UTem Gegar MIBC!

AYER KEROH 18 Julai- Program sambutan pelajar baru Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka semakin rancak dengan penganjuran Bowling Outing yang berlangsung di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC)  pada pukul 9:00 malam.

Selepas sambutan pada hari pendaftaran yang kemudiannya disusuli dengan Konsert Demimu Al-Aqsa, ini merupakan program ketiga yang ternyata terus mendapat sambutan hangat hampir 40 orang mahasiswa baru yang berentap bermati-matian untuk mempamerkan permainan cantik dan penuh tenaga.

Permainan 2 set yang berakhir kira-kira jam 11:00 malam kemudiannya diiringi dengan acara permainan memanah serta permainan pool.

Setelah puas bermain, sesi pengenalan PEMBINA dan suai kenal sesama mahasiswa diadakan bagi merapatkan lagi ukhuwwah yang telah terbina. Abang-abang ‘senior’ juga turut berkongsi pengalaman dan nasihat buat adik-adik yang baru melangkah ke alam universiti yang penuh cabaran.

Bagi Wan Ahmad Shahril, 19 tahun, pengalaman bergaul dan bermain dengan abang-abang ‘senior’ dan rakan sebaya amat bermakna setelah melalui minggu orentasi dan minggu pertama semester yang sangat padat.

“Walaupun masing-masing agak kekok dan kurang mahir bermain boling, namun ternyata kami semua cukup terhibur dan seronok melihat kerenah kawan-kawan yang lain. Paling best sebab dapat berkenalan dengan abang-abang ‘senior’ yang sangat sporting and cool”, kata Ahmad Qushairi, 19 tahun sambil menunjukkan tanda bagus.

Program berakhir kira-kira jam 11:30 malam, sambil masing-masing tidak sabar untuk menanti program seterusnya, Explorace PEMBINA 2010 yang akan diadakan pada minggu hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top