BANGI 11 Mei 2011 – Perwakilan PEMBINA yang diketuai oleh Timbalan Presiden Ibrahim B Mohd Hasan telah menjayakan satu persidangan diantara wakil-wakil persatuan mahasiswa Islam yang bertempat di Masjid Hasanah.
Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah wakil daripada GAMIS dan PKPIM. Tujuan pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan perkara yang boleh disepakati bersama dalam membawa suara mahasiswa Islam.
Walaupun semua pihak bersetuju bahawa terdapat banyak perbezaan diantara ketiga-tiga pihak namun ia tidak menghalang untuk duduk semeja kerana di sana terdapat banyak perkara yang boleh disepakati.
PEMBINA mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan kesepakatan terutamanya dalam memperkasakan aktivisma mahasiswa Islam. Ini bagi mengimbangi arus fahaman sosialis dan liberal yang dilihat semakin mengambil tempat dalam pemikiran mahasiswa kini.
Oleh itu, PEMBINA mengharapkan persefahaman ini dapat membawa satu suara baru yang mewakili gerakan mahasiswa Islam terutamanya dalam memartabatkan agenda Islam.
Mahasiswa yang mewakili golongan muda dalam masyarakat masa kini sedang menjadi perhatian daripada semua pihak terutamanya kepimpinan negara.
Justeru itu, gerakan belia Islam perlu mengambil peluang ini bagi menyatakan tuntutan dan pandangan secara kolektif dan bersama supaya mempunyai suara yang lebih kuat dan tertonjol
Antara isu lain yang menjadi agenda perbincangan ialah mengenai isu video seks yang dipersetujui oleh semua pihak bahawa ia merupakan satu agenda kotor dan jijik yang tidak patut dihidangkan pada masyarakat.
Isu mahasiswa yang tidak prihatin terhadap isu semasa juga menjadi satu perhatian yang perlu dipandang serius.
Semua pihak juga sepakat bahawa gerakan mahasiswa Islam perlu responsif terhadap isu semasa bagi menyatakan pandangan mahasiswa Islam terhadap sesuatu isu tersebut.
Melihat kepada perancangan masa hadapan, lebih banyak lagi pertemuan akan dirancang dengan melibatkan lebih banyak lagi gerakan mahasiswa Islam yang lain.
Diharapkan agar pertemuan ini dapat menghasilkan kesan yang positif pada masa akan datang.
PEMBINA telah diwakili oleh Timbalan Presiden, Ibrahim b Mohd Hasan, Usamah Izer (Ketua Jawatankuasa Aktivisme Mahasiswa), Norazilawati Zulkipeli (Setiausaha PEMBINA Bangi) dan Siti Farhana Fathy (AJK PEMBINA Bangi).
MediaPEMBINA
Tahniah pembina, satu usah yang sangat diperlukan..