Adakah kita hamba Ramadhan? – Wahidatul Husna

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, Allah sampaikan kita sekali lagi pada bulan yang penuh kerahmatan dan maghfirah keampunanNya. Ramadhan, bulan yang dinanti-nanti oleh semua umat Islam tak kira dari sudut duniawi mahupun ukhrawi.

Saat Ramadhan menjelma, pasti ada yang teruja, samaada untuk berkunjung ke bazar mahupun teruja untuk ke masjid, menunaikan tarawih dan berqiamullail bersama. Ada yang teruja untuk bertemu Ramadhan kerana baginya bulan ini adalah masa permulaan titik perubahan. Tidak kurang juga bagi yang teruja untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan taulan. Setiap insan keterujaannya pasti berbeza.

Allah ciptakan tiap insan itu sebaik-baik ciptaan dan antara tugas utamanya adalah sebagai hamba yang menjadikan tiap sudut hidupnya adalah suatu tanda ubudiyyah kepada Sang Pencipta.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” (Surah At-Tiin:4).

Tunduk dan patuh sepenuhnya kepada Allah agar tiap detik hidupnya diredhai dan dihadiahkan syurga di pengakhiran penghidupannya.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. (Surah Ad-Dzariyat:56)

Itulah fitrah kita sepatutnya sebagai seorang muslim yang lagi mu’min. Fitrah untuk menyerahkan segalanya kepada Allah hatta tiap hela nafas. Fitrah untuk kembali ke jalan yang lurus dan menjadikan Islam sebagai agama yang terunggul di muka bumi ini tak kira masa, tak kira tempat dan keadaan.

Justeru itu, tugas kita sebagai hamba Allah yang taat bukan hanya di bulan Ramadhan, tapi pada tiap saat penghidupan. Maka, wajiblah kita meneruskan amalan Islami yang kita bersungguh lakukan di bulan Ramadhan ini pada bulan-bulan yang lain. Sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah pada tiap amal kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan. Seeru ‘ala mardhatillah. Moga Ramadhan kali ini menjadi pemangkin buat kita untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik di waktu yang mendatang.

 

Oleh:

Wahidatul Husna Zuldin
KB PEMBINA Sabah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top