Gabungan NGO Islam desak Duta Vatican City diusir

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam mendesak kerajaan menutup kedutaan dan mengusir Duta Vatican City ke Malaysia, Bishop Joseph Marino kerana menyokong pendirian Persekutuan Kristian Malaysia bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian di negara ini.

Gabungan NGO Islam ini mengutuk keras kenyataan Marino yang dilihat sengaja berniat jahat untuk mengeruhkan lagi hubungan antara Islam dan Kristian dalam pertikaian isu kalimah Allah.

Sehubungan itu, Marino perlu menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh tujuh hari dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas kebiadapannya.

Wakil gabungan NGO, Pengerusi Yayasan Nassar, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, seharusnya kehadiran Vatican adalah untuk membantu kerajaan Malaysia meredakan ketegangan antara Islam dan Kristian dalam isu kalimah Allah, tetapi sebaliknya telah berlaku.

“Tindakan biadab Marino secara jelas membuktikan kehadiran beliau di negara ini ada agenda tersendiri.

“Sedangkan dalam hal ini, Marino tidak berhak untuk mencampuri urusan hal ehwal agama Islam dan perlembagaan negara khususnya tentang hal keistimewaan Islam di Malaysia.

“Sebetulnya Marino perlu menjaga hubungan Malaysia dan Vatican di samping menghormati umat Islam di Malaysia tanpa mengeluarkan kenyataan yang disengajakan lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan,” katanya dalam satu sidang media di Villa Puteri di sini, hari ini.

Oleh yang demikian, ujar Ustaz Nasharuddin, kami wakil-wakil NGO  sekali lagi mendesak agar kerajaan menutup segera pejabat Kedutaan Vatican di Malaysia dan duta tersebut perlu diusir keluar dari negara ini.

Jika dalam tempoh tujuh hari masih tiada tindakan, gabungan NGO Islam akan membuat himpunan untuk terus mendesak agar Marino diambil tindakan tegas.

Marino sebelum ini menyatakan pendiriannya menyokong gereja Katholik di Malaysia berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini.

Marino memuji hujah-hujah yang dikemukakan oleh Persekutuan Kristian Malaysia bagi membolehkan perkataan Allah dalam teks dirujuk kepada tuhan.

Antara wakil NGO Islam yang hadir termasuklah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia, Permuafakatan Wangsa Malaysia (Pewangsa Malaysia), Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia (PPPMM), Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top