Haji dan korban, dua ibadah yg dijalankan di bulan Zulhijjah memberikan seribu satu makna dan hikmah bagi mereka yang memikirkannya. Bagi yang memiliki kemampuan dan diizinkan Allah menjadi tetamuNya di Tanah Haram, pastinya ia merupakan satu memori yang menjadi kenangan abadi. Bagi yang belum diizinkan Allah untuk ke sana, sambutan Aidil Adha disambut dengan meriah di setiap ceruk rantau populasi masyarakat Muslim di dunia.
Persiap bekalan
Dalam pensyariatan ibadah haji, banyak pengajaran yang boleh kita ambil sebagai cara untuk membentuk keperibadian Muslim yang unggul. Antaranya ialah, umat Islam diajar untuk bekerja dan berusaha mencari bekalan berbentuk material bagi membiayai perbelanjaan untuk menunaikan ibadah haji yang sememangnya memerlukan bajet yang agak tinggi. Hal ini menunjukkan betapa Islam tidak mahukan umatnya lemah dari sudut ekonomi sehingga menghalang seseorang itu untuk menyempurnakan rukun Islamnya. Biar betapa sukar dan rumit sekalipun, kita haruslah memiliki tekad yang kuat untuk mencapai kemampuan dari sudut ekonomi, selain didasarkan dengan doa dan harapan yang tak putus-putus kepadaNya.
Di samping kekuatan material, ibadah haji juga menuntut umat agar memiliki kekuatan dari sudut fizikal dan mental. Dengan kesihatan dan kecergasan fizikal, ditambah dengan mental yang kuat, ibadah haji mampu ditunaikan dengan penuh kesempurnaan.
Kekuatan Perpaduan
Selain itu, haji mendidik Muslim tentang erti persaudaraan sesama Islam. Tanah Haram menjadi tempat berkumpulnya orang Islam dari pelbagai ceruk rantau dan latar belakang budaya yang berbeza-beza. Ia seterusnya mengajar kita betapa sikap berlapang dada dan menghormati sesama insan dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan haji sewaktu berkumpulnya jutaan umat Islam di tempat yang sama, menjadi tunjang dan teras kesempurnaan haji masing-masing. Secara tidak langsung, ibadah haji juga menunjukkan betapa umat Islam itu kuat andai kita semua bersatu padu.
Erti Pengorbanan Melalui Ibadah Korban
Walaupun belum diizinkan oleh Allah untuk ke Tanah Suci, Aidiladha masih dapat dihayati melalui tuntutan melaksanakan ibadah korban sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail A.S. Ianya merupakan satu ibadah sunnah yang dituntut dalam Islam.
Harus diperhatikan bahawa antara hikmah dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban ialah latihan dan pembentukan mentaliti umat Islam agar sentiasa bersedia mengorbankan sebahagian rezeki kurniaan Allah demi kepentingan orang lain. Pengorbanan merupakan satu aspek yang luas dan saling berbeza mengikut konteks masing-masing. Sebagai contoh, dalam konteks sebagai seorang belia, mengorbankan sebahagian waktu dalam usia mudanya ke arah pembentukan jiwa dan akhlak yang baik merupakan satu aspek pengorbanan yang cukup bernilai. Dengan memiliki kekuatan jiwa yang mantap dan sahsiah yang cemerlang seawal usia muda, ianya dapat membantu kearah pembentukan masyarakat Muslim yang gemilang bagi generasi yang akan datang.
Ibadah Korban Membentuk Jiwa Muslim
Seterusnya pensyariatan untuk melakukan sembelihan ke atas haiwan merupakan satu simbolik kepada pembentukan jiwa seseorang. Sebagaimana haiwan itu tunduk dan disembelih, begitulah ibaratnya nafsu yang ada pada diri kita harus ditundukkan dan ditewaskan. Golongan belia khususnya, dengan semangat darah pemuda yang lahir di dalam jiwanya, dan gelojak nafsu syahwat yang membuak-membuak, pasti ianya menuntut agar adanya kawalan untuk membendung diri dari menuruti kehendak syahwat tersebut. Ianya harus diseimbangkan dengan pengabdian kepada Ilahi dan tunjuk ajar yang berterusan dari golongan pendidik supaya semangat dan kehendak yang tinggi itu dapat disalurkan ke arah jalan yang diredhai Allah.
Marilah kita bersama meraikan Aidil Adha pada tahun ini dengan penuh penghayatan dan keinsafan, bukan sekadar sebagai suatu adat dan atau kebiasaan. Semoga kita mampu menyediakan seluruh jiwa raga kita untuk kebaikan ummah dan meruntun redha Ilahi, demi bekalan di hari kemudian.
Salam Aidil Adha dari PEMBINA kepada seluruh warga belia di seluruh dunia.