“Success consists in being successful, not in having potential for success. Any wide piece of ground is the potential site of a palace, but there’s no palace till it’s built.” Begitulah kata-kata Fernando Pessoa yang menjadi sumber inspirasi ikon beliawanis pada kali ini. Media PEMBINA telah berkesempatan menemuramah Nur Zu’aini Mohd Sariful Lim, 24, tokoh ahli PEMBINA aktif yang baru-baru ini memenangi pilihanraya kampus (PRK) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.
Mengkaji latar belakang kepimpinannya, Zu’aini seorang yang banyak pengalaman memegang jawatan dan mendokong tugasan-tugasan besar. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Exco Education dan Welfare dalam Professional Huffaz Club selama dua sesi berturut-turut, dan sering diberi jawatan penting dalam perlaksanaan program-program peringkat Kuliyyah of Nursing, UIAM dan PEMBINA di Kuantan.
Zu’aini juga boleh dikatakan agak popular di dalam Kuliyyah of Nursing kerana beliau begitu aktif dalam ko-kurikulum dan cemerlang dari sudut akademik. Beliau juga dianggap sebagai mahasiswi kesayangan Timbalan Dekan kerana nama Zu’aini sering disebut sebagai pelajar contoh dalam ucapan-ucapan penyampaiannya. Tidak hairanlah mengapa beliau begitu terkenal di kalangan mahasiswa-mahasiswi junior. Satu lagi keistimewaan bekas pelajar Darul Qur’an ini adalah, beliau boleh bertutur empat bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Mandarin.

Dalam temuramah tersebut, Zua’aini mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada bekas Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar UIAM diatas tunjuk ajar bagaimana untuk mengenengahkan manifesto yang diperjuangkan semasa berkempen. Beliau juga menyatakan penghargaannya kepada ahli-ahli PEMBINA dan sahabat-sahabatnya yang bertungkus lumus berkempen untuknya, mengedarkan posternya dari bilik ke bilik dan menampal posternya di dinding-dinding di sekitar kampus. Kejayaannya juga telah melayakkan beliau untuk menyertai Educational Trip di Beijing bagi mewakili UIAM Kuantan pada 3 – 8 Mei 2011.

PEMBINA mengucapkan tahniah kepada Zu’aini atas kejayaan ini dan merasa amat berbangga memiliki seorang ahli PEMBINA yang berketrampilan holistic seperti beliau. Semoga dengan kejayaan Zu’aini akan terus menyemarakkan semangat beliawanis-beliawanis yang lain untuk menempa kejayaan dalam bidang masing-masing.