorbankan nyawa, dan kini diikuti pula dengan tsunami yang menyebabkan ribuan manusia terkorban.

Sebagai seorang muslim, kita bersimpati di atas segala krisis ini, dan seharusnya mengambil iktibar dari setiap peristiwa ini. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menjadikan sesuatu itu sekadar suka-suka atau main-main, pastinya ada hikmah yang ingin disampaikan buat seluruh ummat manusia.

Jatuhnya pemimpin yang zalim menandakan kekuatan suara rakyat dalam urusan pemerintahan, juga mengajak kita untuk insaf dan tidak mengeksploitasi peluang menjadi pemimpin untuk kepentingan peribadi. Dari aspek yang berbeza, kita juga perlu menilai kembali, adakah revolusi di satu-satu tempat itu akan lebih manfaat dari mudaratnya? Hati-hati jangan menang sorak kampung tergadai, golongan kafir sentiasa menonton dan mengambil peluang atas perpecahan ummat islam.

Tsunami, sekali lagi, memberi penekanan kepada kita bahawa mudahnya Allah s.w.t menarik balik nikmat yang diberikannya. Tidak ada yang kekal di bumi ini kerana segalanya adalah pinjaman, termasuklah nyawa kita sendiri. Maka wajib bagi umat islam berusaha memanfaatkan segala kekuatan material yang ada untuk memartabatkan islam di muka bumi, kerana inilah pelaburan yang akan dibawa ke akhirat. Seandainya kita hanya mengumpul kekayaan buat kenikmatan diri sendiri sahaja, akibatnya apabila Allah menarik balik nikmat tersebut, kita kerugian di dunia dan terlepas juga peluang amal akhirat bak kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Pelbagai lagi kejadian akan sentiasa berlaku akan datang. Samada suka atau tidak, itulah sunnah Allah s.w.t yang menjadikan pelbagai peristiwa di dunia ini, dan yang kejayaan hanyalah buat insan mengambil iktibar.

Norzafry Norhalim
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top