Bangi, 2 Julai 2013 – Menurut keratan akhbar Berita Harian 1 Julai 2013, Malaysia digemparkan dengan berita wanita muslimah hanya dibenarkan untuk melalui sesi temuduga di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur apabila hijab yang menutupi auratnya dibuka atau didedahkan. Ini menggambarkan salah satu kepincangan yang berlaku di negara Malaysia yang di dalam perlembagaan mengiktiraf agama Islam adalah sebagai agama persekutuan dan setiap individu bebas mengamalkan agama masing-masing. Isu ini perlu segera diambil tindakan undang-undang oleh pihak yang berkuasa kerana ia telah melanggarkan hak-hak wanita Muslim di Negara ini.
Saya mencadangkan agar pihak kerajaan atau pihak yang berkenaan agar tidak meluluskan pendaftaran atau menamatkan perkhimatan syarikat yang meletakkan dasar tidak membenarkan wanita muslimah memakai pakaian yang tidak menepati syariat Islam ini. Ini sewajarnya berlaku kerana memakai tudung itu adalah perkara yang diwajibkan buat semua wanita muslimah, janganlah kita meremeh-remehkan perkara ini dan isu ini juga adalah perkara sensitif dalam agama islam. Jika kita lihat firman Allah SWT yang bermaksud ;
[colored_box color=”blue”]
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, ataubapamereka, atau bapa mentu amereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nur: 31)
[/colored_box]
Kisah di sebalik penurunan ayat ini, Saidatina Aisyah RA berkata, “ ketika ayat ini diturunkan, maka para wanita Muhajirin langsung memotong kain-kain tebal mereka menjadi dua bahagian.” Kedua helai kain ini secara syariat tidak hanya menutupi kepala sahaja tetapi juga menutupinya sampai ke leher dan dada-dada mereka. Perintah ini adalah perintah yang lazim dan kuat.
Kita lihat perintah memakai tudung diambil secara serius oleh para sahabiah dan kita juga sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu mengamalkan perkara ini dalam kehidupan kita, jangan disebabkan kerana pekerjaan kita sanggup menggadaikan aqidah, sedangkan kita perlu yakin bahawa rezeki dan ketentuan itu semuanya datang dari Allah swt.
Penegasan berkenaan isu ini, pihak kerajaan perlu mengambil tidakan yang tegas dan juga mengenakan hukuman yang berat terhadap majikan yang tidak menghormati hak pekerja Islam bukan sahaja untuk golongan wanita bahkan lelaki kerana terdapat juga majikan yang tidak membenarkan pekerja lelaki Islam untuk melaksanakan solat Jumaat.
Saya juga menyarankan kepada para wanita muslimah yang telah melalui pengalaman ini untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa dan juga memberikan maklumat lengkap mengenai syarikat tersebut agar dapat diambil tindakan secepatnya. Selain itu, para wanita muslimah diluar sana disarankan agar memperteguhkan jati diri Islam agar kita tidak mengorbankan iman kita semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan yang melaksanakan dasar yang bertentangan dengan syariat Islam. Hanya dengan Islam wanita Muslimah ditingkatkan darjatnya oleh Allah SWT. Hargailah Iman dan Islam yang telah dikurniakan Allah SWT buat diri kita.
Oleh,
Norhamimah Ibrahim,
Ketua Beliawanis PEMBINA
Pingback: Penghinaan terhadap pensyariatan wanita muslimah | wanitaisma.net