Ada apa dengan Cita-cita?

Salah satu punca kelesuan belia pada hari ini adalah kegagalan mereka memiliki cita-cita, menggali potensi diri yang terpendam dan mengarahkannya ke jalan kebaikan. Dahulu, Urwah b Zubair pernah menyuarakan cita-citanya untuk menguasai ilmu fiqh dan hadis, dan ternyata beliau berjaya menjadi salah seorang tokoh ulama fiqh dan hadis dalam sejarah Islam. Abdul Malik b Marwan juga pernah mengungkapkan cita-cita untuk menjadi khalifah dan akhirnya beliau telah dilantik menjadi khalifah ketika zaman Umayyah.

Adakah kita selaku para belia hari ini yang bakal mencorakkan negara pada masa depan punya cita-cita besar seperti mereka? Dalam bukunya Zero to Hero, Abu Izzudin ada menyatakan bahawa cita-cita merupakan kekuatan yang akan menggerakkan jiwa, menggerakkan fikiran untuk kreatif, menggerakkan badan untuk aktif dan menggerakkan seluruh tubuh untuk mencapai tujuan. Cita-cita adalah ruh yang menjadikan seseorang tetap bertahan. Memiliki cita-cita bererti memiliki tujuan hidup yang jelas. Memiliki tujuan yang jelas sudah separuh dari kejayaan dan yang separuh lagi adalah bagaimana cara kita menempuhnya.

Namun, langkah kita tidak terhenti dengan sekadar mengatakan apa yang kita cita-citakan. Urwah dan Abdul Malik tidak akan bisa mencapai cita-cita besar mereka kecuali disertai dengan usaha dan kesungguhan luar biasa. Cita-cita tinggi perlukan bekal kesabaran, perencanaan yang teratur, melaksanakan dengan ikhlas dan tekun, mengoptimumkan waktu dengan tidak menyibukkan diri dengan perkara sia-sia,di samping doa dan munajat kepada Allah. Jangan takut untuk gagal jika kita punya misi mulia. Bukan hasilnya sahaja yang diukur, malah setiap usaha kita juga ada nilainya di sisi Allah.

Akan tetapi, kita harus akur bahawa setiap dari kita punya keterbatasan. Justeru galilah potensi yang kita ada, fokuskan untuk mencapai prestasi dan menghasilkan yang terbaik dalam kehidupan. Setiap insan dikurniakan kebolehan tersendiri cuma kadangkala potensi yang kita miliki tak terlihat lantaran tertutup dengan debu-debu dosa dan maksiat. Tingkatkan taqwa kepada Allah dan bersihkan sedikit demi sedikit dominasi dunia yang beraja di hati agar rahsia potensi diri dapat ditemukan.

Ayuh, kita tanamkan cita-cita dalam diri, cita-cita yang mampu membawa kebaikan kepada individu, masyarakat, negara dan ummah secara keseluruhannya. Kita berikrar untuk cuba mencapainya dengan segenap usaha. Dan ketika Ramadhan masih lagi berbaki, bersama-samalah kita menambah iman dan amal bagi meraih cita-cita mulia dan matlamat terbesar kita iaitu merebut tempat di syurga tertinggi!

Penulis:

Sih Sayekti Ngadimun
(Kulliyyah of Economics)KENMS, IIUM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top