Bismillahirrahmanirrahim..
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, bulan Ibadat, bulan Rahmat dan Kasih sayang Allah SWT.
Bulan ini juga merupakan bulan untuk muhasabah diri sejauh mana kekuatan Iman dan taqwa kita kepada Allah SWT.
Bulan ini juga seringkali kita terbaca dalam sirah Salafussoleh mereka menghidupkannya dengan Ibadat-Ibadat khusus kepada Allah SWT seperti solat, membaca al-Quran, berzikir, Sedekah dan lain-lain.
Begitu juga seringkali kita terbaca bagaimana mereka menghidupkan Ramadhan dengan beruzlah (mengasingkan diri) sementara untuk mengejar sebanyak yang mungkin Ibadat khusus yang dikerjakan.
Namun, apa yang saya ingin kongsikan bukanlah berkaitan dengan Uzlah yang dilakukan pada bulan Ramadhan. Tetapi yang lebih besar dari itu ialah uzlah syuu’riyyah yang diqudwahkan oleh Baginda SAW ketika Baginda di Mekah lagi, dan dimunculkan semula oleh Syed Qutb RH.
Sebelum Baginda SAW mendapat wahyu di Mekah, Baginda sering mengasingkan diri mencari kebenaran. Hati, jiwa, perasaan Baginda SAW sentiasa merasakan apa yang berlaku sekelilingnya banyak yang tak kena. Penyembahan berhala tuhan yang banyak, akhlak buruk, bertelagah pada perkara remeh temeh sehingga berbuuhan, kata-kata kesat dan dusta, menipu dalam jual beli dan lain-lain lagi. Tetapi Baginda tidak memiliki alat perubahan dan tidak kenal akan yang hak, oleh itu, Baginda mengasingkan diri dari masyarakat arab jahiliyyah waktu itu untuk mencari kebenaran.
Begitu juga keadaan Baginda SAW selepas daripada mendapat wahyu. Perasaannya masih sama, semua yang dilihatnya tidak kena dan bukan dari yang hak. Tetapi kali ini Baginda memiliki alat perubahan, dan mengenali dengan sebenarnya al-hak. Maka perasaan Uzlah dari sudut perasaan, jiwa, dan hati masih sama tetapi tidak dengan mengasingkan jasad Baginda SAW. Kali ini kerja-kerja untuk melakukan perubahan mestilah diusahakan. Semua manusia perlu tunduk kepada tuhan yang Maha Esa bersama-sams dengan makhluk-makhluk lain di alam semesta ini.
Dengan perasaan Uzlah syuu’riyyah ini baginda SAW bergerak untuk berjuang melawan kebatilan yang pasti akan dikalahkan oleh al-hak.
Begitulah para duat hari ini, perlu ada perasaan tidak setuju, benci, bengang dengan persekitaran masyarakat yang tidak mengamalkan hukum Allah SWT. Hidup dengan tiada agenda dan matlamat, bertaruh nyawa untuk perkara remeh seperti harta, bola, perempuan dan lain-lain seperti kanak-kanak yang berusia setahun tidak reti membezakan antara barang permainan dan api untuk dimasak.
Para Belia Islam khususnya kena lebih jelas matlamat hidupnya, bukan untuk mencari rumah banglo di dunia tetapi mahligai di syurga. Bukan wanita cantik yang memikat hati, tetapi Bidadari syurga yang sudah menanti-nanti kepulangannya di mahligai syurga. Bukan harta dan aset yang tidak terhitung tetapi bauan wangi kasturi dan sungai-sungai mengalir dalam syurga.
Para belia duat Islam juga kena menanamkan perasaan kita bukan sebahagian dari masyarakat kita ini. Kita adalah golongan yang terpilih yang berpisah hati dan jiwa kita dari segala yang jahiliyyah dan membuat maksiat kepada Allah tetapi jasad kita sentiasa bersama masyarakat ini untuk menyumbat agenda perubahan dalam hati dan jiwa umat yang ketandusan ini.
Inilah Uzlah kita para Belia Duatul Islam. Uzlah syuur’ (perasaan) untuk tidak redha dengan kebatilan dan menyembah Allah, beribadah kepadanya dengan memastikan semuanya kembali tunduk kepada tuhan mereka Robbul Alamin.
Dengan perasaan uzlah ini kita melangkah untuk mengislah umat. Memastikan semua milik Allah yang berkuasa lagi maha esa.
Ramadhan adalah tempat untuk mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kebatilan disekiling kita hari ini. bermula dengan tidak redha akan kebatilan berlaku dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, dan seterusnya di seluruh muka bumi ini.
Ini Uzlah kita..
Wallahuallam.
Oleh:
Ustaz Muhammad Ikram Abu Hassan
PC PEMBINA Pulau Pinang