Bangi – Merujuk kepada berita berkenaan atlet SUKMA dirogol oleh peserta lelaki, PEMBINA menimbulkan rasa kerisauan dan kekesalan terhadap apa yang berlaku dan berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik. Budaya tidak sihat ini tidak sepatutnya berlaku dalam perkampungan atlet sukan terutamanya bagi mereka yang beragama Islam. Sukan sepatutnya menjadi medium cara hidup sihat yang bebas daripada arak yang menjadi ibu kepada segala maksiat.
PEMBINA juga menyatakan keprihatinan terhadap budaya pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang merupakan suatu bencana keruntuhan jatidiri dalam ummat Islam. Budaya ini jika tidak dirawat akan menghilangkan rasa malu yang menjadi benteng dalam jatidiri manusia. Akhirnya, bila malu ini sudah terhakis maka manusia bebas melakukan apa sahaja termasuk melanggar hukum Allah dan membuka ruang untuk berzina dan merogol.
PEMBINA juga mempersoalkan bagaimana arak boleh didapati secara mudah dan dibeli oleh ummat Islam tanpa sebarang sekatan. Ini membuktikan bahawa arak memang dijual secara bebas dan terbuka sehingga mudah untuk didapati. Seharusnya penjualan arak perlu dihadkan hanya kepada bukan Islam dan tidak boleh dijual secara terbuka kepada masyarakat awam terutamanya di kedai runcit atau kedai 24 jam seperti 7 Eleven dan SpeedMart
PEMBINA yakin bahawa Islam adalah penyelesaian yang mutlak terhadap isu ini. Kefahaman Islam yang jelas mampu untuk membentuk jatidiri belia yang tahu batas hukum syariat sehingga tidak timbul lagi isu gejala sosial yang dilihat semakin meruncing kebelakangan ini. Kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang bebas untuk melakukan maksiat seperti yang berlaku di negara Barat sehingga menimbulkan kemurkaan Allah swt. Antara punca gejala ini berlaku ialah kurangnya kesedaran dan didikan agama. Merujuk kepada kenyataan YB Tuan Khairy Jamaluddin, PEMBINA menyokong saranan beliau agar siasatan dilakukan terhadap isu ini serta tindakan penggantungan terhadap atlet-atlet yang terlibat. Hukuman juga perlu diambil sekiranya benar kesalahan tersebut dilakukan sebagai pengajaran kepada atlet-atlet yang lain.
PEMBINA bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan dalam menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan agama kepada atlet sukan negara.