Perutusan JKP Sempena Tahun Baru 2011 | 2011 : Memperkasa Generasi Belia

Fokus

Tahun Hijrah baru sahaja membuka lembaran baharu, 1432H. Menjadi tanda suatu perjuangan dan pengorbanan yang sangat tinggi nilainya, menunjukkan peri pentingnya peristiwa Hijrah di dalam Islam yang menjadikan kita dan berjuta-juta lagi manusia lain beriman kepada Allah setelah lebih 1400 tahun agama ini diturunkan ke atas muka bumi dan membina negaranya yang tersendiri di bumi Madinah. Baginda SAW pada ketika itu, membina sebuah rumpun daulah dengan menghimpun belia-belia berkeperibadian hebat di sekeliling Baginda mengharungi semua halangan dan rintangan bagi menegakkan agama Allah dan nilai-nilai murni di atas muka bumi. Seandainya belia-belia hebat yang kita kenal sebagai para Sahabat, kekal dengan agama dan kehidupan lama masyarakat Jahiliyah, sudah pasti kehidupan mereka berakhir sebagai manusia biasa yang menjalani kehidupan caca marba yang tidak sekali pun dikenal sejarah dan terus menjadi generasi yang dihinakan jahiliyah. Kehadiran seorang Rasul dengan agama wahyu yang membawa cahaya baharu telah mendidik dan membentuk mereka menjadi manusia luar biasa dan diiktiraf sepanjang zaman.

Ada suatu pepatah Arab menyebut, “Siapa yang menanam, dialah yang akan menuai.”

Tahun 2010 telah pun menutup tirai. Telah satu dekad kita melalui kehidupan pasca alaf baru. Pelbagai warna telah mencorak kehidupan rakyat Malaysia sepanjang tempoh sepuluh tahun ini, terutama sekali dari sudut pandang masyarakat belia kita. Rata-rata belia kita pada hari ini merupakan belia kelahiran tahun 1980-an. Jadi, tidak salah andai saya katakan bahawa belia yang terhasil pada hari ini merupakan apa yang kita semai kira-kira 20-30 tahun lalu meniti dekad-dekad 1980-an, 1990-an dan sedekad di alaf baru.

Cuba kita lihat dan renungkan, perhati dan teliti. Generasi yang ada pada hari ini merupakan generasi yang telah dibentuk oleh persekitaran sama ada dari perspektif global mahupun lokal. Dasar-dasar yang telah dilaksanakan sama ada dari sudut ekonomi, pendidikan, sosial, pembangunan masyarakat mahupun politik secara sedar atau tidak sebenarnya telah membentuk generasi pada hari ini.

Melihat generasi belia kita pada hari ini sebenarnya memaksa kita untuk lebih serius berfikir dan berusaha bagaimana mekanisme terbaik untuk menambahbaikan suasana ini – paling penting di peringkat lokal dan sekurang-kurangnya ada lebih usaha di peringkat yang lebih global, agar generasi belia hari ini berkembang lebih mampan dan lebih bersedia untuk mengambil alih teraju negara dan masyarakat di masa hadapan. Bahkan bukan itu sahaja, usaha-usaha ini juga sebenarnya penting bagi menyediakan suasana penyediaan generasi kanak-kanak pada hari ini agar mereka bakal membesar menjadi generasi belia masa hadapan yang lebih menjurus ke arah nilai-nilai dan agenda-agenda yang lebih besar, seperti generasi Rasulullah SAW membina kanak-kanak hebat menjadi Khalifah Keempat Islam, Saidina Ali Abi Talib, yang mentadbir negara yang luas bahkan seluruh negeri-negeri yang baru dibuka oleh Islam.

Pada hari ini kita lihat semua pihak telah memberikan perhatian khusus bagi memantapkan agenda-agenda pengukuhan generasi belia, khususnya perhatian-perhatian yang diberikan oleh pihak kerajaan termasuk agensi-agensi dan badan-badan belia lain. Namun, semua pihak harus berganding bahu bersama-sama melakar suatu gerakerja yang lebih kemas, tersusun dan bersungguh-sungguh untuk memperkasa dan membangun generasi belia pada hari ini. Potensi-potensi yang ada pada mereka begitu banyak dan unik tetapi terbuang di saluran-saluran yang tidak tepat.

Imam Syafie telah berpesan, “Diri kamu andai tidak digerakkan untuk perkara-perkara yang benar, ia akan digerakkan untuk perkara-perkara yang salah.” Kita akan menghadapi masalah yang besar untuk menyekat aktiviti-aktiviti tidak sihat belia hari ini, tetapi akan menjadi sangat mudah jika kita mampu memberikan saluran yang tepat untuk mereka menggilap potensi dan kemahiran yang ada.

Keduanya, golongan mahasiswa yang merupakan golongan belia yang mempunyai kelebihan dalam beberapa aspek berbanding sahabat-sahabat belia yang lain, seharusnya menjadi agen pemantapan yang lebih proaktif dan kreatif membangun belia. Agenda untuk belia paling tepat dan paling berkesan adalah dilaksanakan oleh golongan belia juga. Dengan sokongan, bimbingan dan panduan semua pihak, sebenarnya golongan mahasiswa mampu untuk membina generasi belia yang lebih berdaya saing dan bermanfaat untuk agenda agama bangsa dan negara.

Mahasiswa-mahasiswa di IPT perlu dibangkitkan dan disedarkan akan tanggungjawab dan peranan yang seharusnya dimainkan untuk meminpin belia-belia kita dan secara umumnya memberikan sumbangan yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Mahasiswa pemimpin generasi belia.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top